oleh Nimoiz T.Y

Saya akan menulis hal ini dalam konteks penulisan. Ramai orang keliru perbezaan antara anugerah, hadiah dan pertandingan / sayembara / peraduan.

1. Anugerah

Anugerah adalah pemberian. Biasanya, anugerah diberi kepada seseorang yang mempunyai ketokohan tertentu dalam bidang masing-masing. Bukan sekadar bergantung kepada nilai karya sahaja.

Sebagai contoh, calon yang diangkat menerima anugerah dinilai berdasarkan kualiti dan kuantiti karya, sumbangan dalam mengangkat dunia persuratan, ketokohan, penglibatan peringkat komuniti sehingga antarabangsa dan lain-lain.

Malah, ada sesetengah anugerah dinilai berdasarkan markah merit. Ada kriteria tertentu yang diambil kira. Antara contoh anugerah ialah, “Anugerah Sastera Negara”.

Dalam Hadiah Sastera Darul Ridzuan VI baru-baru ini, empat tokoh diangkat menerima anugerah iaitu Anugerah Ilmuan Perak Darul Ridzuan, Anugerah Pejuang Sastera Perak Darul Ridzuan, Anugerah Karyawan Sepanjang Hayat dan Anugerah Khas Perak Darul Ridzuan.

Nilai memang cukup lumayan. Sebagai contoh, Anugerah Pejuang Sastera Perak Darul Ridzuan baru-baru ini yang diterima oleh Dr. Saleeh Rahamad membawa pulang wang tunai bernilai RM25,000.00.

Biasanya, seseorang penerima anugerah perlu dicalonkan oleh pihak lain yang mempunyai reputasi yang baik. Malah, ada sesetengah anugerah boleh sahaja mencalonkan diri sendiri.

2. Hadiah

Hadiah adalah merujuk kepada penilaian karya yang sudah tersiar dalam bentuk eceran atau terbit dalam bentuk buku. Misalnya, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) dinilai berdasarkan karya yang tersiar dalam akhbar atau majalah terbitan Utusan.

Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) pula dinilai berdasarkan karya yang telah tersiar di mana-mana akhbar dan majalah atau termuat dalam bentuk buku sepanjang tahun penilaian.

Penulis dikehendaki menghantar karya yang telah tersiar untuk dinilai. Namun, ada juga penulis yang ego. Yang tidak mahu hantar penyertaan. Tidak menang, kemudian menyalahkah pihak penganjur dan panel hakim. Menuduh penganjur tidak buat kerja mengumpul karya, dan hakim bias membuat keputusan.

Dalam konteks hadiah, panel penilai tahu siapa yang menghasilkan karya tersebut. Namun, panel hakim yang profesional tidak sesekali memilih karya yang tidak baik, atau memberi kemenangan kepada karya kawan, atau sebab kasihan. Panel yang arif lagi bijaksana tidak akan bias.

3. Pertandingan / Sayembara / Peraduan

Pertandingan, sayembara atau peraduan paling menguji seseorang penulis. Ini kerana, karya yang memasuki pertandingan akan dinilai seratus peratus berdasarkan kekuatan karya.

Karya yang dinilai tidak mempunyai nama. Hanya tajuk dan isi sahaja. Panel hakim tidak akan tahu karya itu ditulis oleh sesiapa. Malah, siapa hakim yang akan membuat penilaian akan dirahsiakan supaya tidak berlaku hubungan yang boleh menjejaskan penjurian. Kecualilah sekretariat yang dedahkan siapa penulisnya. Namun, hal ini jarang berlaku jika semua pihak telus.

Namun, jika seseorang penulis mempunyai gaya penulisan yang tersendiri, dan panel pula banyak membaca dan mengikuti perkembangan, pasti akan tahu karya itu ditulis oleh siapa. Walaupun tanpa nama. Namun, hal ini agak sukar untuk dibuat agakan.

Namun, hal ini bergantung juga kepada jumlah penyertaan dan selera hakim. Agak kompleks juga untuk membuat penilaian.


Penutup

Namun, ada juga nama umum untuk sesuatu hadiah. Sebagai contoh, HSKU juga ada pertandingan. Misalnya, karya dalam bentuk novel adalah dalam bentuk pertandingan. Panel tidak tahu siapa penulis novel. Namun, tetap juga dirangkumkan dalam HSKU. Tapi sayang, HSKU sudah tidak ada.