Ir. Ts. Dr. Azuin dari PUO Ungguli Anugerah Penerbitan Sempena Anugerah Akademia POLYCC 2025

oleh Nimoiz T.Y

SHAH ALAM, 9 Oktober – Ir. Ts. Dr. Azuin binti Ramli dari Politeknik Ungku Omar (PUO) muncul sebagai penerima Anugerah Penerbitan dalam Anugerah Akademia POLYCC 2025, sekali gus mengharumkan nama PUO di peringkat nasional. Penganugerahan berprestij ini mengiktiraf kecemerlangan beliau dalam bidang penulisan dan penerbitan ilmiah berimpak tinggi. Hasil karya tersebut turut menyumbang kepada pengukuhan ekosistem ilmu dan penyelidikan dalam rangkaian Politeknik dan Kolej Komuniti.

Anugerah Penulisan merupakan salah satu kategori dalam Anugerah Akademia POLYCC yang dianugerahkan kepada warga Politeknik dan Kolej Komuniti (PPPT) yang menunjukkan kecemerlangan berkarya dalam penulisan ilmiah dan kreatif berimpak tinggi. Penilaian anugerah ini mengambil kira bilangan penulisan dan pembentangan di peringkat kebangsaan serta antarabangsa selain menilai sumbangan terhadap bidang ilmu dan pemegang taruh.

Menurut penganjur, calon perlu mempunyai sekurang-kurangnya tiga penerbitan ilmiah atau kreatif asli dalam tempoh tiga tahun yang diterbitkan sama ada di peringkat kebangsaan atau antarabangsa. Penilaian dibuat berdasarkan impak penerbitan dan bilangan sitasi, menjadikan anugerah ini sebagai antara pengiktirafan paling berprestij dalam dunia akademik Politeknik dan Kolej Komuniti.

Menurut Ir. Ts. Dr. Azuin, pengiktirafan ini amat bermakna dan menjadi pemangkin untuk terus menerbitkan hasil penulisan.

“Saya berasa amat bersyukur dan berbesar hati atas pengiktirafan ini. Ia merupakan penghargaan terhadap usaha berterusan dalam memperkukuh budaya penulisan dan penerbitan berimpak tinggi di Politeknik Ungku Omar. Anugerah ini menjadi dorongan untuk terus berinovasi serta menyumbang kepada pembangunan ilmu dalam bidang TVET. Saya percaya setiap hasil penulisan yang berkualiti mampu memberi impak positif kepada komuniti akademik serta memperkukuh reputasi POLYCC sebagai institusi peneraju TVET negara,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kegiatan penulisan berperanan penting dalam merancakkan pembangunan institusi pendidikan tinggi.

“Melalui penulisan ilmiah, hasil penyelidikan dan inovasi dapat dikongsi serta dimanfaatkan oleh komuniti akademik dan industri. Saya percaya usaha memperkasa penulisan akan memperluas jaringan kolaborasi antarabangsa serta meningkatkan peranan POLYCC sebagai pusat kecemerlangan ilmu yang progresif dan berdaya saing di peringkat global,” jelasnya lanjut.

Untuk rekod, Ir. Ts. Dr. Azuin kini berkhidmat sebagai Pensyarah Utama di Politeknik Ungku Omar dan menjawat jawatan sebagai Ketua Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dan Inovasi, Politeknik Ungku Omar. Beliau aktif menghasilkan penyelidikan dan penerbitan ilmiah dalam bidang kejuruteraan dan kelestarian serta komited memperkukuh budaya inovasi dan penulisan dalam kalangan warga Politeknik dan Kolej Komuniti.

Sumber Foto: Azuin Ramli

Share via
Copy link
Powered by Social Snap