Hati Nan Pilu

Pilu hati ini
melihat anak jiranku
berbasikal buruk ke sekolah
tanpa perut diisi
hanya berbekalkan teh kosong tanpa gula
demi menuntut secebis ilmu
agar mengubah hidup keluarga
di masa mendatang.
Sedih hati ini
merenung wajah orang tua itu
ditinggalkan jauh oleh anaknya
kerana kepentingan diri dan nafsu
membiarkan ayahnya tanpa belaian
tanpa kasih sayang
tanpa meluangkan waktu
tanpa kata-kata semangat
dibiarkannya begitu sahaja
terkapai-kapai mencari haluan.
Sayu hati ini
kutelusuri tukang sapu itu
bajunya kusam tidak berganti
tangannya menggigil tika bekerja
tiada makanan enak untuk dijamah
tiada minuman segar untuk dihirup
hanya kerana tidak kemampuan.
Hati nan pilu
akan terubat andai masyarakat cakna
tiada kepentingan diri
tiada kesombongan hati
tiada keegoan jiwa.
Nukilan:
Dr. Mohd Nazri bin Zainuddin
Jabatan Pengajian Melayu
IPG Kampus Ipoh
4 Jun 2025