oleh Nimoiz T.Y

Lazimnya, “Antologi” digunapakai untuk buku yang bilangan penulisnya ramai. Misalnya, “Antologi Cerpen” atau “Antologi Puisi”.

“Kumpulan” pula merujuk kepada buku yang ditulis oleh seorang penulis. Mungkin seseorang itu menulis 15 buah cerpen. Atau 50 buah puisi. Lalu dimuatkan dalam sebuah buku perseorangan. Dengan kata lain, kumpulan merujuk kepada buku solo.

Namun, ada juga penulis yang tidak suka menggunakan istilah antologi atau kumpulan. Antara istilah yang digunakan ialah “Himpunan” atau “Sepilihan”. Misalnya, “Sepilihan Sajak Nimoiz T.Y” atau “Himpunan Sajak-sajak Nimoiz T.Y antara 2000-2020.”

Namun, ada juga penulis yang tetap dengan pendirian. Tidak mahu mendengar nasihat orang. Buku perseorangan tetap menggunakan istilah “Antologi”, manakala buku ramai-ramai dia guna istilah “Kumpulan”.

Pada hemat saya, ini akan mengelirukan pembaca. Saya pernah terbaca biodata penulis begini:

“Sehingga kini, beliau sudah menulis 89 buah Kumpulan Puisi”.

Adakah dia sudah menulis 89 buku persendirian? Ini sudah tentu akan mengelirukan pembaca. Biodata nampak hebat. Padahal 89 itu merujuk kepada buku bersama penulis lain.