Hamdan bin Yaakub atau Medan HY merupakan Bendahari Karyawan Pk sesi 2021 – 2022. Selepas bersara bulan lepas, beliau ingin terus menulis selain menyumbang khidmat bakti kepada Karyawan Pk. Baru-baru ini, Nimoiz T.Y (NTY) berpeluang mewawancara Medan HY (MHY) secara maya. Ikuti wawancara NTY dan MHY.

NTY: Boleh ceritakan serba-sedikit tentang diri Haji Hamdan. Terutama yang bersangkutan dengan kehidupan zaman kanak-kanak dan remaja sebelum bergelar penulis.

MHY: Saya dilahirkan pada 7 Januari 1961 di Batu 18, Kg. Pasir Sena, Lambor Kanan, Parit, Perak. Bersekolah awal di SK Lambor Kanan. Bersekolah menengah di SMDARY Bota Kanan dan SIS Parit, Perak. Saya seorang budak kampung biasa yang menjalani kehidupan kampung.

Sewaktu kecil saya seorang budak yang proaktif. Suka mandi sungai Perak tidak kira pagi, tengah hari dan petang. Saya biasa turun ke sawah menolong ibu bapa. Pada waktu petang bermain bola sepak dengan kawan-kawan tidak pernah diketepikan.

Rumah saya berhampiran sawah padi. Pada sebelah malam saya turut serta bermain badminton berlampukan gaoslin bersama orang kampung selepas mentelaah dan membuat kerja sekolah. Kampung saya lambat dibekalkan lampu elektrik. Saya menelaah pelajaran di bawah pelita gas. Kadang-kadang saya menyertai pasukan rebana kampung saya ke jemputan rumah orang kahwin.

Sebenarnya saya bukanlah seorang murid sekolah yang cerdik sewaktu alam persekolahan. Nasib menyebelahi saya. Saya mula mewakili sekolah dalam pasukan sepak takraw semasa dari darjah empat lagi dan pernah menyertai pasukan pelari berganti-ganti 4 X 100 meter sekolah ke peringkat daerah di stadium Bakri Rais Bota Kanan. Dalam fikiran saya hendak bermain sahaja.

Semasa saya remaja, saya rasa masa banyak dihabiskan dengan bermain bola sepak. Mewakili pasukan kampung dan mukim Lambor dalam liga daerah Parit. Semasa di sekolah menengah saya sering melanggar peraturan sekolah menyebabkan saya dan rakan sering didenda, dirotan dan “public canning” oleh guru disiplin dan guru mata pelajaran terutama Sejarah dan Matematik. Dengan izin Allah, semasa peperiksaan SRP dan SPM saya lulus dengan baik. Pada masa itu, kami hanya bergantung penuh dengan buku teks sahaja dan kurang buku-buku tambahan lain.

Sebelum pergi ke sekolah (Tingkatan 1-3) sesi petang, saya dan ibu bapa tetap ke sawah sehingga pukul 11.00 pagi. Pukul 11.45 pagi barulah bergerak untuk ke sekolah. Paling menggembirakan saya ialah saya dipanggil ke Majlis Hari Anugerah SMDARY Bota Kanan kerana pencapaian subjek Geografi Terbaik SPM. Semasa itu saya dan hanya beberapa orang aliran Melayu telah berjaya melanjutkan pelajaran ke Tingkatan Enam Rendah di Sekolah Iskandar Shah Parit,Perak. Kamilah “First Batch” Tingkatan Enam Kategori Sekolah Luar Bandar pada masa itu.

NTY: Dengar kata Tuan Haji baru bersara. Apa perancangan Tuan Haji untuk mengisi usia persaraan.

Saya bersara pada 7 Januari 2021 yang lalu. Jawatan terakhir saya ialah Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Melayu, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh, Hulu Kinta, Perak. Saya telah berkhidmat dalam bidang pendidikan ini selama 35 tahun 10 bulan 6 hari.

Saya merancang, Tuhan yang tentukan. Perancangan saya untuk mengisi usia persaraan saya hanyalah “Selagi Menulis Terus Menulis”. Saya akan terus menerbitkan buku sama ada secara sendiri atau penerbit luar. Saya sedang berkira-kira untuk ke SSM.

