Perjuangan dan Pena Menghidupkan Semula Legasi Bekor

oleh Nimoiz T.Y
Bekor, Manong (15 Dis 2024) – Program “Bertandang Sejenak di Bekor” mencatat kejayaan gemilang apabila sebilangan besar penulis dan pencinta sastera tanah air membanjiri Kampung Bekor. Hampir tiga ratus tetamu hadir datang meraikan pelbagai acara menarik yang memartabatkan seni dan sejarah termasuklah pelancaran buku-buku bertemakan Bekor, deklamasi puisi, pengisahan Perang Bekor, bicara novel Ketika Itu di Bekor serta sketsa pahlawan perang Bekor.
Acara ini menghidupkan kembali sejarah dan semangat juang masyarakat Bekor yang telah mempertahankan kampung mereka daripada serangan komunis pada 6 Mac 1946. Kisah keberanian ini diangkat secara kreatif melalui karya sastera menjadikannya relevan dan menyentuh hati generasi baharu.
Buku-buku bertemakan Bekor laris terjual membuktikan bahawa seni dan sejarah mampu menimbulkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat.
Selain itu, pelancaran antologi kompilasi yang mengandungi esei, anekdot, sajak dan cerpen turut mencuri perhatian. Ini membuktikan sambutan luar biasa daripada khalayak umum. Ternyata, program ini terbukti sebagai langkah strategik dalam usaha memasyarakatkan sastera kepada khalayak.
Kerjasama erat antara Persatuan Karyawan Perak (Karyawan PK) dan Komuniti Bekor turut membuka peluang cerah ke arah penubuhan Galeri Perang Bekor yang bakal menjadi pusat sejarah untuk mengenang kembali perjuangan penduduk Bekor hampir 80 tahun lalu.
Dalam serangan subuh pada 6 Mac 1946, pahlawan-pahlawan Bekor bertempur dengan pengganas komunis demi mempertahan agama, bangsa dan tanah air. Kisah keberanian mereka yang bersenjatakan parang panjang dan lembing serta jeritan “Allahu Akbar” yang menggegarkan pagi itu masih hidup dalam jiwa waris Bekor.
Deklamasi sajak oleh Ijamala MN, Sabariah Bahari dan Onn Abdullah menambahkan lagi kehangatan suasana. Sementara itu, cucu pahlawan Bekor iaitu Haji Khaironi Abd Aziz dan Zakiah Hanom Abdul Aziz menyampaikan kenangan perjuangan nenek moyang mereka dengan penuh emosi.
Kemuncak acara ialah pengisahan Perang Bekor menyentuh emosi oleh Dato’ Sallehudin, anak jati Bekor. Beliau menceritakan bagaimana serangan waktu subuh itu memaksa penduduk bertindak balas dengan senjata seadanya.
“Allah Taala sajalah yang tahu betapa remuknya hati bila surau kami dibakar.” Ujar beliau. Kisah yang diceritakan beliau membuatkan Dewan Komuniti Kubang Udang, Bekor hening dalam kesedihan dan kebanggaan.
Persatuan Karyawan Perak merakamkan penghargaan kepada penduduk Kampung Bekor, Kubang Udang, Mandah, dan Tasek Perkasa atas kerjasama dan sokongan yang diberikan. Semangat sastera yang berakar di desa terus menyerlah di Bekor, membawa sastera kembali ke pangkuan masyarakat.
“Terima kasih daun keladi, kalau boleh kami akan kembali,” ujar wakil Dr. Zabidin Haji Ismail, Presiden Karyawan PK dengan penuh rasa penghargaan.