Program Bicara Karya Kreatif Semarakkan Sastera di IPG Kampus Ipoh

Oleh Nimoiz T.Y

IPOH, 20 Ogos 2025 – Program Bicara Karya Kreatif yang berlangsung di Dewan Seri Melati, Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh hari ini berjaya menyemarakkan apresiasi sastera tanah air. Acara ini menghimpunkan pelatih guru, penulis, pengkaji serta pensyarah dalam sebuah wacana ilmiah yang penuh berisi.

Program anjuran bersama Jabatan Pengajian Melayu IPG Kampus Ipoh, Karyawan Pk dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara ini bertujuan memberi pendedahan kepada khalayak tentang karya kreatif selain menggalakkan budaya membaca.

Sesi wacana yang dimoderatorkan oleh Dr. Mohd Hafiz Mohamad Tamizi ini menampilkan tiga ahli panel berpengalaman iaitu Cik Nor Azimah Ariffin, Puan Fadzilah Abdul Rahim dan Dr. Nor Anita Mat Isa. Sesi bicara yang penuh intelektual itu berjaya membuka ruang pertemuan antara pengkarya dan khalayak pembaca.

Tiga karya utama dijadikan fokus dalam program kali ini iaitu novel Geliga karya Mohd Paris Arshad, kumpulan sajak Masuk ke Dalam Hujan karya Nimoiz T.Y dan novel Mimpi yang Hilang karya Amir Hamzah.

Dalam ucapan aluan, Dr. Murniza Muhamad, Timbalan Pengarah IPG Kampus Ipoh, menyifatkan platform seperti Bicara Karya Kreatif amat penting kerana berupaya menghubungkan dunia penulisan dengan dunia pendidikan. Hal ini bukan sahaja memperkasa kedudukan sastera sebagai medium ilmu dan seni, malah mampu melahirkan masyarakat yang lebih peka terhadap nilai bahasa, budaya dan pemikiran.

Menurut Cik Nor Azimah Ariffin, novel Geliga karya Paris Arshad menceritakan suasana di sebuah kampung di Pekan Batu Gajah, Perak dengan menyorot kisah watak Azam yang mengisi masa lapang sementara menunggu keputusan SPM.

“Sepanjang penceritaan dan perjalanan kisah Azam terselit watak di sekeliling Azam yang mewarnai hari-harinya. Ada watak remaja nakal mencari batu geliga, watak masyarakat kampung, watak ibu-ibu dengan celotehnya, watak sekuntum bunga yang sering diingat senyum berlesung pipitnya.”

Ketika membicarakan kumpulan sajak Masuk ke Dalam Hujan, Puan Fadzilah Abdul Rahim menyifatkan karya tersebut begitu mempesona dan sangat sesuai untuk bacaan remaja. Buku ini sarat dengan elemen kampung halaman, hujan dan lain-lain yang mampu membawa kepada citra pembinaan diri remaja berkarisma.

Masuk ke Dalam Hujan sebuah karya bercakap-cakap perihal diari seorang penulis. Setiap lapangan pada pandangan mata akan dicoretkan menjadi satu perkongsian bersama-sama khalayak,” ujar beliau.

Sementara itu, novel Mimpi yang Hilang karya Amir Hamzah pula mendapat perhatian panel kerana kekuatan tema dan mesejnya.

Novel Mimpi yang Hilang karya Amir Hamzah merupakan karya yang baik kerana sarat dengan tema kasih sayang merentas sempadan agama dan bangsa. Karya ini juga kaya dengan beberapa persoalan seperti pengorbanan seorang bukan Islam menjaga anak beragama Islam, keikhlasan dalam menunaikan janji, hubungan antara agama dan kemanusiaan, penderitaan akibat pengkhianatan rumahtangga dan konflik dalam pengurusan jenazah kerana berbeza agama,” ujar Dr. Nor Azimah ketika membicarakan novel ini. Difahamkan, novel ini sebenarnya mengangkat kisah benar yang berlaku di Kinding, Perak.

Program yang berlangsung dari jam 2.00 hingga 5.00 petang itu menerima sambutan hangat daripada guru pelatih, pensyarah, penulis serta peminat sastera sekitar Ipoh. Kehadiran yang memberangsangkan ini membuktikan bahawa minat terhadap karya kreatif dan sastera tanahair masih segar dan perlu terus dipupuk.

Program ini telah dirasmikan oleh Dr. Zabidin Haji Ismail, Presiden Karyawan Perak. Turut hadir ialah Puan Khairul Anum Mohd Ali, Timbalan Pengarah DBPWU dan Dr. Mohd Nazri Zainuddin, Ketua Jabatan Pengajian Melayu, IPG Kampus Ipoh.

Majlis ini turut diserikan dengan persembahan tokoh penyair tersohor negeri Perak, Sabariah Bahari dan Abd Hanif Musa.

Kredit Foto: Fauzi (DBPWU)

Share via
Copy link
Powered by Social Snap