Zine Hubooks Edisi 1 Feb 2021

oleh Nimoiz T.Y

Penulis tertanya-tanya, apa sebenarnya Hubooks? Sejenak terlintas di benak rasa. Saya fikir, sudah tentu mengambil akronim Husain dan Books. “Hu” merujuk kepada Husain iaitu ayahanda Omar, salah seorang pengasas Hubooks. Manakala “books” pula merujuk kepada buku. Ternyata saya silap. Menurut salah seorang pengasas Hubooks, nama ini diambil sempena lokasi kedai yang berhabuk lantaran lama ditinggalkan sebelum diambil alih.

Seiring dengan tertubuhnya Hubooks di Pekan Lama Ipoh, mereka tampil dengan zine sulung Hubooks Edisi 1 Feb 2021. Sudah pasti, Zine ini akan mempunyai daya tarik yang tersendiri.

Menurut sidang editorial Hubooks, zine ini akan cuba menumpukan kepada perkongsian hal-hal buku terutama bibliofil dan sosiologi buku. Namun, pihak editorial juga masih membuka ruang kepada penyumbang untuk menulis yang di luar daripada itu. Yang lebih utama, sudah tentulah isu tentang kisah, pengalaman, pemerhatian dan penyelidikan tentang budaya buku seperti pembelian, penjualan, pencarian, pengumpulan, penerbitan, pengarkiban dan pendokumentasian buku.

Untuk edisi sulung ini, sembilan tulisan termuat. Antara tulisan yang agak menarik ialah tentang Pejabat Karang Mengarang Sultan Idris Training College Sebagai Penterjemah Dokumen oleh Omar Bachok. Tulisan oleh Izmal Karim tentang Pelayaran & Kunjungan Pertama Sultan Terengganu ke England: 26 Mac – Jun 1937 juga sangat menarik untuk disorot.

Zine kali ini turut menampilkan Mohd Dahri dari Liga Penulis Kelantan (LPK) yang menulis perihal Ronnie Rio Sang Buku. Turut menyumbang tulisan ialah Tokobuku Matlelagila, Abdullah Husaini dan lain-lain.

Semoga kemunculan Hubooks dan zine Hubooks akan merancakkan lagi dunia buku di Perak khasnya dan Malaysia umumnya.

Zine Hubooks boleh diperolehi dengan menghubungi Facebook Hubooks.

Share via
Copy link
Powered by Social Snap