Tentang Kualiti vs Kuantiti

oleh Nimoiz T.Y

Tentang Kualiti vs Kuantiti

Perkara ini subjektif. Orang yang rajin menulis, sudah tentu akan menghasilkan karya dalam kuantiti yang banyak. Namun, ada orang lebih mengutamakan kualiti.

Kuantiti – jika tidak dikawal, sudah pasti akan menghasilkan kualiti yang teruk. Mengambil contoh, penyiaran puisi dalam Berita Minggu atau Mingguan Malaysia. Setiap hari Ahad.

Ada orang, hantar sahaja puisi kepada Berita Minggu atau Mingguan Malaysia, pasti karyanya akan tersiar. Ada orang, hantar 10 buah puisi mungkin hanya 1 sahaja yang tersiar.

Sebab itu kita tengok, hampir orang yang sama karyanya tersiar.

Barangkali (sekadar sangkaan), hubungan akrab dengan editor juga memainkan peranan. Namun, hal ini janganlah disalahgunakan untuk menghantar karya sembarangan. Mentang-mentanglah kalau hantar pasti tersiar, kita main tangkap muat hantar. Main hantar sahaja tanpa mengutamakan kualiti.

Sebenarnya, kita telah mencuri ruang di situ. Mana tahu, ada orang yang lebih layak karyanya tersiar, tetapi editor masih memilih karya kita. Kita sudah mengambil peluang orang lain.

Mungkin ada yang berkata – itu hak akhbar. Hantar sahajalah. Masing-masing bersaing. Hendak dengki buat apa?

Bukan begitu.

Perlu ingat – akhirnya kualiti adalah yang paling utama. Tidak guna kalau kita menulis dalam kuantiti yang banyak, namun kualitinya ke laut.

Kita ambil contoh mudah. Ada penulis B yang karyanya hampir tersiar saban bulan dalam Mingguan Malaysia. Setahun begitu banyak tersiar. Tapi langsung tidak sangkut untuk Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU). Tapi, Fahd Razy, tidak banyak. Kadang-kadang hanya sebuah sahaja tersiar dalam Mingguan Malaysia pada tahun itu. Tapi menang HSKU.

Lalu selepas pengumunan, pahat masih berbunyi. Hakim pilih kasih. Hakim berat sebelah. Hakim pilih orang yang sama. Sedangkan, hakim yang dilantik adalah bukan seorang. Tapi panel. Dan keputusan akhir bukan terletak di bahu seorang hakim. Sebaliknya sekumpulan hakim yang pakar dan arif dalam bidang masing-masing.

Itulah – Akhirnya, kita perlu kembali kepada konteks asal. Iaitu kualiti.

Kalau rasa karya tidak seberapa, jangan hantar. Berilah peluang kepada orang lain yang langsung tidak mendapat tempat di akhbar. Asyik kita sahaja.

Namun begitu, jangan berasa marah dengan saya. Sekadar pandangan. Kerana akhirnya, sastera kita tidak ke mana kalau kita hanya main tulis sahaja. Main hantar sahaja.

Kerana akhirnya, yang akan kekal dan diingati – adalah kualiti. Bukannya kuantiti.

Jangan putus asa. Dan jangan pernah berasa “down”. Teruslah menulis dan menghantar karya seperti biasa. Yang penting, cuba tingkatkan kualiti.

Share via
Copy link
Powered by Social Snap