oleh Hamdan Hj. Yaakub

Dunia penulisan terbuka luas kepada sesiapa sahaja. Semua orang boleh menulis. Kenapa hendak menulis buku?

Banyak faktor yang mendorong seseorang itu ingin menjadi penulis buku bercetak.

Seseorang itu menulis buku kerana untuk terapi minda. Kadang-kadang dalam kehidupan kita ada peristiwa suka dan duka, dan perasaan tidak puas hati kepada pihak tertentu. Oleh itu kita akan meluahkan perasaan dan permasalahan kita di atas kertas. Dengan cara ini, fikiran kita akan terasa lapang dan tenang. Jiwa yang buntu, boleh menyebabkan fikiran tertekan. Jadi luahan kebuntuan itu perlu dikeluarkan segera dengan menulisnya di luar otak kita iaitu mencoretkan di kertas.

Di samping itu, seseorang ingin menjadi penulis kerana ingin mencurahkan ilmu kepada khalayak. Dirinya berasa bersalah sekiranya ilmu yang tersemat di dada tidak dicurahkan untuk dikongsi bersama dengan orang lain. Ilmu-ilmu yang bermanfaat digarap dengan sebaik mungkin semoga ilmu yang disampaikan berguna atau bermanfaat untuk semua.

Selain itu, menjadi tanggungjawab awam atau sosial bagi diri penulis. Jika tidak menulis apa akan berlaku kepada dirinya kerana jiwanya seorang penulis. Mahu tidak mahu, sudah menjadi tanggungjawabnya untuk menyatakan dan meluahkan sesuatu secara kritis dan kritikal sebagai penilaian kepada masyarakat. Masyarakat akan membaca buku seseorang penulis untuk mencerap idea-idea yang baik daripada seseorang penulis melalui buku-buku yang ditulis oleh seseorang penulis.

Seseorang itu ingin menjadi penulis kerana inginkan kepuasan. Seseorang itu menulis bukan sahaja untuk wang, kawan-kawan, orang lain tetapi seseorang itu akan berasa puas dalam dirinya sekiranya bukunya dapat ditatap oleh orang lain. Penulis berasa lega sekiranya buah fikirannya dapat diterima oleh audiens. Jiwanya puas sekiranya dapat menulis buku kerana selagi buku tidak dapat dikeluarkan selagi itu hidupnya berasa gelisah kerana ia dilahirkan untuk menulis. Orang lain tidak akan dapat merasai perasaan sebegini hanya penulis buku sahaja yang dapat merasainya.

Penulis juga menulis buku kerana inginkan pengiktirafan diri daripada orang atasan atau pemimpin. Betapa bangganya seseorang penulis buku sekiranya majikannya juga turut memiliki dan membaca buku yang ditulisnya. Pujian dan penghargaan akan diterima oleh penulis. Secara tidak langsung boleh menaikkan nilai diri sendiri. Secara amnya, penulis dapat mempromosikan diri sendiri.

Faktor lain yang mendorong seseorang ingin menjadi penulis buku kerana menulis boleh menyebabkan peningkatan kerjaya dengan cepat kerana sekarang ini penilaian prestasi kerja akan diambilkira penghasilan produk penulisan dan penerbitan buku yang dihasilkan oleh seseorang pemegang jawatan. Penilai akan menilai dan menimbangkan hasil usaha seseorang yang diokumentasikan dalam bentuk produk buku bercetak dengan ISBNnya.

Manusia biasanya dapat hidup hanya dalam jangka hayat selama usia 60-70 tahun sahaja. Tetapi sekiranya seseorang itu menulis buku bercetak, ia akan hidup seratus tahun akan datang kerana meninggalkan suatu penulisan buku bercetak, atau dengan kata lain, ia akan sentiasa diingati dan tidak berkubur begitu sahaja dan terus hidup dengan melebarkan legasi penulisannya yang sentiasa dibaca atau dirujuk sepanjang masa.

Dengan menulis, penulis buku bercetak boleh menjana pendapatan seperti mendapat honorarium, royalti, bayaran langsam sebagai sumber pendapatan sampingan. Bukankah beruntung sekiranya kita mempunyai jawatan tetap di samping menjadi penulis buku bercetak sebagai nilai tambah kepada pendapatan seseorang.