16/04/2026

Sastera dan Kepintaran Buatan (AI)

Capture



Oleh Admin

IPOH, 11 April 2026 – Kuliah sastera bertajuk “Sastera & Kepintaran Buatan” telah berlangsung di Hotel Seri Malaysia, Ipoh sempena Mesyuarat Agung Tahunan Karyawan Pk kali ini. Kuliah ini telah disampaikan oleh penulis prolifik iaitu Nik Mohd Iznan Tuan Yaakub atau lebih dikenali dengan nama pena Nimoiz T.Y. Dalam sesi ini, beliau menekankan perubahan dunia sastera dalam era teknologi kecerdasan buatan.

Dalam perkongsian tersebut, beliau menegaskan bahawa AI bukan sekadar alat teknologi, sebaliknya berfungsi sebagai pemangkin baharu dalam kreativiti penulisan. Hal ini selari dengan perkembangan semasa yang memperlihatkan AI membantu penulis dari peringkat idea sehingga kepada penerbitan karya.

“AI telah mengubah cara penulis bekerja daripada pembantu idea kepada rakan kolaborasi dalam proses kreatif. Ia membantu menjana tema, membina watak dan mengembangkan naratif dengan lebih cepat. Namun, AI bukan pengganti penulis, sebaliknya alat yang memperkaya proses penciptaan apabila digunakan secara bijak.”

Menurut beliau, AI boleh membantu dalam beberapa aspek utama penulisan seperti menjana idea awal, membina dialog serta menyunting bahasa dan struktur ayat. Keupayaan ini membolehkan penulis meningkatkan produktiviti tanpa mengabaikan kualiti karya.

Selain itu, AI turut memainkan peranan penting dalam keseluruhan ekosistem penerbitan sastera. Bermula daripada proses prapenulisan sehingga kepada rekabentuk dan pemasaran. Teknologi ini membantu mempercepat dan mempermudah setiap fasa penghasilan buku.

“Dalam ekosistem penerbitan, AI boleh digunakan untuk merancang plot, membantu penulisan teks, menyemak tatabahasa serta menghasilkan reka bentuk visual seperti kulit buku. Ini menjadikan proses penerbitan lebih efisien dan terbuka kepada lebih ramai pengkarya.” Kata beliau.

Dalam konteks industri sastera yang lebih meluas, AI juga membuka peluang kepada pelbagai profesion seperti editor, pereka grafik dan pegawai pemasaran untuk meningkatkan mutu kerja masing-masing. Penggunaan alat seperti penjana teks, ilustrasi dan terjemahan memperluas lagi capaian karya ke peringkat global.

“AI membolehkan karya sastera diterjemah, dipasarkan dan disebarkan dengan lebih luas. Penulis tempatan kini berpeluang menembusi pasaran antarabangsa dengan bantuan teknologi ini. Namun, kawalan kreatif tetap perlu berada di tangan manusia.”

Selain itu, perkembangan AI pelbagai input seperti teks, audio dan visual turut membuka ruang kepada bentuk sastera baharu yang lebih interaktif dan pelbagai medium. Karya tidak lagi terhad kepada teks semata-mata, malah boleh digabungkan dengan elemen visual dan audio untuk menghasilkan pengalaman membaca yang lebih kaya.

Perkongsian ilmiah ini memperlihatkan bahawa AI mempunyai potensi besar dalam memperkaya dunia sastera khususnya dari segi kreativiti, produktiviti dan capaian. Namun demikian, penulis tetap perlu memainkan peranan utama dalam memastikan karya yang dihasilkan mempunyai nilai, makna dan keaslian yang tidak dapat digantikan oleh mesin.

Share via
Copy link
Powered by Social Snap