Kerjaya sebagai editor masih dipandang sebelah mata oleh masyarakat. Paling menyedihkan, ada sesetengah penulis terutama mereka yang menerbitkan sendiri buku langsung tidak memandang pun tugas editor. Pada mereka, buat apa upah editor kalau boleh menyunting sendiri karya. Lebih baik gunakan duit itu untuk menampung kos cetak. Baru-baru ini, Nimoiz T.Y (NTY) berkesempatan menemubual saudara MK Riza (MKR) untuk berkongsi pandangan tentang kerjaya sebagai editor. MK Riza merupakan editor dan penulis kelahiran Perak yang kini bermastautin di Changkat Jering.

NTY: Assalamualaikum tuan. Pertama kali, terima kasih kerana sudi ditemubual walaupun sibuk dengan tugasan harian. Boleh tuan kongsi sedikit tentang diri sebagai salam perkenalan.

MKR: Waalaikummussalam. Terima kasih tuan kerana sudi mewawancara saya. Nama penuh saya Mohd Khairul Riza bin Tuan Mohd Yusop. Dalam dunia penulisan, saya menggunakan nama pena MK Riza untuk bidang penulisan. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Pengajian Media) Universiti Malaya. Pernah melakukan praktikal di Creative Enterprise Sdn Bhd. Syarikat yang terkenal dengan majalah Gila-Gila dan penerbitan novel.

Saya pernah bekerja di Arus Intelek Sdn Bhd. Syarikat ini banyak terlibat dengan tender buku teks. Oleh itu saya banyak menangani pekerjaan sebagai editor buku teks dan majalah pendidikan. Di sini, merupakan universiti sebenar saya apabila saya didedahkan dengan realiti sebenar dunia penerbitan buku.

Kemudian saya beralih ke syarikat penerbitan Pearson Sdn Bhd atau dikenali juga dengan nama terdahulunya sebagai Longman. Syarikat ini terlibat dengan penerbitan buku bersilibus. Saya menjadi editor buku mata pelajaran sejarah dan editor dalam mata pelajaran Kemanusiaan. Sebagai sebuah syarikat luar, saya berkesempatan bekerja dengan “Mat Saleh” sebagai majikan atasan. Banyak gaya kerja dan cara penerbitan daripada mereka yang dapat dipelajari.

Foto: Bersama rakan sekerja Pearson Malaysia

Lama di Pearson, selepas syarikat ini menutup operasi penerbitan buku bersilibusnya di Malaysia, saya beralih arah ke sebuah GLC milik kerajaan iaitu Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM). Saya diletakkan di bawah Jabatan Buku Malaysia yang menerbitkan karya asli sasterawan dan penulis Malaysia. Di sini saya membina jaringan dengan ramai penulis hebat dan juga penulis pemula.

Kemudian, saya berhenti kerja dan menjadi editor serta penulis bebas. Saya bekerja dari rumah sahaja. Saya menangani penyuntingan buku pelbagai penerbit dan orang perseorangan. Antaranya Karangkraf, Nuha Creative Resource, Thukul Cetak, Nusa Mas Sdn Bhd, ITBM, DBP, dan lain-lain.

Foto: Bersama penulis Akiya semasa bertugas di ITBM

Selain itu saya juga menulis. Selain menghantar karya ke DBP dan juga akhbar-akhbar, saya menulis untuk Blink Book, iaitu syarikat milik penulis remaja terkenal Ain Maisarah. Saya juga menulis untuk produksi Bookiut. Kini dua buku saya bakal diterbitkan oleh Penerbit Universiti Utara Malaysia dan juga DBP.

NTY: Saya kagum dengan pencapaian tuan. Sudah tentu banyak pengalaman terlibat terlibat dengan pelbagai penerbit. Sebenarnya, apa tugas utama editor. Adakah sekadar membetulkan kesalahan ejaan sahaja?

MKR: Hahaha. Kalaulah sekadar semak ejaan pun bukan tugas yang senang.

Ada banyak salah tanggap tentang tugas editor buku malahan banyak juga tidak pernal tahu dan kenal pekerjaan editor. Editor buku bukan sahaja membetulkan ejaan tetapi skop pekerjaannya lebih luas daripada itu. Editor berperanan penting sejak sesebuah buku itu hanya dalam bentuk idea sehinggakan menjadi buku fizikal atau buku maya yang dibaca pembaca.

