Antara Pengiktirafan, Proses dan Legasi Mana Sikana
oleh Nimoiz T.Y
Polemik pasca pengumuman penerima Anugerah Sastera Negara (ASN) tanda sastera kita masih bernafas. Kalau semua diam sahaja itu yang masalah. Cuma itulah, ada polemik positif dan negatif. Ada pro dan kontra.
Dan masing-masing ada hujah sendiri.
Ada yang berpendapat anugerah ini wajar diberi kepada sasterawan yang masih hidup pun ada wajarnya.
Katanya senang nak dibawa ke sekolah, universiti dan lain-lain. Tapi bukan semua orang mampu. Tambahan apabila usia dan kesihatan tidak mengizinkan.
Itulah pendapat.
Kita raikan sahaja.
Pada saya, hal ini sebenarnya memperlihatkan sesuatu yang menarik tentang dunia sastera.
Ia bukan sekadar ruang apresiasi, tetapi medan wacana ilmiah. Ada yang mempersoalkan kewajaran kerana anugerah lazimnya diberikan kepada tokoh yang masih hidup, manakala yang lain melihatnya dari sudut penghormatan terhadap keseluruhan sumbangan.
Sekali lagi, perbezaan pandangan ini wajar diraikan kerana ia menandakan kesedaran kolektif terhadap makna sebenar sesuatu pengiktirafan.
Dalam konteks ini, saya cenderung melihat persoalan utama bukan terletak pada status hidup atau telah tiada, tetapi proses dan keadilan terhadap tokoh tersebut.
Jika pencalonan dibuat, dinilai dan diputuskan ketika beliau masih hidup, maka secara prinsipnya pengiktirafan itu memang sudah dimiliki. Prosesnya sah.
Sudah ada cop “endorsement” (dengan izin).
Pengumuman yang berlaku selepas pemergian hanyalah soal masa, bukan perubahan hakikat.
Sedikit penambahbaikan. Barangkali selepas ini yang perlu ditambah baik ialah garis masa pengumuman rasmi. Jangan terlalu lama. Keputusan sudah ada. Umumkan sahaja segera. Lagi pun ini bukan sayembara kena tunggu tarikh akhir.
Tapi itulah. Kita tidak tahu hal-hal di belakang. Bukan senang menguruskan sesuatu yang besar.
Sambung.
Pada saya, hal yang lebih penting daripada itu ialah nilai karya yang ditinggalkan. Harimau mati meninggal belang. Manusia mati meninggalkan nama. Sasterawan mati meninggalkan karya.
Selepas ini kita ambil yang baik-baik. Cari karya Allahyarham. Baca dan kaji. Saring hikmah yang tersembunyi. Cari permata yang mungkin sebelum ini tenggelam.
Allahyarham Mana Sikana bukan sekadar penulis kreatif, tetapi juga pemikir yang membentuk kerangka kritikan sastera tempatan.
Sumbangannya tidak terhenti pada sastera, tetapi berkembang dalam bentuk gagasan dan pendekatan yang mempengaruhi cara kita membaca dan menilai karya. Tambahan beliau pernah tampil dengen beberapa teori sendiri.
Dalam erti kata lain, legasi beliau sudah pun kukuh sebelum sebarang anugerah diumumkan.
Isu kewajaran juga boleh dilihat dari sudut yang lebih luas.
Anugerah bukan semata-mata untuk memberi ruang kepada penerima terus berkarya, tetapi juga untuk mengiktiraf perjalanan intelektual yang telah dilalui.
Dalam hal ini, pengiktirafan selepas pemergian tidak mengurangkan maknanya, malah boleh memperkukuh usaha mengangkat kembali karya-karya beliau untuk dibaca dan dikaji oleh generasi baharu.
Lihat sahaja karya Usman Awang, Keris Mas, Abdullah Hussain dan lain-lain yang masih hidup dan bernafas.
Satu lagi, dimensi lain yang jarang disentuh ialah kesan simbolik kepada konsistensi (entah ada dalam Kamus Dewan atau tidak istilah ini) dalam berkarya.
Penganugerahan ini menghantar mesej bahawa kesetiaan terhadap dunia penulisan sepanjang hayat tetap dihargai. Ia bukan tentang siapa yang paling cepat atau paling popular, tetapi siapa yang konsisten membina pemikiran dan karya sehingga ke penghujung usia. Dan bukti ini ada pada Mana Sikana.
Tentang kebimbangan bahawa perkara ini akan menjadi “precedent” (mohon izin), saya melihatnya sebagai kes terpencil. Ia berlaku dalam keadaan yang sangat khusus dan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengubah dasar secara menyeluruh.
Prinsip asal masih relevan. Tetapi dalam kes tertentu, pertimbangan yang lebih manusiawi perlu diambil kira.
Akhirnya sebagai penutup, kita perlu kembali kepada asas.
Sastera tidak bergantung pada majlis atau pengumuman. Tetapi pada daya tahan karya dalam ingatan masyarakat. Dalam hal ini, Allahyarham telah pun meninggalkan sesuatu yang melangkaui anugerah itu sendiri.
Kita jernihkan keadaan.