Biografi penulis Perak: Jilid 1

Buku Biografi Penulis Perak: Jilid 1telah diterbitkan pada tahun 2020 oleh Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk). Dr. Zabidin Haji Ismail merupakan editor kepada buku ini. Buku ini mengandungi 270 halaman bercetak. Di dalamnya merangkumi 100 orang penulis negeri Perak iaitu 82 orang kategori penulis kreatif dan 18 orang kategori penulis non-kreatif.

Buku Biografi Penulis Perak: Jilid 1 ini berkisar tentang para penulis yang berada di negeri Perak. Kebanyakan para penulis ini berasal dari negeri Perak. Dengan kata lain, walaupun penulis itu bukan berasal atau kelahiran negeri Perak tetapi nama mereka juga dimuatkan dalam buku ini kerana sumbangan dalam bidang penulisan mereka dihasilkan di negeri Perak. Sumbangan para penulis ini sangat penting kepada generasi kini dan akan datang.

Menurut Dr. Zabidin Haji Ismail (2020: v) menyatakan bahawa “Kemunculan buku Biografi Penulis Perak Jilid 1 dan Jilid 2 adalah berpaksi kepada kepentingan dokumentasi bagi merakamkan sejarah keterlibatan penulis-penulis Perak dalam kegiatan penulisan baik di dalam mahupun di luar negeri Perak. Bilangan penulis kreatif atau non-kreatif begitu ramai sekali menyebabkan penerbitan buku ini terpaksa dipecahkan kepada dua jilid yang masing-masing jilid mengandungi biografi ringkas bagi seratus orang penulis kreatif dan non-kreatif.”

Realitinya, buku ini berfokus tentang biografi ringkas bagi setiap penulis iaitu menyentuh dari aspek latar belakang, akademik atau pendidikan yang diperoleh, karya-karya yang dihasilkan, kegiatan-kegiatan penulisan serta anugerah-anugerah atau hadiah-hadiah yang pernah diterima. 

Di antara biografi penulis kreatif termasuklah A. Talib Hassan yang terkenal dengan novel SAGA, Baharudin Kahar karya beliau yang masyhur iaitu Senjakala, Baha Zain yang merupakan Sasterawan Negara ke-12, Mana Sikana iaitu Sasterawan Perak ke-2 dan pengasas teori sastera teksdealisme, Talib Samat, Shapiai Mohd Ramly, Zabidin Haji Ismail dan ramai lagi.

Manakala biografi penulis non-kreatif adalah seperti Ahmad Sarji Abdul Hamid iaitu mantan Ketua Setiausaha Negara, Khoo Kay Kim tokoh dan Profesor Sejarah yang hebat, Mohd Zamberi A. Malek, Subky Latiff dan ramai lagi. Masing-masing menulis mengikut kepakaran, pengalaman dan kemahiran yang dimiliki.

Justeru, buku Biografi Penulis Perak: Jilid 1 itu sewajarnya dibaca dan dimanfaatkan oleh generasi muda untuk mengetahui, memahami dan menghayati pengalaman yang dilalui oleh para penulis dalam proses berkarya. Secara tidak langsung, kehebatan dan ketokohan para penulis ini dapat dijadikan idola, ikutan atau contoh untuk menulis atau berkarya.

Oleh:

Dr. Mohd Nazri bin Zainuddin

Jabatan Pengajian Melayu

Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh

Share via
Copy link
Powered by Social Snap