Oleh Raja Yusoff Ariffin
Ada dua konsep karya sastera yang terkenal, tetapi sudah lama, iaitu ‘seni untuk seni’ dan ‘seni untuk masyarakat’.
Walaupun mungkin ada yang menganggapnya remeh, dan ketinggalan zaman, tetapi saya fikir kita perlu melihatnya untuk cuba menentukan konsep manakah yang lebih wajar penulis karya sastera amalkan.
Mengamalkan ‘seni untuk seni’ bererti penulis mencipta karya sastera yang mementingkan seni bahasa, gaya, dan bentuk sehingga mengabaikan tema, dan mesej.
Karya-karya yang berdasarkan konsep ini menolak gaya konvensional, dan kronologi. Antara aliran yang terangkum dalam konsep ini termasuklah surealisme, absurd, dadaisme, dan ekspresionisme.
Walaupun mesej ada dalam karya-karya sedemikian, tetapi ia tidak sampai kepada pembaca, khasnya dan masyarakat, amnya kerana keseluruhan karya kabur, malah makna banyak kalimat, struktur plot, dan perkembangan watak gagal ditangkap.
Pembaca selalu merungut mereka sukar memahami karya-karya sastera, terutamanya puisi, malah penggiat sastera sendiri turut mendakwa karya tersebut tiada mesej.
Karya-karya sedemikian boleh dianggap terhasil dengan konsep ‘seni untuk seni’, lantas hanya mempunyai dan mementingkan nilai-nilai seni sahaja yang menjadi asas masalah, atau ketidakfahaman itu.
Walau bagaimanapun, saya boleh memberikan beberapa sebab yang lebih khusus seperti:
– perlambangan kabur atau terlalu peribadi.
– bahasa bombastik yang mempunyai makna berlapis-lapis.
– bentuk atau visual yang terlalu dipentingkan, keterlaluan, dan tidak menentu.
– teknik sorot ke depan dan sorot ke belakang yang kabur, dan plot yang tidak seperti biasa.
– teknik penonjolan watak yang luar biasa, watak penting terlalu ramai atau berseorangan yang terlalu berfalsafah, serta perkembangan dan perkaitan antara mereka dibina terlalu kompleks.
Jika ada penulis yang mengatakan tiada mesej dalam karya mereka, itu soal lain dan aneh. Biasanya penulis berkeras mengatakan karya mereka ada mesej meskipun disangkal.
Kalau penulis membawa mesej dalam karya atas kesedaran mereka ada peranan penting dalam masyarakat, ataupun sekadar mengucapkannya agar dianggap berperanan, itu juga soal lain.
Aliran-aliran ataupun bentuk-bentuk seni sedemikian tidak terus ditolak jika benar-benar bermanfaat, dan mewujudkan kepelbagaian. Bukan bererti semua karya tersebut tiada mesej, tetapi tentulah tidak bermanfaat kalau mesejnya kabur. Kewujudan dan kejelasan mesej karya sangat penting. Ia juga hendaklah baik, dan membina.
Ada yang berpendapat karya-karya ‘seni untuk seni’ lebih baik disimpan, atau diterbitkan sendiri – jangan dihantar ke mana-mana penerbitan umum.
Namun begitu, masih juga terdapat banyak karya sastera yang dijiwai ‘seni untuk seni’ tersiar dalam akhbar, dan majalah.
Mungkin karya-karya tersebut disiarkan kerana penulisnya sama ada mapan atau telah lama menulis dengan gaya tersebut sehingga ‘dilabelkan’, dan dikenali sedemikianlah identitinya.
Barangkali juga editor memberi peluang kepada penulis yang masih baharu, tetapi dikesan, dan diyakini akan terus atau berbakat untuk berkarya sedemikian. Mungkin juga editor memahami karya-karya sedemikian, dan yakin ada mesej penting, di samping membiarkannya berkembang.
Walau bagaimanapun, ‘seni untuk seni’ tidak digalakkan, antaranya kerana penulis ada tanggungjawab dan amanah besar sebagai ejen atau pembimbing masyarakat, dengan menegur, mengkritik, menyuarakan harapan masyarakat, dan mencadangkan kebaikan untuk membentuk masyarakat menerusi karya – dengan demikian setiap tulisan atau karya mesti ada mesej positif, dan jelas, dan walaupun penulis mengatakan dia membawa mesej, tetapi pembaca tidak nampak. Jadi, penulis perlu mengatakan sendiri, atau pembaca bertanya, dan jika dijawab ada mesej, mungkin pula timbul keraguan penulis mengada-adakan untuk cuba menutup ‘malu’, dan mempertahan kewibawaan.
Anggapan hanya ‘seni untuk seni’, iaitu karya sastera yang bahasanya berbunga-bunga, dan bentuk seperti perenggan-perenggan visual yang indah sahaja bernilai sastera yang mendokong karya sastera sejak sekian lama hendaklah dikikis.
Terdapat juga unsur-unsur lain yang turut menentukan bernilai sastera atau tidak sesebuah karya itu. Sebagai contoh, puisi yang bahasanya berterus-terang masih bernilai sastera jika ada unsur seperti inversi yang sesuai.
