23/01/2026

T.A.S.K Tiang yang Menyokong Seorang Penulis

947f4509-e9f5-4d88-b1fa-10b064e49261

oleh Nimoiz T.Y

Seorang penulis bukan sekadar duduk di hadapan komputer atau kertas bertarung dengan idea dan ilham. Namun hakikatnya, seorang penulis berhadapan dengan satu tugasan besar. Satu “task” yang menuntut lebih daripada sekadar bakat. Ia menuntut kesedaran diri, disiplin dan kesungguhan untuk terus berkarya walaupun tiada siapa yang menunggu di hujung laman. Dalam konteks inilah, perkataan T.A.S.K. menjadi simbol yang dekat dengan kehidupan seorang penulis.

T.A.S.K. bukan sekadar istilah bahasa Inggeris yang merujuk kepada tugasan. T.A.S.K. ialah rangka dalaman yang menentukan sama ada sesuatu tulisan itu mampu disiapkan, difahami dan memberi kesan. Empat (4) elemen penting yang membentuk T.A.S.K. ialah Thinking, Attitude, Skills dan Knowledge.

“Thinking”. Penulis hidup dengan fikirannya. Sebelum satu ayat ditulis, banyak perkara bergelut dalam kepala. Penulis berfikir tentang apa yang ingin disampai, mengapa perlu ditulis dan bagaimana harus diungkapkan. Pemikiran yang matang membantu penulis melihat sesuatu isu dari pelbagai sudut selain membaca makna di sebalik peristiwa kecil. Penulis juga perlu menyoal perkara yang sering diterima tanpa persoalan. Dalam segmen penulisan kreatif, pemikiran melahirkan simbol dan konflik. Dalam penulisan akademik, pemikiran membentuk hujah yang tersusun. Tanpa “thinking” yang jujur dan kritis, tulisan hanya sebuah kekosongan.

“Attitude”. Di sinilah penulisan benar-benar diuji. Bukan semua hari penulis mampu menulis. Ada hari idea kering. Ada masa tulisan ditolak. Dan ada ketika hasil karya dipersoalkan. Sikap penulis terhadap proses inilah yang menentukan sama ada dia mampu terus bertahan atau berhenti separuh jalan. “Attitude” melibatkan disiplin untuk duduk dan menulis walaupun tiada semangat. Penulis yang baik memahami bahawa penulisan ialah perjalanan panjang. Bukan kejayaan segera.

“Skills”. Idea yang baik tidak memberi makna sekiranya kita tidak tahu bagaimana untuk menyampaikannya. Kemahiran bahasa, susunan ayat, pemilihan perkataan dan pengawalan struktur ialah alat utama penulis. Di samping itu, penulis juga perlu mahir mengurus masa, menyunting tulisan sendiri dan menyesuaikan gaya dengan khalayak pembaca. Kemahiran menulis tidak datang secara tiba-tiba. Ia lahir daripada latihan dan kesanggupan untuk belajar semula perkara asas. Menulis ialah kemahiran yang sentiasa boleh diperbaiki.

“Knowledge”. Penulis menulis tentang kehidupan. Manakala kehidupan memerlukan pengetahuan. Bacaan yang luas, pengalaman peribadi, pemerhatian terhadap manusia dan masyarakat semuanya menyumbang kepada kedalaman hasil penulisan. Pengetahuan menjadikan tulisan lebih berlapik, berasas dan bertanggungjawab. Penulis yang tidak memperkaya ilmu akan mudah terperangkap dalam pengulangan idea yang klise. Sebaliknya, penulis yang sentiasa belajar akan menemukan sudut pandang baharu dalam perkara yang kelihatan biasa.

Kesimpulannya, T.A.S.K. bagi seorang penulis bukan sekadar tugasan yang perlu disiapkan sebelum tarikh akhir. T.A.S.K. ialah keseimbangan antara fikiran, sikap, kemahiran dan pengetahuan. Apabila keempat-empat elemen ini wujud dalam diri, penulisan tidak lagi sekadar kerja rutin. Ia menjadi satu proses memahami diri, membaca dunia dan meninggalkan jejak makna melalui kata-kata.

Share via
Copy link
Powered by Social Snap