oleh Nimoiz T.Y

Ada 1001 tujuan kenapa orang membeli buku. Bergantung kepada siapa orang itu. Saya sendiri membeli buku atas kapasiti sebagai 3 identiti yang berbeza.

i. Seorang penulis
ii. Seorang pembaca
ii. Seorang desainer

Jadi, setiap penulis tidak perlu risau bukunya laku atau tidak. Yang penting, tulis sampai siap dahulu. Kemudian barulah fikir soal promosi dan lain-lain.

Saya kongsikan 1001 sebab akan kenapa buku-buku berikut saya beli / miliki mengikut kajian kes saya sendiri.

  1. Tukar Suka Sama Suka

Buku Jejak-jejak di Pantai tulisan Ibnu Din Assingkiri saya perolehi secara tukar suka sama suka. Banyak penulis di Malaysia mengamalkan konsep tukar suka sama suka. Secara baiknya, tukarlah buku dengan ikhlas dan rela. Bukan sebab terpaksa. Nilai buku pula mestilah sama. Kalau harga RM20.00, perlulah tukar dengan buku dengan harga yang sama juga. Atau lebih kurang. Bukannya buku dia harga RM50.00, buku kita harga RM20.00.

  1. Sebab Kawan Beri Hadiah

Dokumen Rasmi BN Khianati Amanah Rakyat tulisan Husam Musa saya dapat secara percuma ketika berkunjung ke rumah kawan di Pasir Mas. Dia suruh saya ke rak dan pilih buku mana yang saya suka. Jadi, saya ambil buku itu.

  1. Untuk Rujukan Sebagai Tugas Sampingan

Buku Jalan Pantas ke Arah Pelajar Cemerlang tulisan Prof Izzi dan Zetty Zahureen saya beli sekitar tahun 2006 sebab pada waktu itu tugas sampingan saya sebagai Penolong Pegawai Kaunseling Politeknik Mukah dan Penyelaras Kaunseling Jabatan Kejuruteraan Awam, Politeknik Mukah. Jadi, kadang-kadang perlu beri ceramah kepada pelajar.

  1. Menyokong Usaha Sahabat yang Rajin Menulis

Buku 30 Hari Lagi merupakan tulisan sahabat saya MK Riza. Jadi, saya memiliki buku beliau sebagai tanda sokongan kepada sahabat.

  1. Mengimbau Nostalgia Silam di Zaman Silam

Semasa zaman kanak-kanak, saya pernah membaca novel Bulan Merah di Tiga Kuala. Novel ini tulisan Zahari Affandi. Latar lokasi novel ini di Kampung Pahi, Kelantan. Tapi ke mana hilang entah novel ini. Bila ternampak novel ini di Pasar Karat, saya terus beli. Walaupun kulit tidak ada.

  1. Kerana Harganya yang Murah

Buku Puisi-puisi Pilihan Masuri S.N saya beli sebab ada jualan lelong di kedai Koperasi DBP. Harga cuma RM2.00. Jadi, saya pun belilah.

  1. Kerana Nama Penulis Itu Sendiri

Buku Ciuman Hujan saya beli sebab penulisnya. Saya merupakan antara peminat karya-karya Pablo Neruda. Begitu juga dengan buku Padanya Ada Cinta karya Bahruddin Bekri. Saya beli sebab saya suka dengan gaya penulisan beliau.

  1. Kreativiti dan Keunikan Sesebuah Buku

Buku Kata Plato tulisan Sinaganaga Lan Benhussain seya beli sebab luar biasa. Kertasnya bersambung antara satu sama lain macam keretapi. Saya baca dua kali dan sekarang tidak buka lagi sebab takut tak pandai nak lipat.

  1. Sebab Menghadiri Seminar / Kursus

Buku Mudahnya Berniaga tulisan Azizan Osman saya dapat sebab menghadiri seminar berniaga yang disampaikan oleh Azizan Osman. Yuran cuma RM50.00. Dapat pergi seminar, kemudian dapat buku dengan harga lebih kurang yuran. Kira balik modallah.

  1. Sebab Buku Langka

Buku Penulisan Berita dalam Bahasa Melayu pada sesetengah orang tidaklah langsa sangat. Tapi pada saya langka sebab sudah agak lama. Antara buku terawal tentang bagaimana untuk menulis berita. Sesuai menjadi rujukan kepada calon wartawan.

  1. Ingin Memahami Penerbit

Buku Rahsia Jutawan-jutawan Internet Terbongkar tulisan Irfan Khairi saya beli sebab ingin memahami penerbit Truewealth. Sebelum ini, True Wealth hanya menerbitkan buku Azizi Ali dan buku-buku bahasa Inggeris sahaja. Buku Irfan Khairi adalah buku penulis luar pertama dalam bahasa Melayu. Jadi, saya perlu beli buku True Wealth untuk tahu rentak penerbit sebelum menghantar manuskrip. Selepas itu, buku saya pun terbit dengan True Wealth.

  1. Kertas Dalaman yang Menarik

Saya beli buku Ingin Menjadi Penulis? tulisan A. Ubaidillah Alias sebab saya merupakan peminat buku-buku terbitan Telaga Biru. Saya suka Telaga Biru sebab kebanyakan buku-buku oleh penerbit ini berwarna-warni.

  1. Ingin Belajar dan Terus Belajar

Buku Cari Duit Cara Mudah Sebagai Penulis Bebas oleh Zamri Mohamad saya beli kerana ingin belajar menulis esei dan artikel Sebelum ini, saya lebih banyak menulis puisi dan cerpen.

Demikianlah kenapa saya membeli buku. Banyak juga faktor lain yang saya tidak sebutkan. Faktor bestseller, faktor kulit buku yang cantik, faktor blurb, dan bermacam-macam lagi.