oleh M Zaki Arif
|1
Pak Doktor termenung. Dia sedang memikirkan nasib watan bukan kesihatan. Kesihatannya tidaklah sesempurna dahulu. Sering batuk-batuk, berjalanpun mengheret kaki bukan melangkah tetapi ada hati pula hendak membugar sejarah. Dalam terbatuk-batuk itu buku tebal tidak pernah lepas dari tangan tuanya. Sebelah tangan memegang manakala jari telunjuk sebelah kanannya ligat menyelak-nyelak halaman buku mencari sesuatu fakta.
Nasib baik dia tidak tinggal di rumah orang tua tetapi menetap di rumah sendiri yang ditemani anak lelakinya yang setia. Di rumah sederhana kecil itu, dia menghabiskan sisa-sisa hidup setelah penat lelah berjuang di padang politik. Dia pernah berjuang membangkitkan nasionalisme anak bangsanya. Malah dia pernah lalui peperangan menentang kolonialisme.
Nasib Pak Doktor malang. Zaman tuanya tidak dipedulikan kerana dia seorang tokoh dalam kelompok komuniti yang kalah dalam perjuangan. Meskipun dia seorang tokoh dalam kelompok terbuang, justeru alasan itulah menyebabkan ketokohannya ditutupi dengan selimut dengki oleh orang-orang menang.
Begitulah sifat dunia, kemenangan membawanya ke lembah kufur! Dia menipu sejarah. Dia tidak seperti penjajah; membunuh sejarah. Walaupun orang-orang menang itu tidak mampu membunuh sejarah Pak Doktor, tetapi memadai dapat menutupi ketokohannya supaya generasi mendatang tidak berupaya mengenali bahawa dia adalah seorang pejuang negara!
Tiada siapapun yang mahu memartabatkan dia sebagai seorang tokoh nasionalis tanah air. Sebaliknya, kelompok komuniti yang menang memartabatkan tokohnya sendiri walaupun tidak sepatutnya dinobatkan!
Zalim dunia ini. Sejarah sebenarnya ditulis oleh orang yang menang. Kelompok komuniti Pak Doktor telah kalah dalam perjuangan, akhirnya disingkir dan terpinggir. Merempat selagi hayat di kandung badan.
Pak Doktor termenung. Dia memikirkan sesuatu. Fikirannya menerawang. Dia tersedar bahawa watannya sedang dikoyak-koyak dengan rakus. Janji demi janji dimeteri. Mereka dengan mudah membuat perjanjian. Mereka agih-agihkan negerinya dengan janji. Mereka tukar peta dan pecah sempadan menerusi sebuah perjanjian. Mereka lakar sempadan baharu melalui janji.
“Janji?”
“What?”
“Perjanjian tukar Bencoolen dengan Malaga.”
“Legal?”
“Yes”
“That means Straits Settlement States belongs to you?”
“Yes”
“Oo …Fantastic job.”
Perbualan itu didengarinya dalam mimpi. Semenjak semalam, Pak Doktor kerap bermimpi. Mimpi bukan lagi mainan tidur tetapi menjadi rutin. Pak Doktor hairan kenapa mimpi mengahwini tidurnya. Memeluk tidurnya sepanjang malam.
Kenapa tidak?
Tidur Pak Doktor berselimutkan nasionalisme, berbantalkan kekabu patriotisme dan bertilamkan Hubb al-watan min al-Iman lalu senang sekali dia bermimpikan kolonialisme. Apatah lagi akar antikolonialisme telah sedia membelit sanubarinya.
“Janji?” jerit minda Pak Doktor.
“Janji tentu ditepati,” ujar satu suara yang menceroboh minda Pak Doktor.
“Perjanjian tukar Bencoolen dengan Malaga?” jerit suara jalang.
“What?” Pak Doktor terpempan.
Pak Doktor berfikir. Dia menghitung-hitung kekesanan perjanjian ini. Fikirnya, tanah pusaka bakal tergadai. Kolonialis akan mengambil Malaga daripada penjajah A sebaliknya penjajah B kembali menduduki Bencoolen. “Sampai bila aku akan dijajahi,” tanya hati Pak Doktor, geram.
Ini permaian kolonial. Penjajahan menghalalkan perbuatan itu walhal haram bagi sang peribumi. Pak Doktor seorang peribumi yang berjuang. Bagi kelompoknya, Pak Doktor adalah seorang nasionalis namun persepsi bagi golongan penentang atau lawan, Pak Doktor merupakan petualang. Justeru gelaran yang diberikan kepadanya bersifat subjektif, berasaskan tafsiran yang memihak kepada kepentingan sendiri atau kelompok.