Sebahagian fungsi editor membina tajuk yang diperlukan oleh institusi tempatnya bekerja. Merangka buku itu sehingga menjadi cantik dan hebat, bekerjasama dengan pereka letak dan pereka kreatif, turun padang membantu pemasaran malah kadang-kadang menjadi kaunter pertanyaan menjawab segala serbaneka hal buku.

Ya, tentu sahaja editor bukan sahaja bercerita tentang membetulkan ejaan dan memeriksa tatabahasa. Editor memastikan keselarasan bahasa, menyemak fakta yang ditulis penulis supaya benar, mencantikkan ayat supaya pembaca tidak tersekat-sekat pemahamannya, memudahkan pengaliran idea yang ingin disampaikan penulis, dan segala-galanya tentang memperelok sebuah buku.

NTY: Kalau begitu, jelaslah tugas editor ini bukan senang. Baik, apa cabaran utama tuan sejak 20 tahun bergelar editor.

MKR: Secara umum, sejak 20 tahun menjadi editor, saya fikir cabaran utamanya adalah untuk meletakkan kerja editor ini sebagai suatu kerjaya yang dikenali, bukan lagi di sebalik tabir dan meningkatkan prestij hal-hal kerjaya editorial. Selain itu, fikir saya pembaca buku patut disedarkan bahawa jika sesebuah buku itu bagus ia bukan disebabkan penulis sahaja, ia disebabkan adanya seorang editor yang berperanan menjadikan karya itu bagus.

Jika dilihat daripada cabaran terkini, kemuraman industri buku kita disebabkan pandemik COVID-19 secara tidak langsung memberikan kesan rantaian kepada editor bebas seperti saya ini.

NTY: Ya memang betul, kita semua terkesan dengan COVID-19. Semoga wabak ini segera berlalu dan kita dapat menghadapi kehidupan dengan sempurna. Sama-sama kita doakan. Kita kepada soalan yang seterusnya. Boleh tuan berikan sedikit nasihat kepada para penulis yang mahu menghantar karya kepada pihak penerbit atau terbit sendiri karya.

MKR: Kepada penulis, pertamanya bantulah editor untuk menghadapi manuskrip. Sebagai penulis kalian perlu tahu serba sedikit tentang asas-asas seperti ejaan dan tatabahasa. Jika tidak, kalian tidak layak digelar penulis. Lakukan penyuntingan sendiri terlebih dahulu sebelum anda menghantar karya kepada penerbit.

Kepada penulis terbit sendiri, jangan berkira tentang soal kewangan untuk menghantar karya anda supaya diedit. Terbit sendiri bukan bermakna anda sunting sendiri karya anda. Anda perlukan mata lain untuk menyemak karya anda. Karya anda umpama anak kandung yang dilahirkan setelah sekian lama anda mengandung. Sudah tentu kita mahu anak yang comel dan sempurna.

Ini soalan yang terakhir. Apa harapan tuan terhadap industri perbukuan di Malaysia.

Harapan saya  agar penerbitan buku di negara kita akan terus berkembang walau apa-apa pun rintangan yang datang. Buku tak pernah mati. Ia hidup selama-lamanya. Buku immortal. Jika sebahagian mengatakan buku akan kalah dengan gajet, ia tidak benar. Buku akan hidup sebagai moyang tertua gajet. Buku fizikal tidak pernah kalah oleh buku elektronik. Kerana setiap cita rasa manusia berbeza dan cita rasa terhadap buku fizikal selalu akan ada.

Kepada kerjaya sebagai editor buku pula, saya berharap ia mendapat pengiktirafan sepadan. Ia  tidak patut dianggap sebagai kerjaya murahan dan sekadar ada sahaja. Kadar bayaran kepada editor sama ada gaji ataupun kadar upah kepada editor bebas perlu diselaraskan sejajar matlamat kita mahu menuju ke negara maju.

Maju apakah negara kita jika kadar pembacaan dan penerbitan buku masih rendah dan pekerjaan sebagai seorang editor tiada dalam kelasnya tersendiri.

NTY: Terima kasih tuan kerana sudi diwawancara. Didoakan semoga tuan terus dikurniakan kesihatan yang baik serta rezeki yang melimpah.

Jika anda mahukan khidmat suntingan buku dan penulisan, bolehlah hubungi beliau di facebook MK Riza.