oleh Hamdan Hj. Yaakub

Moral daripada cerita (Moral of the story) “Musim Durian“ orang tebing Sg. Perak, Tuan Anuar Mohd Yusof adalah apabila tiba musim durian, kadang-kadang orang mula bengkeng atau sombong, ego dan bangga diri.

Walaupun saudara Anuar telah ‘dipelebau’ oleh bapa saudaranya kerana mengutip durian secara sembunyi tetapi bukanlah bermakna punca hilangnya ikatan persaudaraan.

Peristiwa itu hanya berlaku seketika dan bersifat sementara sahaja iaitu berlaku apabila tibanya musim durian sahaja. Sifat kasih sayang itu tetap berterusan diperlihatkan oleh saudara-mara tersebut apabila tibanya waktu membuat kenduri-kendara berkhatan, majlis perkahwinan. Merekalah yang telah bersama-sama berseputar membantu memasang khemah, memasak dan membuat persiapan yang lain. Tidak ada sedikit pun ada rasa dendam dan dengki dalam hati saudara-mara. Mereka tetap akan membantu kita.

Ironinya, setiap manusia mempunyai kelemahan tersendiri bergantung kepada situasi dan konteks. Kelemahan diri itu hanya wujud seketika sahaja sedangkan banyak lagi sifat kebaikan itu masih tersemat dalam sanubari manusia. Kita janganlah menghukum seseorang kerana sedikit sifat buruknya sedangkan masih banyak lagi sifat baik yang ditonjolkan kepada kita yang kadang-kadang kemudian baharu kita nampak atau ketahui. Berhati-hati dalam bertindak dan jangan dipengaruhi oleh orang lain. Gunakan akal fikiran yang rasional yang ada dalam potensi diri sendiri. Jangan kita bertindak  ibarat “marahkan nyamuk, kelambu dibakar.”

Itulah tafsiran saya seperti yang dimaksudkan  “Kontradiksi kasih sayang itu” oleh Tuan Anuar Mohd Yusof sebagai reaksi balas.