Anak kelahiran Kg. Batu Masjid, Temoh, Perak Darul Ridzuan adalah seorang penulis, penceramah penulisan, pembentang kertas kerja, penyelidik sastera & sejarah tempatan, editor, penerbit disamping penggerak persuratan Melayu Perak serta pengkaji masyarakat Melayu Rao (Rawa).

Beliau telah menghasilkan beberapa buah buku; antaranya Pasir Salak Bumi Pahlawan Melayu (1993-Yayasan Perak); Di Pelabuhan Senja (1993-DBP); Ridzuan 1 (1994), Menara Condong (1994); Mokhtar Dahari Wira Bolasepak Negara (1999-DBP), Memoir Dato’ Shaharudin Abdul Rahman; Heiho Jepun (2003), Batu Masjid Permata Kami Setelah Seabad Berlalu (2007-PIBG SK Bt Masjid, Temoh), Sekondakhati (2009), Puisi Rao Nusantara (2009), Pemikiran Politik dalam Novel-novel Ahmad Boestamam (Universiti Malaya-2010), Imbasan Sejarah Karyawan Pk dan Kaedah Mokhdar: satu himpunan kenangan (2010), Timoh Tasik Kenangan (2010), Biografi Tokoh Rao (Karyawan Pk, 2012), Kita Serupa | We Are Alike (Kayacipta, 2013), Menara Condong Teluk Intan (ITBM, 2013), SuperMokh Legenda Bola Sepak Tanah Air (ITBM, 2013), 30 Tokoh Tersohor Perak Darul Ridzuan (Rasyaqierra Publications, 2013), Pantang Tanah dan Adat Berjojak (Kayacipta, 2015), Tanah Seribu (Kayacipta, 2015), Aceh dikenang Zaman (Kayacipta, 2017), Dikotomi Pemikiran (Kayacipta, 2019), Salju Sarajevo (Kayacipta, 2019), Puigrafi (Kayacipta, 2019), Memoir Bersama Tamar Jalis (Kayacipta, 2019), Malam Salju di Istanbul (Kayacipta, 2020), Biografi Penulis Perak Jilid 1 (Karyawan Pk, 2020), Biografi Penulis Perak Jilid 2 (Kayacipta, 2021), Harum di Langit Zaman- Biografi Tokoh Terpilih Malaysia (Kayacipta, 2021), Tokoh dan Puisi (Kayacipta, 2021) dan Sungai Manik Berdarah (DBP 2021).

Di samping itu beliau turut menyelenggara dan menyunting buku, antaranya Suara Kita Antologi Seribu Sajak Merdeka (Jabatan Penerangan, 2013), Masyarakat Rao di Malaysia (Jaro, 2013), Cercerita (Majlis Kebudayaan Perak, 2015), Siri Bercakap Dengan Jin: Keunikan dan Kepajaran Melayu (Kayacipta, 2016), Pawang Ana Sebuah Hikayat (Karyawan Pk, 2016), Pawang Ana Penglipur Lara Tersohor (Karyawan Pk, 2016), Sejarah Pembukaan Bandar Raya Ipoh (Penerbit Mentari, 2016), Sajak-sajak Pilihan Mokhtar Mimi (Karyawan Pk, 2018), Sajak-sajak Pilihan Tombak Sawit (Karyawan Pk, 2018), Antologi Sajak Menara Condong Teluk Intan (Karyawan Pk, 2018), Mendongak Langitmu Gangga (Karyawan Pk, 2018), Baso Rao | Dialek Rawa Satu Kajian Kes di Gopeng, Perak (Jaro, 2019) dan Cerpen-cerpen Pilihan Tamar Jalis Jilid 1 & 2 (Kayacipta, 2020).