Lalu mereka gelar Pak Doktor dengan gelaran negatif bagi melemahkan semangat dan roh perjuangan pengikut-pengikutnya. Sahih, tindakan lawan ini menyebabkan hampir separuh jumlah pengikut setianya, beralih angin memaksa Pak Doktor naik angin.
“Celaka kau kolonialis.” Dia mencucuh muncung rokok daun ke api pelita. Dia sedut dalam-dalam rokok daun itu. Dia tahu asap itu akan membakar jantungnya sebagaimana perjanjian Bencoolen-Malaga itu akan memerun patriotisme bangsanya.
“Di manakah nasionalisme, di mana kamu? Bangkit kalian. Bangkit!” Seru Pak Doktor. Jiwanya memberontak. Rokok daun itu disedutnya dalam-dalam. Dia geram. “Celaka kau kolonialis,” diulang lagi sumpahnya.
Semalam Pak Doktor baru sahaja berbincang dengan Beraem dan Sako. Mereka berpakat hendak membenamkan kolonialis sebelum mereka sempat membuat perjanjian tetapi mana mungkin boleh berjaya jikalau bersenapangkan gigi dan lidah sahaja.
Mana mungkin boleh berjaya jikalau setakat doa munajat kepada Tuhan sedangkan sendiripun tidak tahu menggunakan kekuatan strategi; tiada plot tersusun rapi, nihil kecerdikan muslihat dan kosong kesatuan bulat patriotisme yang mampu membentuk gelombang serangan.
“Kita boleh cakap aja,” bentak Sako sambil melemparkan puntung rokok daunnya ke luar jendela.
“Kita gagalkan perjanjian,” jelas Pak Doktor tenang.
“Bagaimana?” cantas Beraem.
“Fikir sama-sama,” tegas Pak Doktor.
Sako menikam pandang ke wajah Pak Doktor. Mata Beraem tepat menentang wajah Pak Doktor. Namun riak muka Pak Doktor selamba. Bibirnya antara senyum dengan tidak. Dia ini, insan yang amat simple, tenang dan tidak mudah ditundukkan dengan kata-kata dan umpat cerca.
Pak Doktor memandang Sako dengan pandangan seorang abang terhadap adiknya. Pak Doktor memandang Beraem dengan pandangan sahabat sehati sejiwa. Pak Doktor sukar disuguh untuk memarahi kawan-kawan. Dia cukup tenang walaupun di belakangnya duri di depannya jarum. Kedua-dua, duri dan jarum itu bila-bila masa sahaja mampu mencederakan tubuhnya, tapi Pak Doktor masih tenang, sebening air di kali.
Namun apabila berdepan dengan kolonial, Pak Doktor bangkit menentang, “celaka kau kolonialis,” terkeluar sumpah seranahnya terhadap imperialis itu. “Kau campur urusan ranahku, nanti kau, aku benam engkau ke laut!” jerit kemarahannya.
“Baliklah ke negeri kamu, jangan kacau kami. Ini bumi kami! Ini ranah kami! Ini kampung kami! Jangan campur urusan kami!”
Setelah puas mulutnya menghemburkan sumpah seranah, Pak Doktor diam seketika. Dia berfikir lagi. Terlintas di mindanya suatu persoalan; “kenapa kamu datang ke ranah Nusantao ini? Why?” Pak Doktor termenung. “Why? Why?” Jerit suara hati Pak Doktor. “ Nusantao inilah satu-satunya bumi kami. Satu-satunya di dunia. Ini tanah leluhur kami! Jangan usik! Jangan usik!” bentak Pak Doktor melepaskan kemarahan yang kian tersangkut di sanubarinya.
Sahih, setiap pejuang tidak akan senang hati apabila pertiwinya diperkotak-katikkan. Jiwa nasionalismenya akan membungkam dan memberontak. Jiwa itu akan melawan walaupun penentangan sekadar mampu berperang di minda sahaja. Itu keupayaan Pak Doktor.
Berang sekali dia. Kenapa Pak Doktor hilang pertimbangan? Dia berang macam singa betina kehilangan anak. Kenapa Pak Doktor kehilangan kewarasan? Dia hilang kewarasan macam harimau terbakar ekor.
Pak Doktor yang tersohor ini, sebenarnya memiliki sifat lemah-lembut. Bercakap sopan-santun tetapi dalam sebarang tindak-tanduknya amat tegas. Pendiriannya kukuh. Keyakinannya ampuh.
