oleh Nimoiz T.Y
Kita bercakap tentang Sasterawan Negara yang mendunia. Salah satu elemen yang perlu diambil kira ialah, karya Sasterawan Negara (SN) nanti mampu setanding dengan sasterawan besar dunia. Karya itu nanti kelaknya mampu dicalonkan untuk Anugerah Nobel.
Bukan tidak ada karya sasterawan Malaysia yang setanding dengan karya penulis Jepun, Jerman, China atau United Kingdom.
Kita pun tahu, sastera barat dan sastera Amerika Latin kini tersebar luas ke seluruh dunia. Sedangkan, kita masih lagi bercakap-cakap tentang penulis ini layak, penulis ini tidak layak.
Sedangkan hal yang lebih penting ialah, ke mana halatuju karya calon Sasterawan Negara akan datang. Ke mana halatuju sastera kebangsaan dan nusantara?
Jika kita bercakap tentang siapa selayaknya, sudah pasti ia perlu ditimbang berdasarkan kualiti karya. Bukannya kuantiti. Jika seseorang penulis itu sudah menghasilkan lebih 100 buku, namun tidak ada sebuah pun yang boleh dibanggakan buat apa? Lebih wajar memilih penulis yang menghasilkan cuma 10 buku, tetapi semuanya mengesankan.
Sekali lagi kita bercakap tentang magnum opus. Sekali lagi kita bercakap tentang karya agung.
Jika kita bercakap tentang karya agung Melayu, sudah pasti yang terlintas ialah Hikayat Hang Tuah, Sulalatus Salatin, Hikayat Abdullah, Hikayat Raja-raja Pasai, Hikayat Inderapura dan banyak lagi. Malah, karya-karya ini masih diperkatakan sehingga kini.
Berbalik kepada calon Sasterawan Negara akan datang, sekurang-kurangnya apabila kita menyebut satu nama, ada karya yang kita tidak akan lupakan sampai bila-bila.