Dr. Zabidin banyak meraih hadiah penulisan antaranya hadiah sagu hati Pertandingan Menulis Puisi Sejarah Nasional (1993), Hadiah Esei Terbaik Jab. Penerangan (1993), Peraduan Menulis Biografi Untuk Kanak-kanak (DBP 1994), Peraduan Mengarang Puisi dan Cerpen Perpaduan Nasional (Jab. Perpaduan Negara 1995), hadiah sagu hati mengarang siri drama TV HVD (1997), Peraduan Mengarang Esei Di Sektor Awam Kerajaan Pusat (DBP 2000), Hadiah Sastera Darul Ridzuan Ke-3 (HSDR3) bagi kategori buku esei dan kritikan sastera (2004), hadiah sagu hati Sayembara Menulis Puisi Putrajaya (DBP 2020) dan hadiah sagu hati Sayembara Menulis Novel Sejarah Untuk Remaja menerusi “Sungai Manik Berdarah” (DBP 2021).

Beliau pernah juga menjadi penulis udangan akhbar tabloid Bacaria terbitan Kumpulan Karangkraf dalam ruangan “Angin Dari Utara” (1986) dan ruangan “Tokoh Anak Perak” dalam akhbar rasmi Kerajaan Negeri Perak; Buletin Mesra (1996-2000) serta Pengarang buletin KemPen.My lidah rasmi Kementerian Penerangan Malaysia (2002-2005) dan Ketua Pengarang Lidah Rasmi Persatuan Jalinan Rao Malaysia (JARO) iaitu Rao Berandai dan Ketua Editor bagi majalah-majalah dan buku-buku kenegaraan yang diterbitkan oleh Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan Malaysia, Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Putrajaya (2011-2014).

Dalam arena penulisan, beliau banyak menggunakan nama pena. Antaranya, Biedyn Wan FH., S.I. Wanza, Zabinis BM., Zais Wahid, Burhanudin Al-Rawi, M Zaki Arif dan Jari Basurek.

Beliau turut aktif mengendalikan beberapa buah blog seperti Sekondakhati, TokohRao, PenulisPerak, KaryawanPk, Penyuluh916, JapenPk., Bukitgantang59 , Panglima Awang, Pawang Ana, SBDJ dan Kayacipta.

Di samping aktif menulis beliau adalah Presiden Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk), Timbalan YDP2 Persatuan Jalinan Rao Malaysia (JARO) (2009-kini), Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak (2006-2015), Yang DiPertua Kelab Kebajikan dan Sukan Jabatan Penerangan Perak (2005-2011), Naib Yang DiPertua 1 Majlis Kebudayaan Negeri Perak (2008-2019) dan Yang Dipertua Persatuan Bekas Murid Sekolah Kebangsaan Kg. Batu Masjid, Temoh (PENYULUH)(2012-2015) dan Bendahari Surau RPT Hj. Tahir, Temoh (2015-kini).

Kelayakan akademik – Diploma Pentadbiran Awam (UiTM); Sarjana Muda dengan Kepujian dalam bidang Komunikasi dan Sains Politik (UKM); Sarjana Sastera (UM) dan Ph.D (UPSI).

Pada tahun 2004 beliau menjadi tetamu khas Kerajaan Arab Saudi bagi mengerjakan haji serta mewakili Kementerian Penerangan Malaysia menyelaraskan liputan media antarabangsa musim haji di Jeddah, Madinah, Makkah, Arafah dan Mina.

Beliau telah dianugerahkan Pingat Jasa Kebaktian (PJK-1996) dan darjah Ahli Mangku Perak (AMP-2008) oleh Sultan Perak serta darjah Ahli Mangku Negara (AMN-2008) oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin. Di samping itu beberapa anugerah lain diperolehi beliau seperti Ijazah Kerhormat Doktor Persuratan (Litt.D) dari World Academy of Arts and Literature (WAAC), California, Amerika Syarikat (2013), Anugerah Pejuang Sastera Darul Ridzuan drp Kerajaan Negeri Perak (20+4), Anugerah Tokoh Budaya Perak drp Kementerian Kebudayaan dan Kesenian Malaysia (2015) dan Tokoh Maal Hijrah Daerah Batang Padang (2019).

Pencapaian dalam berbagai bidang telah dirakamkan dalam sebuah buku biografi antarabangsa (Britishmedia) bagi kategori Sucessful People in Malaysia oleh British Publishing House Ltd. London pada tahun 2019.