Itu sebab terjentik kehairanan Sako dan Beraem. Pak Doktor yang mereka kenali sebelum ini, tidak pernah berkasar dan celupar memaki-hamun. Sejarah masa kecil Pak Doktor dibelai dengan penuh kasih sayang oleh bapanya, Lebai Hulaimi. Saban hari diasuh membasahkan bibir dengan zikir. Mengasahkan minda dengan titipan bunga-bunga kerohanian.
Sako dan Beraem kesangsian, apakah dia ini Pak Doktor yang pernah mereka gauli perjuangannya?
| 2
Pak Doktor didatangi pegawai kolonial. Dia mahu berbincang. Pak Doktor enggan berjumpa tetapi Sako dan Beraem mendesak Pak Doktor supaya akur permintaan pegawai kolonial itu. Sako dan Beraem sependapat apabila ada perbincangan, kedua-dua pihak dapat makluman dari hati ke hati. Daripada maklum balas yang diperolehi akan dijadikan asas untuk membuat pertimbangan dan keputusan. Pak Doktor pasti memahami situasi ini. Dia bukan sembarangan. Dia pernah belajar keluar negara. Memiliki ijazah berjela. Pernah berkawan dengan pejuang-pejuang kemerdekaan negara-negara terjajah. Masakan Pak Doktor kehilangan punca?
Sako dan Beraem walaupun rakan seperjuangan tetapi hormatnya kepada Pak Doktor umpama murid dengan guru. Berani memberikan pandangan tetapi jauh sekali membantah. Mereka tidak berani menyanggah arahan Pak Doktor kerana Sako dan Beraem menyifatkan Pak Doktor seorang ketua bertaraf tokoh yang memiliki ilmu pengetahuan yang melebihi mereka.
“Nusantao?” cetus pegawai kolonial.
“Ya ranah leluhur kami!” balas Pak Doktor
“Bencoolen-Malaga Treaty?”
“Kenapa mahu buat janji, tukarkan Malaga dengan Bencoolen. Kau ingat ini harta bapak engkau. Senang-senang buat janji. Pecah-pecahkan Nusantao ini.”
“Sako, mana keris kamu?”
“Ada Pak Doktor…bila-bila masa boleh dirodok,” jawab Sako tegas.
“Beraem, mana rentaka kamu?”
“Ada Pak Doktor…bila-bila masa boleh kuletupkan,” jawab Beraem serius.
“Kau dengar tu?” Ugut Pak Doktor kepada pegawai kolonial.
Sako merenung Pak Doktor manakala pegawai kolonial menjeling ke arah Sako. Namun tiba-tiba mata Sako memanah wajah pegawai kolonial. “Cis kolonialis engkau layak menerima tikaman keris kami!” Hambur Sako, ucap marah yang menggila itu.
“Kuletupkan rentaka ini biar kamu bersepai, ” jerit Beraem mengiringi ancaman Sako itu.
Pegawai kolonial terkulat-kulat. Ketarnya menjadi-jadi. Sesi bertikam lidah terhenti. Pegawai kolonial melihat Pak Doktor. Di kanan Pak Doktor berdiri tegap Sako manakala di kirinya pula, Beraem berbadan sasa.
Selempang bertulis kalimah Arab yang melilit kepala Sako, menggerunkan pegawai kolonial itu. Keris tersisip di pinggang Sako menakutkan pegawai kolonial. Muncung rentaka yang disandang Beraem tepat betul ditalakan ke muka pegawai kolonial. Bila-bila masa rentaka boleh meledak menyepaikan pegawai kolonial itu sebaik sahaja Beraem menerima perintah Pak Doktor.
“Kamu mahu buat janji lagi?” tanya Pak Doktor.
“Nusantao kita punya. Kita sudah berpakat dengan Bencoolen,” jelas pegawai kolonial.
“Cis celaka kau…senang-senang ngaku Nusantao milik kamu. Ini ranah aku!”
“Pak Doktor, keris sudah meronta untuk dirodok,” helah Sako.
“Nanti!” Tapak tangan Pak Doktor terkembang di udara.
“Pak Doktor, rentaka kubedik nih,” acah Beraem.
“Tunggu!” Tangan Pak Doktor didepang dan terapung di hadapan Beraem.
