oleh Anuar bin Mohd Yusof
Seingatnya, saya mula terlibat dalam penulisan ketika dalam tingkatan 4 hingga 5 di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK). Saya berniat mengusik atau “pulling the legs” sahabat-sahabat yang menyertai pasukan palang merah.
Beberapa sahabat termasuk saya mengganggap pasukan palang merah tugas wanita atau lelaki lembut (girlish). Pemikiran kami masa itu, pasukan kadet dan pengakap adalah “macho” dan lebih kepada ciri-ciri maskulin lelaki.
Saya pun menulis pantun di dalam Buletin Kolej Melayu Kuala Kangsar di pertengahan tahun 1971 ketika di tingkatan empat di sana. Tiba-tiba “pantun mengusik” atau “pulling the legs” sahabat kami dua hingga tiga orang yang berbaris di dalam pasukan palang merah “sebagai missie”.
Anehnya, buletin penggal ke-3 tiba-tiba pantun mengusik “sahabat-sahabat kami panggil missie” keluar dalam buletin penggal ke-2 Kolej Melayu. Perkara ini amat mengujakan diri saya dan boleh disifatkan pengalaman pertama bidang penulisan.
Selepas itu saya bertugas di Pejabat Kesihatan Kinta di bawah Jabatan Kesihatan Negeri Perak, sebagai inspektor kesihatan yang menjaga unit BAKAS – Kesihatan Alam Sekeliling termasuk luar bandar. Saya telah dilantik sebagai ketua editor buletin Nadi Kinta. Pejabat Kesihatan Daerah Kinta terletak di Jalan Gopeng, Ipoh, setentang dengan Hotel Casuarina sebelum ia berpindah ke Meru Raya.
Di dalam buletin ini saya merakamkan pengalaman tugas kesihatan. Antaranya ialah pengalaman kali pertama menyelia tugas malaria ke Hulu Perak. “Penyeliaan efektif” dan pengalaman kali pertama camping khemah anti malaria di hujung rintis Hilir Perak.
Saya juga mengunjungi pelbagai jabatan dan syarikat swasta untuk mendapat pembiyaan iklan yang dimasukkan ke dalam buletin tersebut. Ini kerana jabatan sanggup mengeluarkan RM1,000 sahaja untuk menerbitkan Nadi Kinta. Kos keseluruhannya sekitar RM1,500 hingga RM2,000.00. Kali pertama saya membuat kerja menuntut iklan dan bayaran melalui cek untuk buletin Nadi Kinta.
Perkara lain yang amat membantu ialah sifat peribadi saya yang mula menyimpan diari sejak tingkatan enam. Mula tahun 1973 hingga 1975. Setiap perkara penting, saya catat di dalam diari. Ini sebagai rujukan buat saya di masa hadapan.
Alhamdulillah, sejak tahun 1986 hingga 2016, tiga buah novel saya telah diterbitkan iaitu Memori Cinta, Rampaisari Buah Tangan Penulis Kampar dan Dari Jeram ke Tanah Suci!
Novel kedua mendapat bantuan Dr. Talib Samat, dari UPSI, Tanjong Malim. Beliau terlibat sebagai penerbit dan editor melalui Mentari Publishing. Pada tahun 2015, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) telah membeli 500 nashkah buku ini untuk edaran Perpustakaan Desa seluruh Malaysia.
Dari Jeram ke Tanah Suci (2016) pula telah disunting oleh Dr. Zabidin Haji Ismail, Presiden Karyawan Pk dan diterbitkan oleh KayaCipta.