Karya sastera tidak sekadar mempunyai nilai estetika, serta kebenaran kreativiti dan imaginasi dengan luapan rasa, dan permainan kata, serta bentuk.
Tidak keterlaluan jika karya-karya realisme dianggap lebih baik, dan konsep ‘seni untuk masyarakat’nya terserlah. Bukanlah pula cuba menyatakan karya realisme sebagai terbaik, tetapi adakah ia buruk jika berseni dan ada rmesej berguna, mudah diikuti dan difahami? Bukankah realisme itu salah satu aliran karya sastera?
Walau bagaimanapun, manusia ada citarasa dan kecenderungan masing-masing. Dunia penulisan sastera negara hari ini pula seperti lebih kepada individual. Ada penulis hari ini yang mencari glamor, dan mementingkan diri sendiri.
Menurut penulis dan penggiat sastera sedang meningkat, Wacana Minda, ada dua tujuan sastera terbentuk, iaitu untuk menghibur dan mendidik.
“Namun begitu, kedua-dua tujuan yang membentuk sastera itu tidak akan tercapai jika karya sastera hanya berkonsepkan ‘seni untuk seni’. Ia akan bersifat absurd, dan berlingkar dalam kelompok sendiri,” tegas Setiausaha Agung PENYAIR ini.
Kata Wacana, sia-sia karya sastera dihasilkan jika hanya di kertas, dan tidak sampai ke tangan pembaca. Karya ‘seni untuk seni’, tambah kakitangan Kementerian Pendidikan Malaysia ini, bersifat konvensional dan menggalakkan wujudnya kabilah-kabilah sastera, sedangkan ‘seni untuk masyarakat’ akan lebih mengakrabi kehidupan sebenar manusia, dan menepati tujuan sebenar kesenian.
Ridzuan Kamis pula berpendapat ‘seni untuk seni’, dan ‘seni untuk masyarakat’ merupakan retorik yang telah lama dibicarakan. Katanya, ada yang taksub dalam salah satu fahaman tersebut, dan ada yang tidak menganuti mana-mana haluan.
“Perlukah kita kekal berkiblatkan jurus pandang tersebut kerana penulisan sekarang serba moden, dan tidak sukar berkarya berbanding zaman dahulu, apabila ia dianggap membawa fahaman tertentu seperti nasionalisme, sekularlisme, komunisme, dan haluan kiri?” ujar penyair dan penulis rencana kelahiran Perlis ini.
Jelas Ridzuan, tujuan asal kepengarangan ialah menyampaikan mesej secara berseni kepada masyarakat. ‘Seni untuk seni’ atau ‘seni untuk masyarakat’, katanya, boleh bergabung jalin tanpa perlu dibeza-bezakan.
“Momen penulis zaman kini telah berubah. Ketaksuban pada retorik di atas tidak lagi boleh diterima pakai kerana menulis itu individualistik, tetapi global. Justeru, ia juga seni yang berseni dalam masyarakat,” tambah Ridzuan.
Walaupun berpendapat ‘seni untuk seni’ itu perlu kerana secara ilmiahnya ia memberikan kebebasan kepada karyawan dalam berkarya, tetapi Dr Zabidin Ismail menegaskan ‘seni untuk masyarakat’ lebih penting, dan diperlukan.
“Benar dan ada logiknya ‘seni untuk seni’ kerana karya sastera wajar menerima pembaharuan selaras dengan peredaran zaman. pembaharuan dalam karya merangkumi struktur tema, gaya dan sebagainya agar karya itu keluar dari kepompong konvensional, serta menuju ke arah era digital,” jelasnya yang juga Presiden Karyawan Pk.
Walau bagaimanapun, kata Zabidin, ‘seni untuk masyarakat’ lebih diperlukan oleh pembaca kerana dengan sifatnya yang konvensional, karya yang mementingkan tema dan mesej mudah difahami sebahagian besar pembaca, sekali gus mampu memasyarakatkan sastera.
“Sebagai contoh, sajak ‘Guru’ karya Sasterawan Negara Usman Awang dirujuk dan dibaca dalam khutbah Jumaat baru-baru ini bersempena dengan sambutan Hari Guru 2021. ‘Guru’ berkumandang di mimbar masjid di seluruh negara,” kata Zabidin.
Jadi, jelas sekali, tegas beliau, masyarakat dapat menjiwai mesej dan bait-bait sajak yang lekat di hati mereka. Oleh sebab Usman menggunakan pendekatan ‘seni untuk masyarakat’, sajak-sajak Allahyarham masih menjadi rujukan, dan pujaan ramai.
“Ia berbeza dengan karya ‘absurd’ berkonsepkan ‘seni untuk seni’ seperti sajak kabur oleh AS Amin, M Ghazali dan Noor SI yang telah hilang ditelan zaman. Karya ‘seni untuk masyarakat’ lebih diperlukan untuk kepentingan khalayak, apatah lagi penulis berperanan mendidik masyarakat ke arah kebaikan, dan kesejahteraan,” tegas Zabidin yang banyak menulis rencana dan buku sastera.