Presiden Karyawan Pk Rasmikan Bicara Karya Kreatif di IPGM Kampus Ipoh

oleh Nimoiz T.Y
IPOH, 20 Ogos 2025 – Presiden Karyawan Pk, Dr. Zabidin Haji Ismail telah merasmikan Program Bicara Karya Kreatif yang berlangsung di Dewan Seri Melati, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Ipoh.
Program yang dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Pengajian Melayu, IPGM Kampus Ipoh, Karyawan Pk serta Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPW) ini bertujuan mengangkat martabat karya sastera tempatan, selain menyemai minat membaca serta memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap karya kreatif kontemporari.
Wacana ini dikendalikan oleh Dr. Mohd Hafiz Mohamad Tamizi sebagai moderator, manakala tiga ahli panel yang terlibat ialah Cik Nor Azimah Ariffin, Puan Fadzilah Abdul Rahim dan Dr. Nor Azimah Mat Isa.
Antara karya yang menjadi sorotan perbincangan termasuk Antologi Puisi Masuk ke Dalam Hujan karya Nimoiz T.Y, Novel Mimpi yang Hilang karya *Amir Hamzah, serta Novel Geliga karya Paris Arshad. Panel turut meneliti karya-karya tersebut dari sudut keindahan bahasa, nilai budaya dan pemikiran yang diketengahkan.
Program ini juga menjadi platform untuk mempertemukan ahli akademik, warga pendidik dan pencinta sastera dalam satu wacana ilmiah, sekali gus menyokong usaha memperluas apresiasi terhadap karya penulis tempatan. Melalui perbincangan kritis sebegini, sastera bukan sahaja dilihat sebagai wadah seni, tetapi juga sebagai jambatan ilmu, budaya dan pemikiran yang mendidik masyarakat.
Acara yang berlangsung dari jam 2.00 hingga 5.00 petang itu berjaya menarik penyertaan pelajar, guru pelatih, pensyarah serta peminat sastera setempat. Kehadiran yang menggalakkan membuktikan karya kreatif tanah air terus mendapat tempat dan perlu diperkukuh melalui program seumpama ini.