DYMM Sultan Perak Sempurnakan Pemasyhuran Politeknik Maritim Sultan Nazrin Shah
oleh Nimoiz T.Y
Bagan Datuk, 20 November 2025 — Politeknik Maritim Sultan Nazrin Shah (PMSN) hari ini mencipta sejarah apabila DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bersama DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, berkenan berangkat bagi menyempurnakan majlis pemasyhurannya sebagai institusi latihan maritim strategik negara.
Istiadat pemasyhuran itu turut disaksikan DYTM Raja Muda Perak, Raja Jaafar serta DYAM Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain, menandakan komitmen penuh kerajaan negeri terhadap pembangunan pendidikan teknikal maritim.
Pemasyhuran ini mengukuhkan agenda Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk memperkasa TVET maritim, selaras dengan usaha meningkatkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam sektor perkapalan dan ekonomi biru. PMSN dijangka menjadi pemangkin kepada ekosistem TVET Nasional melalui latihan berasaskan industri, pensijilan profesional dan pendekatan pembelajaran hands-on yang dirangka bersama pemain industri maritim tempatan dan antarabangsa.
Berlandaskan Dasar TVET Negara, PMSN memberi tumpuan kepada bidang berimpak tinggi seperti automasi maritim dan teknologi Industri 4.0, selari dengan keperluan sektor perkapalan moden yang menuntut tenaga kerja berkemahiran tinggi.
PMSN merupakan ilham Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, bagi membangunkan sebuah politeknik maritim khusus di Bagan Datuk. Politeknik ini memulakan pengambilan pertama pada 2017 melalui program Diploma Seni Bina Kapal sebelum kampus lengkap seluas 12.14 hektar siap pada 2023.
Dengan kapasiti sehingga 1,500 pelajar, PMSN berfungsi sebagai pusat pembangunan bakat maritim yang penting di bawah seliaan KPT. Penamaan institusi ini sempena DYMM Tuanku mencerminkan penghargaan terhadap peranan Baginda dalam memartabatkan pendidikan dan pembangunan insan.
Dari aspek akademik, PMSN menawarkan program berkaitan kejuruteraan marin, reka bentuk kapal, automasi perkapalan dan teknologi laut, selain berhasrat menjadi pusat penyelidikan maritim yang menyokong kerjasama strategik antara KPT, industri perkapalan serta ekonomi biru negara.
Majlis berkenaan turut dihadiri YAB Dato’ Seri Diraja Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Perak, YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad; Menteri Luar Negeri, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir; Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; serta Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah.
Sumber foto: Facebook Kementerian Pendidikan Tinggi