oleh Nimoiz T.Y

Komentar Azizul Rahman sangat menarik perhatian saya. Beliau menceritakan pengalaman mengajar juvana di Penjara Kluang dan Muar.

Antara kesalahan-kesalahan yang pernah dilakukan oleh juvana tersebut ialah kes dadah, merompak, mencuri, peras ugut, bergaduh dan lain-lain. Ketika ditanya adakah mereka gemar membaca bahan sastera semasa di sekolah? Jawapan yang diberikan ialah tidak.

Jadi apakah fungsi sastera sebenarnya?

Fungsi sastera ialah menerapkan unsur nilai dan moral dalam diri pembaca. Menerapkan unsur manusia dan kemanusiaan. Justeru, sebuah bahan sastera yang baik ialah bahan yang dapat memberi kesan psikologi kepada pembaca.

Contohnya kita membaca novel atau cerpen, unsur-unsur nilai yang dibawa seboleh-bolehnya mendidik jiwa pembaca untuk menjadi lebih baik.

Pernahkah kita membaca sebuah novel tentang kekeluargaan, lalu kita akan menjadi lebih bertanggungjawab? Pernahkah kita membaca novel tentang kemerdekaan, lalu semangat cintakan negara dalam diri kita semakin berkobar-kobar?

Nah, itulah fungsi sastera.

Dalam konteks medsos (media sosial), kita disogokkan dengan bahan bacaan yang rencam. Fitnah sana sini. Gosip sana sini. Hentam sana sini. Dan sebagainya. Akhirnya, kalau kita tinggalkan bahan sastera yang boleh melembutkan hati, jiwa kita akan menjadi keras.

Dalam konteks semua orang mahu menjadi rebel, kita disajikan dengan bahan bacaan yang keras. Semuanya mahu memberontak dan melawan. Lalu akhirnya jiwa kita menjadi kering. Hati kita menjadi semakin keras. Lalu tidak ada sifat kemanusiaan dalam diri.

Tidak salah.

Yang salahnya ialah tidak seimbang. Bahan bacaan kita perlu seimbang. Sesekali, kita perlu juga membaca buku-buku sastera berimpak tinggi yang boleh mengubah hati kita. Bahan bacaan yang dapat melembutkan hati kita. Bahan bacaan sastera yang akan menjadikan jati diri kita semakin kuat dan kukuh.

Sebagai penulis, sebab itu tulisan kita perlu ada norma dan etika. Perlu ada elemen moral dan keagamaan. Setidak-tidaknya, tulisan kita itu akan menjadi satu letusan api pembakar untuk seseorang itu berubah.

Atau setidak-tidaknya, kita sendiri yang akan berubah.