Antara program popular Karyawan Pk ialah Gebang Sastera (GS) . Istilah “gebang” lazim digunakan oleh masyarakat Melayu Perak yang membawa maksud proses komunikasi dua hala (sesi perbualan tidak formal). Apabila istilah ini dijamakkan dengan aksara “sastera”, ia bererti sesi wacana yang bertemakan sastera. Rekod penulis sepanjang sepuluh tahun, GS telah menjelajahi pelusuk Perak; Telaga Nanas, Sitiawan (1993), Kuala Kangsar (1994), UPSI-Tanjong Malim (1994), Ipoh (1994), Taiping (1994) Gerik (1994) dan Sungkai (1999).

Selain GS, Malam Puisi Menara Condong (Teluk Intan: 10 Dis.1994) juga mendapat perhatian masyarakat penulis tempatan di samping Gebang Puisi (Pasir Salak:11 Dis.1994) dan Gebang Puisi Bersama Penyair Zahari Hasib (Ipoh: 17 Mei 1998). Manakala Seminar Motivasi Sastera Darul Ridzuan (Teluk Intan: 26 Ogos 1995) anjuran bersama PENA dan Utusan Melayu, KL yang disempurnakan oleh mantan Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib merupakan aktiviti kemuncak yang berkaitan dengan siri GS.

Karyawan Pk tidak hanya menumpukan GS sebaliknya melebarkan kegiatan yang memberi manfaat kepada ahli dan calon penulis seperti Majlis Pelancaran Buku Kaedah Mokhdar karya Makhtar Hj Mansor (Teluk Intan: 9 Mac 1992); Diskusi Buku Revolusi Bahasa Karya Makhtar Hj. Mansor oleh Prof Emeritus Tan Sri Dr. Awang Had Salleh (Teluk Intan: 14 Mac 1992); Lawatan Muhibah Ke Medan – Aceh, Sumatera, Indonesia (18-21 Julai 1992), Bengkel Penulisan Kreatif (Slim River: 18 Jun 1995; Teluk Intan: 25 Jun 1995); Bengkel Asas Kewartawanan (Teluk Intan: 30 Dis.1995);Bengkel Penulisan Teater (Teluk Intan:16 Mei 1996); Lawatan/Penyelidikan ke rumah Gemulah Dato’ Ahmad Boestamam di Kg. Behrang Ulu, Tanjong Malim (14 Julai 1996); Pertemuan Penulis –Penerbit Fajar Bakti bersama A.F Yassin dan Mohd. Ghazali Tocheh (Ipoh: 30 Jun 1996); Pameran kartun & lukisan (Ipoh: 5 Ogos 2000)

Aktiviti penerbitan buku turut ditangani program Siri Projek Penulisan Buku Karyawan Pk (PINTAR). Misalnya, Ridzuan 1 selenggaraan Zabidin Hj Ismail (Cerpen & Puisi: 1994); Menara Condong (Zabidin Hj. Ismail; Puisi: 1994); Danau Hati ( Al Hisyam: Puisi: 2000) dan Suratan (M Shah; Puisi: 2000). Di samping itu, buletin berjudul “Suara Karyawan Pk” yang ditangani Zabidin Hj Ismail selaku Ketua Pengarang, sempat diterbitkan sebanyak empat keluaran (1994-1995). Buletin ini diedarkan ketika GS dijalankan sekaligus berfungsi menarik ahli-ahli baru.

Kekerapan melaksanakan pelbagai kegiatan menjadi faktor penting memupuk kepercayaan dan keyakinan masyarakat penulis terhadap kemampuan Karyawan Pk melebarkan skop keaktifannya di arena persoalan penulis nasional. Keyakinan dan harapan itu diluahkan oleh Jaafar Abdul Rahim (Utusan Malaysia, 6 September 1995:6) dengan menyatakan:

“Soal pembinaan teori kesatuan penulisan bukan soal penulis Perak sahaja bahkan menjadi soal penulis nasional. Tetapi biarlah ia saya kemukakan supaya difikirkan oleh penulis Perak dahulu. Saya fikir para pemimpin Persatuan Karyawan Perak yang cukup aktif mengadakan aktiviti sastera seluruh Perak, cukup berkemampuan untuk mendukung seruan saya ini.”

Namun, sepanjang ingatan penulis, para pemimpin Karyawan Pk tidak tergerak hati untuk mengotakan seruan Jaafar Abdul Rahim itu, meskipun sekali sekala ada dibincangkan secara informal di kalangan mereka. Kecenderungan mereka lebih ter tumpu untuk melahirkan penulis pelapis berbanding membicarakan soal-soal teori penulisan yang tentunya hanya untuk “hidangan” penulis mapan. Citarasa dan fokus objektif yang berbeza mengakibatkan seruan itu lesap dipuput bayu keghairahan GS. Apatah lagi ketika seruan itu dilontarkan, kepimpinan Karyawan Pk dibarisi penulis-penulis yang masih ghairah menempah nama di persada sastera negara.