Antara Hela Nafas dan Lafaz Syukur
oleh Nimoiz T.Y
Kita perlu banyak bersyukur kerana diberi kelegaan oleh Allah S.W.T. Barangkali kerana kelegaan itu terlalu biasa, terlalu dekat dengan hidup seharian, maka ia sering berlalu tanpa disedari. Sedangkan hidup ini, jika dihitung-hitung, lebih banyak berdiri di atas kelegaan daripada kebahagiaan yang besar-besar.
Setiap hari, entah berapa kali kita menarik nafas panjang dan berkata dalam hati, lega. Selepas diberi kelegaan, barulah kita rasa tenang dan damai. Tenang itu bukan datang tiba-tiba. Ia hadir selepas resah ditarik keluar, sedikit demi sedikit.
Ambil contoh yang paling mudah. Suatu hari kita memandu. Tiba-tiba teringat cukai jalan sudah tamat tempoh. Insurans belum sempat diperbaharui. Duit pula tidak cukup. Cermin kereta gelap. Hati mula berdebar. Mata liar mencari kelibat JPJ. Tapi hari itu, tiada sekatan. Tiada tahanan. Kita dilepaskan begitu sahaja.
“Fuhhh, lega.”
Bukan mulut sahaja yang menyebutnya. Hati di dalam sana turut runtun, seolah-olah baru dilepaskan daripada beban yang menekan dada.
Atau ambil contoh lain. Selesai menduduki peperiksaan, kita melangkah keluar dari dewan dengan wajah yang lebih ringan. Soalan sudah dijawab. Pena sudah diletakkan. Apa perasaan yang datang paling awal?
Tentulah rasa lega.
Gaji sudah habis. Akaun hampir kosong. Kepala ligat berfikir, dari mana lagi hendak dicari. Tiba-tiba gaji masuk. Atau upah tugasan yang lama ditunggu masuk ke akaun. Atau kawan lama yang entah dari mana muncul, membayar hutang yang kita sendiri hampir lupa.
“Lega.”
Sakit kepala berhari-hari. Dunia terasa sempit. Bunyi bising menjadi menyakitkan. Tiba-tiba sakit itu hilang. Kepala kembali ringan. Apa yang kita rasa?
Lega.
Bangun lewat. Mata terus melihat jam. Hati terus jatuh. Tapi mujur masih sempat solat Subuh. Kalau tidak, terlepaslah satu kewajipan yang berat timbangannya. Saat berdiri di sejadah, walaupun tergesa-gesa, hati tetap berkata:
Lega.
Di jalan raya, ada yang memotong hampir melanggar kita. Jantung berdegup kencang. Tangan menggenggam stereng lebih kuat. Mujur tiada apa-apa yang berlaku. Kita gosok dada, tarik nafas panjang. Saat itu, lebih wajar kita berkata lega daripada memuntahkan kata-kata kesat yang hanya menambah gelap jiwa: cibai, lahanat, babi, sial, bodoh dan sebagainya. Kata-kata itu tidak pernah benar-benar melegakan. Ia hanya meluahkan marah, bukan mensyukuri selamat.
Sebagai seorang penulis, saya perasan satu hal. Banyak tulisan saya sebenarnya lahir selepas rasa lega. Lega selepas menyiapkan manuskrip. Lega selepas ayat yang buntu akhirnya mengalir. Lega selepas draf yang berulang kali dipadam, akhirnya menemukan bentuknya. Bahkan menulis itu sendiri kadang-kadang satu usaha mencari kelegaan. Lega pada fikiran. Lega pada perasaan.
Persoalannya, bagaimana kita mahu mengzahirkan kelegaan ini?
Jawapannya mudah. Terlalu mudah sehingga ada yang merasakan ia remeh. Tapi hakikatnya berat bagi sesetengah orang.
“Alhamdulillah.”
Satu lafaz pendek, tetapi sarat makna. Lafaz yang mengembalikan segala kelegaan itu kepada Pemberinya. Terima kasih Tuhan, di atas semua kelegaan yang Kau selitkan dalam hidup kami. Kelegaan yang kecil-kecil, tetapi cukup untuk membuatkan kita terus berjalan.
Lega otak.
Lega perasaan.
Dan apabila kita sedar, semua itu bukan kebetulan semata-mata, segalanya jadi lebih tenang.