oleh Nimoiz T.Y
Polemik Siapa Paling Layak Menerima Anugerah Sastera Negara (SN) (Siri 1)
Gendang siapakah selayaknya menerima Anugerah Sastera Negara (ASN) yang membawa gelaran Sasterawan Negara (SN) kini begitu kuat dipalu. Pom pam pom pam. Pada satu sisi, paluan gendang ini perlu menandakan bahawa kegiatan sastera di Malaysia masih lagi bernafas.
Setakat ini, tidak ramai penulis Malaysia yang menerima ASN. Dalam barisan nama yang panjang, kita cuma ada Shahnon Ahmad, Usman Awang, A. Samad Said, Arena Wati, Muhammad Haji Salleh, Noordin Hassan, Abdullah Hussain, S. Othman Kelantan, Anwar Ridhwan, Kemala, Baha Zain, dan Zurinah Hassan.
Yang masih hidup tidak ramai. Al-Fatihah untuk SN yang sudah pergi meninggalkan kita.
Cuma, polemik yang bukan-bukan sudah pasti tidak manis dibaca. Seolah-olah, gelaran SN adalah sama dengan dunia artis. Kita perlu ingat, dunia sastera bukan dunia populariti. Tanggungjawab penerima ASN adalah besar. Ia akan menjadi tugu tanda taraf pengkaryaan seseorang.
Kalau dapat SN, orang akan melihat kredibiliti seseorang itu. Kalau benar-benar layak, mungkin tidak menjadi isu. Kalau karya yang suam-suam kuku, sudah pasti semua pihak akan dikecam. Termasuklah penulis itu sendiri, pencadang, DBP, dan semua yang terlibat.
Ini hal yang bukan main-main.
Kalau mendapat ASN, apa yang seseorang penulis itu dapat? Banyak. Antaranya ialah Warkah Penghormatan Negara, wang tunai RM 60,000.00, kemudahan dan keselesaan untuk kegiatan mencipta karya, kemudahan untuk penerbitan karya, kemudahan perubatan percuma dalam wad kelas satu di mana-mana hospital kerajaan.
Memang lumayan.
Namun, itu semua adalah hal nombor dua. Hal utama ialah pengiktirafan. Seseorang yang menerima ASN diiktiraf sebagai mencapai mutu sastera yang tinggi.
Menurut DBP, Anugerah Sastera Negara dikurniakan oleh Kerajaan Malaysia kepada sasterawan yang menulis dalam Bahasa Melayu. Seseorang penerima ASN hendaklah memberikan sumbangan yang cemerlang dalam perkembangan kesusasteraan tanah air melalui ciptaan yang bermutu tinggi.
Saya tidak mahu sentuh calon yang layak. Lagi pun, pencalonan sudah ditutup.
Biarlah. Ini pandangan peribadi saya. Pada saya, biarlah mereka yang menerima ASN adalah berdasarkan magnum opus karya terkini. Bukan berdasarkan zaman kegemilangan mereka pada tahun 1960-an, 1970-an, 1980-an atau 1990-an. Berapakah jeda waktu terbaik? Mungkin penilaian berdasarkan karya 5 atau 10 tahun mutakhir.
Perbandingan saya mudah sahaja. Contohnya dalam bidang seni muzik. Katakanlah kita mahu mencari penyanyi untuk diberi Anugerah Penyanyi Negara (APN). Kenapa kita perlu memilih penyanyi tahun 60-an. Dengan alasan, senioriti. Dengan alasan, mereka layak sebab sudah lama menyanyi.
Akhirnya kita perlu akur. Aspek utama yang perlu dinilai ialah kualiti karya. Memang betul. Tapi, mereka yang masih menulis perlulah diambil kira. Takkanlah mahu beri anugerah kepada mereka yang sudah lama berhenti menulis.
Antara perkara lain yang perlu diambil kira ialah keaktifan penulis dalam kegiatan luar. Ini termasuklah kerajinan menghadiri program sastera. Membentang kertas kerja. Berkongsi idea dalam program pembinaan penulis dan banyak lagi. Sekarang bukan lagi zaman penulis duduk berkurung dalam rumah menulis karya. Perlu juga bergaul dengan masyarakat.
Banyak lagi sebenarnya perkiraan yang perlu diambil kira selain kualiti karya.
Namun dalam konteks media sosial, kita kena tambah lagi satu. Calon SN mestilah mereka yang cekal menerima tohmahan netizen. Hati kena kuat. Yang mudah merajuk, kita potong markah.