Seikhlas Hati dan Timbangan Nilai
oleh Nimoiz T.Y
Dalam hidup, kita sering bertembung dengan satu frasa yang kelihatan mulia, lembut dan penuh adab. Seikhlas hati. Ia diucapkan dengan senyum, ditulis dengan niat baik, dan sering dianggap jalan tengah yang paling selamat. Tetapi benarkah begitu? Atau sebenarnya kita kerap tersilap membaca maknanya.
Baru-baru ini seorang kawan menghantar iklan perkhidmatan berbekam. Lokasinya jelas, khidmatnya diyakini, tetapi satu perkara dibiarkan tergantung. Harga: seikhlas hati. Soalan yang timbul bukan kecil. Berapa harus diberi? RM20? RM50? RM100? Ikhlas itu rasa, tetapi wang itu angka.
Seorang kawan lain cuba membantu dengan perbandingan. Di tempat A, RM10 satu bekas, guna pakai buang. Di tempat B, RM5 satu bekas, tetapi guna semula. Logiknya mudah. Jika kita sanggup membayar RM100 untuk sepuluh cup di tempat lain, mengapa apabila disebut seikhlas hati, kita tiba-tiba menjadi terlalu berjimat. Bukankah khidmat tetap khidmat, dan usaha tetap usaha.
Di sinilah nilai sebenar diuji. Seikhlas hati bukan lesen untuk membayar serendah mungkin, tetapi ruang untuk kita menimbang dengan adil. Orang yang memberi khidmat itu mungkin tidak mahu menyusahkan, tetapi kita pula jangan sampai menyusahkan mereka.
Hal yang sama berlaku dalam dunia penulisan. Seorang penulis menjual buku terbitan sendiri. Tiada harga. Katanya, seikhlas hati. Penulis itu bukan orang baru. Novel-novelnya pernah dijual RM20 hingga RM30 di kedai buku. Tebalnya sama, kualitinya tidak jatuh, malah kos cetak hari ini jauh lebih tinggi. Namun ada yang dengan yakin berkata, RM5 sudah paling ikhlas.
Ikhlas yang bagaimana itu? Ikhlas tanpa pertimbangan? Ikhlas tanpa empati?
Dalam sastera, kita belajar bahawa nilai sesuatu karya bukan hanya pada kata-kata, tetapi pada proses di belakangnya. Waktu yang dikorbankan, idea yang diasah, kos yang ditanggung. Apabila penulis berkata seikhlas hati, ia bukan bermaksud karyanya boleh disamakan dengan harga secawan kopi murah. Ia satu kepercayaan yang diletakkan kepada pembaca. Kepercayaan bahawa pembaca tahu menilai.
Begitu juga dalam perubatan tradisional. Kita jemput sahabat dari jauh, dari Terengganu ke Kuala Lumpur. Dia datang bukan sekadar membawa doa dan kaedah kampung, tetapi juga menanggung kos perjalanan, penginapan, makan minum. Apabila ditanya bayaran, jawapannya tetap sama, seikhlas hati. Kita hulur RM20 dan rasa sudah cukup. Tetapi pernahkah kita bertanya dalam diam, cukupkah untuk menampung semua itu.
Bahkan perkara kecil seperti menampal tayar di tepi jalan pun sama. Seorang asing membantu tanpa meminta harga. Kita hulur RM5 dan berlalu. Tetapi kita tahu harga tiub bukan RM5. Kita tahu masa dan kudrat itu ada nilainya.
Kawan-kawan, dalam sastera ada konsep timbang rasa. Dalam hidup juga begitu. Ikhlas bukan soal murah atau mahal. Ikhlas ialah kejujuran dalam menilai. Bila kita mampu, berilah dengan wajar. Bila kita faham jerih payah orang lain, jangan kita menutup mata atas nama keikhlasan.
Orang membantu kita dengan hati. Kita membalas dengan pertimbangan. Jangan sampai yang ikhlas menjadi mangsa, dan yang mampu pula terasa menang.
Seikhlas hati itu indah, jika disertai dengan adab dan nilai. Jika tidak, ia hanya kata manis yang menyembunyikan ketempangan.