oleh Nimoiz T.Y

Ada beberapa sebab kenapa seseorang itu menulis dengan tunggang-langgang di media sosial. Bahasa penuh rojak. Ejaan berterabur. Tulisan huruf besar kecil tidak ikut peraturan Ringkasan mengalahkan budak Wechat dan lain-lain.

Namun, dalam penulisan lain (penulisan ilmiah, berita, novel, buku umum) elok pula. Dengan ayat yang gramatis dan tatatabahasa yang elok. Malah, ada juga guru juga yang melakukan hal sama.

1. Sebagai unsur pemberontakan

Dalam kehidupan seharian, memang dia sudah menggunakan bahasa Melayu yang standard, Menaip surat rasmi, tulis proposal, lapora, mengajar dan lain-lain. Jadi, dia menjadikan media sosial sebagai medan melampiaskan pemberontakan. Dengan kata lain, dia ingin tenang-tenang sahaja di media sosial. Malas serabutkan kepala. Sebab, di alam realiti sudah serabut.

2. Dia menggunakan penulis upahan / penulis hantu

Kadang-kadang kita pelik. Kenapa dia menulis di media sosial dengan gaya bukan macam penulis. Padahal sudah ada buku sendiri. Jawapannya mudah sahaja. Di media sosial itulah tulisan sebenar dia. Manakala, buku tadi dia membayar atau mengupah orang lain yang menulisnya.

3. Tidak faham sangat dengan teknologi

Ya, faktor ‘typo’. Sudah cari dalam setting telefon bimbit. Tapi tidak jumpa. Sebab itu banyak sangat kesalahan ejaan. Cubalah cari orang lain untuk ubah setting. Buang ‘auto correct’ yang kadang-kadang tidak membantu pun.

4. Jari besar

He he he. Banyak sangat makan rasanya. Jadi, jari tidak sepadan dengan papan kekunci. Carilah telefon yang lebih besar.

5. Dalam buku, peranan editor yang menjadikan buku itu cantik

Saya pernah berbual-bual dengan seorang editor sambilan. Dia pernah ditugaskan untuk mengedit novel seorang penulis terkenal. Seorang penulis bestseller yang jualan bukunya sangat laris. Tapi sebelum buku itu terbit, masyaAllah.

Penulis ini memang ada idea. Dia tahu mengembangkan watak dan mencari titik menarik dalam penceritaan. Tapi bahasa memang berterabur. Jadi kalau kita tengok buku itu bagus selepas terbit. Tetapi tidak selari dengan gaya penulisan di media sosial, itu kerja editor yang telah merapikannya.

6. Pemalas

Ini media sosial sahaja. Jadi buat apa tulis elok sangat pun. Asal maksud sampai sudahlah. Tidak ada orang bayar pun. Lainlah menulis dalam buku atau majalah.

Kata dia.

Sebab itu dia main tulis sahaja di media sosial. Malas pula nak semak semula sebelum menekan butang hantar. Sibuk katanya.

7. Tidak cuba mahu belajar

Kadang-kadang ada orang tegur. Tapi tidak mahu belajar. Malah, masih mengulang-ulang kesalahan yang sama.

Dan juga, ada ego dalam diri. Tidak mahu menerima teguran orang lain.