oleh Nimoiz T.Y

Bagi Onn Abdullah, puisi adalah benih kata-kata. Dari benih kata-kata itu akan tumbuh menjadi pohon bahasa indah, subur rendang dengan dahan dan ranting serta cabangnya dengan daun-daun hijau yang lebat. Dengan bunga-bunga cinta yang cantik. Bunga mekar yang berkembang harum di taman kehidupan. Bunga itu nanti akan berputik dan menjadi buah. Dan akarnya kejap menjalar di bumi.

Kerana kecintaannya yang tuntas akan puisi, tidak hairanlah penyair ini dinobatkan sebagai Tokoh Puisi Perak 2022 bersempena dengan Hari Puisi Kebangsaan Peringkat Negeri Perak 2022. Majlis penyampaian anugerah telah berlangsung dengan gilang-gemilang pada hari Sabtu, 30 Julai 2022 bertempat di Dataran Pavilion, Kuala Kangsar.

Bagi tahun 2022, turut diangkat sebagai tokoh ialah penyair Chai Loon Guan. Antara tokoh-tokoh negeri lain yang diangkat ialah Leo A.W.S. (Kelantan), Pyanhabib (Kuala Lumpur), Aladin Mohamad (Melaka), Saiee Driss (Sarawak), Mohd Rosli Bakir (Johor), Hilmi Rindu (Terengganu) dan Jasni Matlani (Sabah).

Abdullah Mohd Samsuddin lebih dikenali dengan nama pena Onn Abdullah atau Mas Onn merupakan tokoh penulis yang tidak asing lagi di negeri Perak. Tulisan beliau banyak menyentuh tentang persoalan jati diri, manusia dan kemanusiaan, bahasa dan sastera, serta islamik. Beliau merupakan Setiausaha Agung Karyawan Pk untuk beberapa penggal dan masih menjawat jawatan ini sehingga kini. Onn Abdullah yang kini menetap di Tawas, Ipoh berasal dari Kampung Gajah, Perak. Beliau menulis sejak dekad 80-an dan telah menghasilkan deretan sajak yang termuat dalam pelbagai antologi selain tersiar di pelbagai akhbar dan majalah termasuklah Dewan Sastera, antologi Segugus Pasrah Buatmu MH370, Pangkor 5, Bagan Datoh, Aidilfitri – Sajak Kenangan, Istana Kasih 5, Kembara Ranah Minang & Acheh, Pasak 152 dan banyak lagi.

Karya beliau juga pernah dibicarakan oleh Dr. Mohd Nazri Zainuddin sempena Mesyuarat Agung Dwitahunan ke12 Persatuan Karyawan Pk di De Bois, Ipoh pada 10 Oktober 2020.

Onn juga telah menerbitkan kumpulan puisi perseorangan. Antaranya ialah Muttaqin (2003), Kasidah Nurani (2010), Ada Apa Sebelum Belum (2012), Deklarasi Tanah Cinta (2014) dan Kembali Membaca Diri (2021). Penerima Anugerah Penyair Perak (2004) dan Tokoh Muda PENTAS (2005) juga pernah menerima pelbagai hadiah penulisan. Antaranya ialah hadiah pertama cerpen Pentas (1987), hadiah ketiga esei Ipoh Bandaraya (1988), hadiah pertama Puisi Malaysia Bergerak bersama Negeri Perak (1990), hadiah kedua Puisi Bahasa (2006), hadiah ketiga Menulis Cerita Sejarah (2007) dan Hadiah Sastera Darul Ridzuan 4 tahun 2014. Onn Abdullah pernah dianugerahkan Pingat Jaksa Kebaktian (PJK) oleh DYMM Sultan Perak pada tahun 2003.