oleh Hamdan Hj. Yaakub @ Medan HY

Sesetengah pengarang tidak suka hasil karyanya dikritik. Padahal kritikan itu adalah bertujuan penambahbaikan mana yang kurang dan memperkukuhkan lagi mana yang ada.

Sedangkan kritikan merupakan aktiviti membuat pertimbangan atau penafsiran sesuatu karya itu mengikut disiplin  ilmu yang sistematik. Hal ini bertepatan dengan pendapat Hashim Awang (1988) yang menjelaskan bahawa kritikan itu merupakan  suatu usaha untuk menilai hasil-hasil ciptaan seseorang sasterawan dengan cara yang beralasan serta bersistem dan bertujuan untuk mengembangkan sesuatu yang difikirkan baik lagi indah.

Terlebih dahulu kita perlu memahami apa makna kritik atau kritikan. Perkataan kritik berasal dari bahasa Greek yang diturukan dari bahasa Yunani Kuno “krites” yang bermaksud ‘orang yang memberi pendapat beralasan’ atau ‘ analisis ‘, ‘ pertimbangan nilai’,   ‘ interpretasi ‘ atau ‘ pengamatan ‘.

Kritikan juga dapat difahamkan sebagai melaksanakan prinsip-prinsip atau dasar-dasar sesebuah teori dalam menilai sesuatu karya. Manakala dalam konteks yang lain, istilah kritikan memberikan makna tentangan atau percanggahan terhadap sesuatu perkara yang dijadikan bahan kritikan.

Apa pula yang dimaksudkan  kesusateraan? Kesusasteraan dalam bahasa Inggeris disebut ‘literature’ bermaksud ‘segala sesuatu yang tertulis dan tercetak’.  Prof. A. Teuuw (1987) menyatakan istilah sastera berasal daripada perkataan Sanskrit  dari kata akar ‘sas’ bermaksud mengajar dan ‘tra’ merujuk kepada alat/sarana atau menyampaikan pengajaran.  Manakala Danziger M.K (1988), kesusateraan sebagai seni yang menggunakan kata-kata secara indah dan cantik.

Kita melihat pula definisi tokoh tempatan iaitu Hashim Awang (1988) menyatakan kesusasteraan sebagai ciptaan seni yang disampaikan melalui bahasa sama ada ditutur atau ditulis.

Setelah mengetahui apa itu kritikan dan kesusateraan, mari pula kita memahami apa yang dimaksudkan dengan kritikan sastera. Kritikan sastera merangkumi kegiatan melakukan penilaian, penafsiran, penganalisisan, tanggapan, penerimaan dan hukuman terhadap teks sastera atau hasil karya kreatif. Menurut Abdul Halim Ali (2006), kritikan sastera juga memberi tumpuan kepada perihalan, penafsiran dan penilaian tentang makna dan kesan karya kesusasteraan terhadap pembaca.

Kritikan sastera melibatkan beberapa proses dalam tindakan penilaian sesuatu karya seperti kita perlu membaca teks, menghayati isi kandungan teks dan menganalisisnya bagi mengembangkan tanggapan-tanggapan yang terbit daripadanya.

Betapa pentingnya fungsi kritikan kesusasteraan ini memang tidak boleh dinafikan lagi. Fungsinya dianggap sebagai neraca untuk membuat pertimbangan-pertimbangan mutu dan nilai terhadap sesebuah karya kerana pengkritik mesti memberikan justifikasi kritikannya itu. Secara tidak langsung juga, kritikan ini dapat mendorong meningkatkan motivasi dan kreativiti pengkarya dalam menghasilkan teks-teks yang lebih berkualiti. Dengan kata lain, kritikan sastera dianggap sebagai panduan dan sandaran untuk memperbaiki dan melihat kelemahan bidang kepengarangan seseorang pengkarya itu sendiri. Bidang kritikan  juga dapat membantu pembinaan teori dan pendekatan yang baharu. Hal ini bermakna teori baharu atau terkini akan sentiasa diwujudkan, dimodifikasikan, dan mengalami anjakan pradigma bersesuaian dengan arus perkembangan semasa.

Di samping itu, fungsi kritikan ini pula dapat membina budaya keintelektualisme yang jitu dan utuh kerana pengkritik mengkritik bukan secara sewenang-wenangnya tanpa aturan ilmu disiplin, pemikiran rasional dan sejagat bersesuaian dengan nilai dan norma-norma masyarakat kreatif dan harmonis.  Hasilnya, lahirlah masyarakat yang menjana atau menghasilkan karya yang mempunyai daya kreativiti dan inovasi yang berdaya pemikiran di luar kotak.

Kritikan yang biasa digunakan ialah jenis kritikan teoretikal dan kritikan praktikal. Kritikan teoretikal termasuk perbincangan berkisar definisi, prinsip, konsep, kriteria, metodologi, kategori, geneologi, fungsi dan sebagainya. Manakala kritikan praktikal (kritikan penerapan/amali) yang melibatkan pengkritik secara langsung dengan kerja-kerja membaca, menghayati dan menganalisis secara terperinci  sesuatu karya itu.

Perlu ditekankan di sini bahawa tidak semua orang boleh menjadi pengkritik sastera yang baik dan berkesan.  Akademik yang tinggi bukan bermakna mereka tahu atau menguasai segala-galanya terutama dalam bidang kritikan karya sastera ini. Pengkritik yang berkesan seharusnya terlebih dahulu menguasai bidang teori dan sejarah sastera di samping rajin membaca, meneliti, mengkaji, menganalisis hasil kritikan pakar atau orang lain. Abdul Halim Ali (2006) pernah menyatakan dalam sebuah bukunya bahawa seseorang ahli kritik tidak semestinya seorang penteori manakala seseorang penteori berkemungkinan seorang ahli kritikan.

Sebaik-baik pengkritik harus menguasai bidang teori kritikan sastera. Mana Sikana (1997) menjelaskan bidang teori sastera ialah satu bidang yang berkaitan dengan pemahaman tentang definisi, hakikat, prinsip, konsep, kriteria dan saranan menjelaskan sesuatu subjek.  Tuntasnya, teori sastera merupakan bidang ilmu yang mengkaji sifat-sifat yang terdapat dalam teks kesusasteraan yang berkaitan teori-teori itu sendiri.

Secara sepintas lalu, teori-teori yang boleh digunakan untuk membentuk suatu tanggapan bagi memahami dan menjelaskan analisis kesusasteraan berasaskan aturan disiplin  ilmu yang sistematik

seperti teori penerimaan Plato, teori sastera berasaskan kesan, teori formalisme,  teori strukturalisme, teori semiotik, teori psikoanalisis, teori feminisme, teori takmilah, teori pengkaedahan Melayu, teori rasa-fenomenologi , teori kritikan baharu, teori teksdealisme, teori puitika sastera Melayu, teori konseptual kata kunci, teori sistem pemikiran bersepadu (SPB4K) dan sebagainya.. Manakala pendekatan-pendekatan yang boleh diaplikasikan seperti pendekatan sejarah, pendekatan moral, pendekatan struktural, pendekatan sosiologi, pendekatan psikologi dan lain-lain lagi.

Kesimpulannya, kritikan sastera memang tidak boleh dipinggirkan dalam membuat penilaian terhadap sesuatu teks kesusasteraan sama ada dari segi kreativiti dan inovasi serta disiplin kepengarangan menghasilkan suatu karya. Kritikan sastera juga sebagai pengukuran yang memberi pertimbangan-pertimbangan terhadap tahap mutu karya, kebaikan dan kelemahan yang membawa kepada penerimaan dan penolakan  sesuatu karya tersebut.