Mata Pak Doktor menikam wajah pegawai kolonial sepuas-puasnya. Mata mereka bertembung tetapi pegawai kolonial itu mengalah. Dia tidak tahan bertentangan mata dengan Pak Doktor. Dia tidak semena-mena menghulurkan tangan meminta maaf. Pak Doktor dalam kemarahan menyambut salam pegawai kolonial itu.
Sako tersenyum. Beraem menyeringai.
| 3
Hari ini 13 Januari 2041, Trans Nusantao Railways (TNR) melintasi Selat Nusantao dengan memasuki terowong dasar laut Pak Doktor yang menghubungkan Tolok Dong, Kolang dengan Dumai. Kereta api pecut ini memulakan perjalanannya dari Surattini pagi semalam dan akan menjelajah wilayah Nusantao hingga tersantak ke Rencung Siti sejauh dua ribu lebih kilometer.
TNR akan berhenti lama sedikit daripada stesen sebelumnya, di Padang Laweh. Ambil dan turunkan penumpang. Padang Laweh ada kaitan dengan silsilah Pak Doktor sebelah bapanya. Datuk Pak Doktor berasal dari sebuah kampung di padang Laweh kemudian merantau ke Malaga menaiki Lancang Kuning melintasi Selat Nusantao yang kini laluan laut yang telah direntangi pula oleh dua buah terowong dua hala yang moden tercanggih pada zaman ini.
Datuk Pak Doktor berkahwin dengan wanita Malaga lalu menetap di Bandar Hulu dan berniaga. Datuk itu tidak pulang-pulang ke Padang Laweh dan apabila meninggal dunia, jenazahnya dikebumikan di Tolok Dong, Kolang berhampiran persisir selat.
Sejarah tidak pernah mati.
“Engkau tidak boleh membunuh sejarah, sebab kami pelihara sejarah bangsa kami,” ujar Pak Doktor kepada pegawai kolonial. “Walaupun ada teori mengatakan bahawa untuk menakluki sesuatu bangsa itu, bunuhlah sejarahnya dahulu, kelak mudah menaklukinya,” Pak Doktor diam seketika dan berfikir, “cubalah, kalau berani!” amaran Pak Doktor.
Namun hari ini terbukti sejarah itu tidak dibunuh. Bermakna sejarah tidak pernah mati. Dahalu Bencoolen dan Malaga bertukar tuan kolonialnya. Visa dan sempadan diperkenalkan. Orang Bencoolen dan orang Malaga tidak lagi boleh bertandang berdagang, semuanya divisakan. Tetapi kini Bencoolen dan Malaga bercantum kembali dari segi lanskap politik. Visa dan sempadan sudah dibenamkan ke Selat Nusantao. Terowong dasar laut dibina. Pergilah ke Bencoolen kemudian balik ke Malaga tiada secebis visa diperlukan!
Bebas dan merdeka!
Padang Laweh dan Bandar Hulu tidak lagi terpisah. Bebas orang Padang Laweh mendatangi Bandar Hulu. Begitu juga orang Bandar Hulu bebas menyinggahi Padang Laweh tanpa visa dan halangan sempadan.
Ya…kebebasan dan kemerdekaan itu telah diperlihatkan oleh gambar Pak Doktor yang terpampang di pintu masuk terowong dasar laut.
Gambar wajah Pak Doktor yang hansem sambil menghisap rokok daun dan kelihatan asap berkepul-kepul di udara kelihatan agak unik dan mengesankan. Sedikit tulisan tentang profil Pak Doktor tertera di bawah gambar itu.
“Ah…ini gambar atuk ayah aku,” dakwa si beliau.
Siapa si beliau ini?
Tidak lain dan tidak bukan, si beliau ialah Menteri Perdana Nusantao kini.
M Zaki Arif telah menghasilkan novel Sungai Manik Berdarah (DBP:2021), antologi cerpen, “Malam Salju di Istanbul (Kayacipta: 2020), kumpulan puisi bertajuk Salju Sarajevo-Sajak-sajak Kembara Dunia (Kayacipta:2019) serta buku Memoir Bersama Tamar Jalis Penulis Siri Bercakap Dengan Jin (Kayacipta:2019). Cerpen eceran mutakhir tersiar dalam Dewan Sastera berjudul Kasbah Des Qudaias (April, 2020), Kedurung (Dewan Budaya, September 2020) dan Malam Salju di Istanbul (Dewan Siswa, Oktober 2020). Cerpen “Pak Doktor” ini merupakan fragmen novel Nusantao Mutiara Timur | Eden in the East yang bakal terbit tidak lama lagi.