Pada pendapat saya, menulis merupakan senaman otak supaya sentiasa berfikir dan tidak beku. Buat masa ini, saya sudah mulakan dengan penulisan buku autobiografi, biografi, puisi, cerpen dan sejarah. Apa yang terlintas di fikiran saya, saya akan fikirkan untuk dibukukan. Menulis itu kepuasan diri, hanya khalayak atau audien sahaja yang berhak menilai. Janji kita menulis. Kita hanya boleh menjadi diri kita dan bukan orang lain. Potensi, bakat dan kemampuan kita tidak sama.

Setakat ini, itulah sahaja perancangan saya untuk mengisi usia persaraan di samping meningkatkan ilmu agama kita untuk ke akhirat.

NTY: Tuan Haji pernah terbit buku sendiri. Boleh ceritakan pengalaman kalau tidak keberatan. Apa pendapat Tuan Haji tentang konsep “Terbit Sendiri” yang banyak dilakukan oleh penulis.

MHY: “Terbit Buku Sendiri” ini bermaksud proses menukar bahan bertulis yang kita miliki ke dalam bentuk buku bercetak atau e-book . Kemudian kitalah memasar, menjual dan mengedar sendiri buku yang diterbitkan kepada kedai buku, pengedar dan pengguna akhir iaitu pembaca. Dengan kata lain, penulis memiliki kuasa penuh dalam urusan proses penerbitan buku kita.

Kita yang membuat keputusan dan penulis itu sendiri yang menanggung risikonya. Setakat ini saya hanya menerbitkan buku sendiri sebanyak lima buah. Selainnya penerbit luar.

Pengalaman saya, terdapat juga faedah yang menguntungkan kerana untung modal kita yang anggarkan. Lagi pun kita yang berkuasa dalam menentukan kualiti, harga dan rupa buku yang diterbitkan. Biasanya, pembeli memang sudah tersedia berdasarkan target sasaran kita.

Lagi satu, jangkaan untuk menerbitkan penulisan buku kita tidaklah begitu lama tempohnya. Kita yang menentukan tempoh. Buku akan berada di pasaran lebih cepat dan keuntungan boleh dibuat pusingan modal seterusnya. Ada modal semua boleh jadi. Di samping itu, kita boleh terbit apa sahaja buku yang kita mahu. Kita yang keluar belanja.

NTY: Di IPG, Tuan Haji merupakan ahli akademik. Di luar, tuan haji merupakan seorang penulis kreatif. Antara tulisan akademik dengan tulisan sastera, mana yang lebih menyeronokkan?

MHY: Sebenarnya, tidak kira apa karya pun sama ada karya sastera atau karya akademik. Janji kita menulis. Hal ini berdasarkan ruang, peluang dan potensi yang kita miliki.

Jangan kita hadkan kepada satu sudut bahan penulisan berunsur sastera sahaja seperti menulis puisi, cerpen, novel dan lain-lain. Setakat ini, saya tidak menulis berdasarkan satu genre atau  aspek sahaja. Malah mungkin saya akan menerokai aspek penulisan keagamaan yang termampu. Saya menganggap semua ilmu sama ada ilmu fardu ‘ain dan fardu kifayah itu adalah ilmu milik Allah. Jadi terjemahkanlah dalam penulisan yang tidak mendatangkan masalah.

NTY: Sebagai “orang lama”, apa nasihat Tuan Haji kepada penulis muda yang baru melangkah ke alam penulisan.

MHY: Dalam arena ini “katak harus keluar dari bawah tempurung”. Seterusnya harus bersedia melaksanakan penghijrahan. Penulis mesti sanggup berkorban masa, tenaga, jangan berputus asa dan rajin membaca.

Banyakkan mengikuti kursus penulisan, rajin menulis, bersama dengan golongan bermotivasi, sertai persatuan penulis dan tokoh.

Usah berhenti memperoleh, mengembang dan memperbaiki dan mulakan sekarang. Usah menunggu sehingga menjadi penulis yang serba sempurna dan sanggup berkorban sedikit wang ringgit serta tidak boleh berputus harap. Paling penting, sentiasa positif kepada Tuhan.

Semua ini tidak akan datang serta-merta tetapi buatlah berperingkat-peringkat tanpa henti dan berputus asa. “Selagi Menulis Terus Menulis”.

NTY: Terima kasih Tuan Haji. Semoga terus dikurniakan kesihatan yang baik untuk terus menulis. Hingga jumpa lagi.