oleh Nimoiz T.Y
Melihat nama sendiri terpapar pada kulit buku merupakan suatu kepuasan yang tiada tandingan. Dan itulah hak seorang penulis selepas penat lelahnya menulis buku. Alangkah kecewanya seorang penulis kalau namanya sebagai penulis tidak dicetak pada kulit buku tersebut. Ini bukan soal “low profile”. Ya, selain judul buku, nama penulis perlu diletakkan sekali.
Ada format khas kedudukan nama penulis sebagaimana Gaya Dewan. Sama ada atas, tengah atau bawah. Bawah judul buku atau atas judul buku. Namun, hal ini sebenarnya bergantung kepada kreativiti pereka kulit. Sebab itu kita perlu mengupah pereka profesional. Jangan main hentam sahaja. Buku-buku penerbit besar dalam negara atau luar negara boleh dijadikan panduan. Kaji dan tirulah bagaimana rekabentuk kulit buku yang terbaik di pasaran.
Tidak kisah hendak letak nama sebenar penulis, nama pena atau nama samaran. Jika buku akademik, eloklah letak nama sebenar. Sekiranya bercadang menggunakan buku itu untuk kenaikan pangkat, sebaiknya letak nama sebenar. Nanti apabila proses validasi, tidaklah panjang sangat panel tanya itu ini. Nanti panel tidak percaya pula sebab nama tidak sama dengan kad pengenalan. Jika nama pena kita lebih terkenal, gunakanlah nama pena. Jika buku kita itu boleh mengundang sesuatu yang membahayakan diri-sendiri, gunakanlah nama samaran.
Ada orang letak nama sendiri sahaja tanpa nama ayah. Tapi ingat, jangan letak bin. Contoh, Nik Mohd Iznan Bin Tuan Yaakub. Letak sahaja Nik Mohd Iznan Tuan Yaakub. Cuba cari di kedai ada tidak buku yang ada bin. Kalau ada yang letak bin, penerbit itu kurang peka dengan format umum.
Sekiranya nama penulis panjang macam mana? Saya pernah jumpa buku yang nama penulisnya terlalu panjang. Sehingga perlu ditulis sampai 2 baris. Sebenarnya nama penulis perlu satu baris sahaja. Kalau nama panjang, pereka kulit perlu mengecilkan font. Kalau nama sendiri baris atas dan nama ayah baris bawah, pasti akan mengelirukan pembeli. Sama ada buku itu ditulis oleh seorang sahaja atau dua orang.
Jangan letakkan pangkat atau darjat pada kulit buku. Contohnya Dato’ Dr. Ahmad bin Abu. Cukuplah sekadar Ahmad Abu sahaja. Kalau hendak letak juga tahap pendidikan, letak selepas koma. Contoh:
Ahmad Abu, Phd.
Dan font Phd. kecilkan sedikit.
Bagaimana dengan pangkat Dato’ tadi? Jangan risau, boleh letak dalam biodata di kulit belakang atau dalam bahagian akhir buku. Kenapa nama saya kecil? Kenapa nama dia besar?
Ada dua hal di sini. Pertama, yang mana kita mahu tonjolkan dahulu pada kulit buku. Ada penulis novel yang sudah dikenali oleh ramai peminat. Jadi, terbit sahajalah novel apa pun. Peminatnya akan cari. Jadi, dalam konteks ini nama penulis perlu dicetak besar pada kulit buku. Kalau kita ingin tonjolkan judul buku, cukuplah font yang sederhana atau kecil sahaja. Yang penting boleh baca dan nampak.
Nama perlu terang dan jelas. Dalam konteks pemasaran media digital, gambar kulit buku akan disertakan sekali. Ada buku yang fontnya agak kecil. Dan warnanya agak suram. Jadi sukar untuk dilihat di dalam internet.
Jaga nama baik sebagai penulis. Jangan hampakan dan kecewakan pembeli dan pembaca. Sekali kita menulis buku yang baik, pasti pembaca akan terus mencari buku kita yang akan datang. Sekali nama sudah terpalit, orang tidak akan pandang lain kali.
Akhir kata, jangan tunggu nama menjadi besar baru hendak menulis buku yang bagus. Tulis, dan teruslah menulis sehingga nama menjadi besar. Jika tunggu nama menjadi besar, sampai bila kita tidak akan menulis. Harimau mati meninggalkan belang. Manusia mati meninggalkan nama. Tinggalkan nama baik kita dengan menulis sesuatu yang bermanfaat. Yang akan menjadi bekal kita di sana. Menulis karya erotik pun orang akan ingat juga. Tapi pilihan macam mana yang kita mahu orang ingat.