oleh Nimoiz T.Y
Kita beruntung. Dilahirkan dalam suasana yang damai dan tenteram. Kemudian membesar dalam kalangan orang yang hebat. Seterusnya kita berada dalam lingkungan orang yang ambil tahu. Malah kini kita hidup dalam kalangan manusia yang sentiasa peduli.
Masing-masing ada kehidupan sendiri. Biar sederhana asal cukup. Biar miskin asal tidak melarat.
Biarkan sekelumit ketidakpedulian manusia. Nah, hidup mana yang terlalu sempurna? Hidup ini adalah ombak. Ada pasang surutnya. Kita sendiri yang perlu menjaring ikan hikmah. Ambil sesuatu. Ambil sesuatu.
Sebarkan kasih-sayang. Sayangi semua orang. Sayangi orang yang menyayangi kita. Namun, jangan sesekali menyakiti orang yang menyakiti kita.
Kebaikan perlu dibalas dengan kebaikan. Namun, jangan sesekali kita membalas keburukan dengan keburukan. Siapa kita untuk buat begitu?
Kita beruntung.
Malah sangat beruntung. Walaupun kadang-kadang kita tidak terlalu pintar. Malah kadang-kadang kita terlalu malas. Semangat menjunam pada kedalaman yang paling ampuh. Masih ada orang peduli. Yang sentiasa meniupkan terompet semangat ke telinga kita.
Kata orang, “Orang pintar yang malas akan dikalahkan oleh orang bodoh yang rajin. Dan orang bodoh yang rajin akan dikalahkan oleh orang yang beruntung.”
Nah, nampak bagaimana kelebihan orang yang beruntung.
Lalu, bagaimana harus kita mengguna dan memanfaatkan keberuntungan yang ada? Bantu dan beri manfaat kepada orang lain.
Bagaimana caranya? Dengan cara menulis. Kerana kita penulis yang beruntung, sebarkan pula keberuntungan kita kepada orang lain.