Sebuah Renungan tentang Tradisi Menghargai Karya
oleh Nimoiz T.Y
Apa-apa anugerah sastera membuka ruang untuk kita menilai kembali landskap penulisan tanah air. Setiap tahun ada sahaja anugerah penulisan peringkat kebangsaan dan negeri. Semua anugerah ini menajadi bukti bahawa budaya menghargai penulis dan karya masih terpelihara walaupun berdepan pelbagai cabaran organisasi dan kewangan.
HSKU pernah menjadi anugerah tahunan yang konsisten penganjurannya. Keupayaan mengekalkan tradisi ini wajar dipuji kerana ia mengekalkan prestij dan kesinambungan pengiktirafan kepada penulis. HSPM pula masih konsisten walaupun kadangkala majlis penyampaian hadiah agak lambat. Meskipun ada keperluan tertentu yang mempengaruhi jadualnya, ramai yang berharap agar ia dapat kembali menjadi acara tahunan sebagaimana dahulu.
Bercakap tentang hadiah sastera negeri, tidak semua negeri menganjurkan anugerah sastera peringkat negeri. Hal ini satu kerugian kerana anugerah sedemikian berpotensi memperkasakan sastera setempat tanpa perlu dipengaruhi ideologi politik. Mungkin terdapat pemimpin yang belum menyedari kepentingan bahasa, sastera dan penulisan dalam masyarakat moden. Ironinya, teks ucapan politikus ditulis oleh penulis, malah kewujudan setiausaha akhbar juga membuktikan betapa besarnya peranan penulisan dalam mempengaruhi wacana awam. Justeru, wajar setiap negeri menyediakan platform penghargaan tersendiri kepada penggiat sastera.
Persoalan yang sering timbul selepas pengumuman pemenang ialah, “Apa yang perlu dilakukan selepas menerima hadiah atau anugerah?” Bagi penulis yang berjaya merangkul kemenangan, hadiah bukan garis penamat. Ia sepatutnya menjadi dorongan untuk terus menulis. Ramai pemenang anugerah berprestij akhirnya berhenti menulis kerana tuntutan kerjaya atau kehidupan. Keadaan ini merugikan dunia sastera kerana pena yang pernah menyalakan inspirasi tiba-tiba disisihkan begitu sahaja. Kemenangan perlu disusuli komitmen untuk terus berkarya.
Dalam apa jua anugerah, suara kritikan tetap muncul. Ada yang mempersoalkan pemenang, karya yang dipilih, panel penilai, nilai hadiah atau penganjuran secara keseluruhan. Kritikan terbuka dalam media sosial bukanlah sesuatu yang baharu. Namun, tidak wajar bagi penulis yang berbakat terjebak dalam polemik yang tidak membina. Tidak menang bukan bererti tidak berkualiti. Kadangkala ia hanyalah soal rezeki dan pertemuan antara karya dengan panel penilai pada masa tertentu. Apa yang lebih penting ialah kesinambungan proses berkarya.
Selepas anugerah diumumkan, penulis perlu kembali kepada asas pembelajaran. Carilah ulasan penghakiman dan baca dengan teliti. Kenal pasti kekuatan karya yang menang. Teliti majalah, akhbar atau buku pemenang untuk mengkaji bagaimana penulis tersebut membina dan menghidupkan karyanya. Tujuannya bukan untuk meniru, tetapi untuk belajar dan meningkatkan mutu penulisan sendiri.
Penulisan ialah perjalanan yang panjang dan berterusan. Sama ada menang atau tidak, penulis perlu terus menulis tanpa terlalu memikirkan peluang memenangi hadiah. Jika menang, itu rezeki yang patut disyukuri. Jika tidak, karya tetap bernilai apabila diterima oleh khalayak pembaca.
Bagi penulis yang ingin memantapkan kemahiran, sertailah program penulisan, bengkel, seminar atau majlis baca puisi. Walaupun seseorang berasa sudah cukup ilmu, proses menuntut ilmu tidak pernah berhenti. Selain itu, penglibatan dalam persatuan penulis dan program komuniti membantu memperluas jaringan serta membuka ruang pemahaman baharu dalam dunia sastera.
Akhirnya, sambil saya mengambil sedikit waktu bercuti di kampung, saya mengajak semua penulis untuk terus berkarya seperti biasa. Masih ada masa untuk menghasilkan karya terbaik sebelum tahun berakhir. Semoga usaha yang berterusan ini membawa kejayaan yang lebih bermakna pada tahun mendatang. Teruslah menulis, dan selamat maju jaya.