Berdamai dengan Masa Lalu
oleh Nimoiz T.Y
Terjumpa satu frasa di internet. Tidak tahu siapa yang menulisnya. Tiada nama. Tiada tarikh. Hanya ayat yang ditinggalkan begitu sahaja, seperti nota kecil di tepi hidup orang lain:
Masa lalu saya adalah milik saya. Masa lalu kamu adalah milik kamu. Tetapi masa depan adalah milik kita bersama.
Iya, marilah kita makan nasi minyak.
Ayat itu ringkas, santai, sedikit berseloroh. Tetapi maknanya tidak ringan. Ia mengetuk sesuatu yang selalu kita elakkan untuk difikirkan lama-lama: hubungan kita dengan masa. Khususnya masa lalu.
Benar sekali, sebaiknya kita lupakan sahaja masa lalu. Tetapi jangan sampai kita memusuhinya. Jangan sampai kita membenci waktu yang pernah membentuk diri kita, walaupun dengan cara yang menyakitkan. Kerana apabila kita memusuhi masa lalu, tanpa sedar kita sedang merimaskan masa sekarang dan merosakkan masa depan.
Jangan ingat lagi, kata kita. Tetapi tubuh dan fikiran tidak semudah itu menurut.
Ada tiga jenis waktu. Waktu lalu, waktu sekarang dan waktu akan datang. Hakikatnya, kita hanya benar-benar hidup pada satu waktu sahaja: waktu sekarang. Apa yang kita fikir, apa yang kita lakukan, apa yang kita pilih, semuanya berlaku pada detik ini. Yang membezakan antara kita dengan orang lain bukanlah siapa kita semalam, tetapi apa pengisian waktu kita sekarang.
Adakah kita mengisinya dengan perkara yang bermanfaat untuk masa depan? Atau kita masih sibuk mengorek luka lama yang mengembalikan kita ke masa silam?
Dalam hidup, kita terlalu banyak mencipta musuh. Dan salah satu musuh paling senyap tetapi paling berbahaya ialah waktu lalu.
Waktu lalu.
Tidak baik kawan bermusuh dengan waktu lalu. Yang lepas, biarlah ia menjadi garis pedoman. Bukan rantai yang mengikat kaki. Sekarang, mari kita cipta garis-garis baharu. Garis yang lebih harmoni. Garis yang lebih mendamaikan. Garis yang tidak lagi ditulis dengan kemarahan, tetapi dengan kefahaman.
Sebagai seorang penulis, saya belajar satu perkara: kita tidak pernah benar-benar boleh memadam masa lalu. Yang boleh kita lakukan hanyalah menukarnya menjadi bahan mentah. Pengalaman pahit, kegagalan, rasa malu, rasa bersalah—semuanya boleh menjadi racun atau ubat. Bezanya hanya pada cara kita mengolahnya.
Hari ini, kita boleh lihat diri kita sendiri. Atau orang di sekeliling kita. Terlalu ramai yang masih bermusuh dengan waktu lalu. Waktu yang telah lama terkebelakang. Sehingga ia menyelinap masuk ke waktu sekarang, mengacau emosi, mengganggu fokus, dan akhirnya merosakkan waktu yang akan datang. Bukan sekadar emosi yang rosak, malah reputasi, hubungan, dan keyakinan diri.
Dalam dunia penulisan, ini sangat jelas. Ada penulis yang berhenti menulis kerana dihantui kegagalan buku pertama. Ada yang takut menghantar manuskrip kerana pernah ditolak. Ada yang tidak berani bersuara lagi kerana pernah dipersenda. Masa lalu yang tidak didamaikan akhirnya menjadi penjara.
Kita perlu bergerak, kawan.
Maju terus maju. Cipta suasana baharu. Cipta halaman baharu. Jika hidup ini sebuah buku, jangan biarkan satu bab buruk menentukan keseluruhan cerita. Tinggalkan waktu lalu di tempatnya. Biarkan ia menjadi latar, bukan pentas utama.
Saya suka ungkapan Tere Liye ini:
Masa lalu tidak akan pernah menang kerana dia selalu ada di belakang.
Dalam perlumbaan 100 meter, orang yang menang ialah orang yang sampai dahulu di garisan penamat. Walaupun semua bermula di garis yang sama. Di pertengahan, ada yang pernah mendahului, ada yang ketinggalan. Ada juga yang menipu, berlari sebelum wisel ditiup atau melanggar lorong.
Tetapi itu semua tidak lagi penting di hujung perlumbaan.
Yang penting, siapa yang terus berlari.
Namun awas. Bergerak ke hadapan bukan bermaksud menjadi ego. Bukan bermaksud melupakan asal-usul. Itu bahaya. Orang yang lupa diri sebenarnya sedang berpatah balik seribu langkah ke belakang. Yang kita tinggalkan ialah masa silam yang hitam, yang melalaikan, yang menahan kita daripada menjadi versi diri yang lebih jujur dan matang.
Kawan, ada satu lagi ungkapan yang saya terbaca. Juga tanpa nama penulisnya:
Jangan musuhi masa lalu walau seburuk mana pun. Berdamailah dengan masa lalu agar ia tidak mengganggu masa depan.
Dalam penulisan, berdamai dengan masa lalu bermaksud berani menulis semula makna pengalaman. Bukan untuk mengagungkan luka, tetapi untuk memahaminya. Bukan untuk hidup di dalamnya, tetapi untuk melangkah keluar daripadanya.
Mari kita bergerak ke hadapan, kawan.
Dengan hati yang lebih lapang.
Dengan tulisan yang lebih jujur.
Dan dengan masa depan yang kita bina bersama.