Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk) ditubuhkan pada 15 Februari 1992 di kediaman rasmi Majistret Kanan, Teluk Intan –Tuan Makhtar Mansor . Namun rentetan kelahiran Karyawan Pk bukan bermula dari situ, tetapi di pejabat Utusan Melayu, Jalan Sungai Nibong, Teluk Intan dengan nama asalnya; Persatuan Penulis Islam Perak (3PI) yang diasaskan pada 13 Mei 1991. Badan ini memohon didaftarkan pada 30 September 1991 yang beralamat JKR 613 Jalan Sultan Abdullah, Teluk Intan.

Setelah melebihi setahun 3PI menanti kelulusan Jabatan Pendaftar Pertubuhan tetapi tiada jawapan, pada 8 Mac 1992 kami berbincang di bilik bacaan Makhtar mengenai 3PI sekaligus mengambil keputusan bertemu pihak berkenaan, namun atas pengaruh jawatan Makhtar, pegawai Pendaftar Pertubuhan Perak sebaliknya berkunjung ke Teluk Intan dan kami berbincang di rumah rehat dan memutuskan menyambung semula permohonan 3PI tetapi dengan nama Karyawan Pk pula. Setahun kemudian ia diluluskan Pendaftar Pertubuhan Malaysia bertarikh 15 Februari 1993 ( No. Pendaftaran: 3552/93 Perak).

Makhtar kekal sebagai Ketua I Penaja sehingga 2 September 1992, kemudian dipangku Abu Bakar Al Sidek Hashim sehingga mesyuarat agung pertama di SM Raja Perempuan, Bainon, Ipoh (17 April 1994) yang disempurnakan Pengarah Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Negeri Perak, Encik Mustapha Kamal Tajudin. Dalam rekod penulis jawatankuasa penubuhan terdiri seramai 17 orang yang mewakili 5 daerah di Perak. Manakala dalam Penyata Jawatankuasa 1992/1993 peneraju Karyawan Pk pada peringkat awal penubuhannya adalah seramai 15 orang sahaja.

Mesyuarat agung pertama mengesahkan pemilihan J/Kuasa yang menyaksikan Ketua Dua disandang Hj Kamarudin Mohd Dani manakala jawatan Setia Usaha satu dan Bendahari bertukar tangan antara Zabidin Hj Ismail dan M Saleh Mahyat serta beberapa muka baru terpilih sebagai J/kuasa iaitu Che Su Deraman (Sitiawan), Sabariah Bahari (Ipoh), Maznah Mohamed @ Malina M (Taiping) dan Aminah Abdul Malik (Gopeng). Mesyuarat ini juga mencatat sejarah kerana membangkit beberapa usul bertaraf negeri dan nasional seperti berikut:

• Penubuhan Akademi Penulis Perak di Tanjong Malim

• Anugerah Penulis Perak ( berjaya dilaksanakan pada 1995 oleh Kerajaan Negeri Perak setelah menerima memorandun Karyawan Pk).

• Merayu Kerajaan Malaysia menarik balik arahan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam bidang sains dan teknologi di universiti tempatan.

• Menyaran Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan memendekkan tempoh pengajian Diploma Penulisan Kreatif di Akademi Seni Kebangsaan (ASK) dari empat ke satu tahun serta menggugurkan syarat kelayakan masuk lulus matematik (Walaupun tidak dipenuhi tetapi usul ini mendapat respons kementerian berkenaan).

Penulis sengaja memaparkan kembali usul-usul berkenaan bagi melihat sejauh mana kemampuan dan kematangan badan ini dalam memperjuangkan isu-isu yang berkaitan dengan kesusasteraan dan persuratan Melayu ketika usianya setahun jagung. Justeru dengan penampilan tersebut tidaklah boleh kita melontarkan tafsiran serong bahawa dalam mesyuarat agung yang terkemudian, usul tidak dibahaskan.

Perbahasan usul yang kontemporari sifatnya tetap ada pada hampir setiap kali mesyuarat agung.

Catatan A Rahim Abdullah (Berita Minggu, 31 Dis.1995:22) misalnya menyebut:

“Sebuah lagi persatuan yang memperjuangkan bahasa Melayu ini ialah Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk) yang dalam mesyuarat agungnya di Teluk Intan pada 25 Ogos lalu menghasilkan tiga usul penting.”

Isu bahasa Melayu acapkali mengalir dalam denyut jantung Karyawan Pk. Maka, tidak menghairankan ia sering dibahaskan dalam mesyuarat agung, apatah lagi sesuai dengan slogan yang diwar-warkan melalui surat rasminya; “Kami Cinta Bahasa Melayu”.