Bertandang Sejenak di Bekor
oleh Nimoiz T.Y
Kampung Bekor di Manong, Perak yang kaya dengan nilai sejarah dan budaya bakal menjadi tumpuan dengan program “Bertandang Sejenak di Bekor”. Program ini akan diadakan pada hari Ahad, 15 Disember 2024. Program yang julung kali diadakan ini akan berlangsung di Dewan Komuniti Kubang Udang, Kampung Bekor, Manong, Perak, bermula jam 10.00 pagi.
Program ini dianjurkan oleh Persatuan Karyawan Perak, Majlis Kebudayaan Negeri Perak, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak, Kaya Cipta dan komuniti setempat. Acara ini bertujuan untuk mengetengahkan keunikan sejarah dan budaya tempatan melalui pelbagai aktiviti menarik yang telah dirancang khas untuk para pengunjung.
Program ini bakal dirasmikan oleh Puan Rafidah binti Abdul Aziz, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak.
Pengisian Menarik Program
Antara aktiviti utama yang bakal memeriahkan program ini ialah:
- Pelancaran Buku Bekor: Sebuah karya istimewa yang mengangkat sejarah dan kisah menarik dari Kampung Bekor.
- Bicara Novel Bekor: Sesi diskusi bersama Hj. Paris Arshad yang akan membicarakan novel “Ketika Itu di Bekor” karya M. Zaki Arif..
- Pengisahan Perang Bekor: Satu pengisahan tentang peristiwa penting dalam sejarah Bekor yang akan memberi inspirasi kepada para hadirin yang akan dikongsi oleh Dato’ Hj, Sallehuddin Abdul Hamid.
- Deklamasi Sajak Bekor: Penghayatan seni melalui sajak yang membawa tema patriotisme, sejarah, dan kecintaan terhadap tanah air. Antara deklamator yang bakal membuat persembahan ialah Onn Abdullah, Sabariah Bahari dan Ijamala MN.
- Sketsa Pahlawan Bekor: Persembahan dramatik yang menggambarkan perjuangan tokoh-tokoh Bekor dalam mempertahankan maruah bangsa dan tanah air.
- Pameran dan Jualan Buku: Peluang untuk pengunjung mendapatkan pelbagai bahan bacaan menarik termasuk buku-buku sejarah dan sastera tempatan.
- Pameran dan Jualan Lukisan: Ruang untuk menghayati dan memiliki karya seni hasil ciptaan pelukis tempatan. Antara yang bakal membuka meja jualan ialah pelukis Ijamala MN.
Kenapa Perlu Hadir?
Program ini bukan sahaja memberi peluang untuk mendekati warisan sejarah dan budaya Bekor, tetapi juga menjadi platform untuk masyarakat setempat dan luar berinteraksi, berkongsi pengalaman dan menyemarakkan lagi kecintaan terhadap seni, sastera, dan budaya kita. Kampung Bekor yang mempunyai latar belakang sejarah unik dijadikan inspirasi utama dalam pelbagai pengisian program ini, menjadikannya sesuatu yang tidak harus dilepaskan oleh pencinta seni, sejarah, dan sastera.
Selain itu, program ini juga memberi peluang kepada komuniti tempatan untuk mempamerkan bakat dan hasil seni mereka kepada khalayak ramai. Dengan penganjuran ini, diharap Kampung Bekor dapat dikenali sebagai salah satu pusat rujukan budaya dan sejarah di negeri Perak suatu ketika dahulu.
Jemputan Istimewa kepada Semua
Semua lapisan masyarakat dijemput hadir untuk memeriahkan acara ini dan bersama-sama menyokong usaha memartabatkan warisan budaya dan sejarah tempatan. Kehadiran anda bukan sahaja akan menyemarakkan suasana program, tetapi juga menjadi tanda sokongan kepada perjuangan mempertahankan warisan dan budaya kita.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi di www.karyawanpk.org atau ikuti perkembangan terkini melalui laman Facebook Persatuan Karyawan Perak.
Mari bersama-sama menghidupkan semula sejarah dan budaya dalam program“Bertandang Sejenak di Bekor”