Bandar raya Ipoh dan kepentingannya dalam antologi sajak Ipoh Bandar Raya Gunung

oleh Hamdan bin Yaakub
Pendahuluan
Friedman dan Wulff (1976 ) menganggap bandar adalah sebagai sebuah dunia sosial yang kecil, yang
mempunyai fenomena berbagai-bagai dimensi ekonomi, demografi dan sosial.
Menurut Melvin dan Thomas (dalam Beaujeau – Detwler dan Marcus 1985:4) menyatakan bahawa
sesebuah bandar adalah meliputi keseluruhan elemen semulajadi, sosial dan buatan manusia yang
terkelompok dalam kawasan yang mempunyai ramai penduduk yang mempunyai nilai budaya yang
tinggi termasuk berbagai-bagai kemahiran(Yahya Ibrahim,1995: 8-9).
Tidak ketinggalan juga Anlmann dan Olsson(dalam Gernier,1967:18) mendefinisikan Bandar sebagai
satu pengelompokan yang mempunyai pelbagai aktiviti di dalamnya. Maksud pengelompokan disini
ialah sebuah kumpulan penduduk yang tinggal I satu kawasan yang sama dan menggunakan segala
kemudahan yang ada ( Yahya Ibrahim, 1995:8 )
Dalam kajian tentang komuniti bandar pula, Kamal Salleh (1979:5) mentakrifkan bandar sebagai satu
kawasan yang mempunyai enam kemudahan asas iaitu kemudahan kesihatan, kemudahan
persekolahan, infrastruktur asas ( seperti jalan dan pengangkutan), utiliti asas (seperti air dan
elekterik) , perumahan, perniagaan dan kemudahan komuniti (seperti masjid dan dewan ).
Ipoh mencapai taraf bandar raya mengikut akta Kerajaan Tempatan dengan keluasan 137.5 km persegi
meliputi Chemor, Simpang Pulai, Kampung Kepayang, Tanjung Rambutan dan Tambun dengan dikenali
sebagai “ Majlis Bandar Raya Ipoh”(MBI). Ipoh diisytiharkan sebagai sebuah Bandar raya pada tanggal
25 Mei 1988. Jumlah penghuni Ipoh pada tahun 2000 seramai 2.2 juta orang. Ipoh menjadi ibu negeri
Perak sewaktu pendudukan Jepun di Tanah Melayu iaitu pada tahun 1942(Talib Samat dan Zabidin Hj.
Ismail, 2016).
Ipoh telah dianggap sebuah bandar yang lestari.Bertepatan dengan apa yang diperkatakan oleh Abdul
Samad Hadi (2006:17) yang menyatakan sesebuah Bandar lestari itu telah mampu menunjukkan
peningkatan dalam kemajuan pembangunan ekonomi sambil menjaga kualiti persekitaran asli,
menangani dengan baik persekitaran binaan serta kesannya dan meneruskan kemajuan sosioekonomi
masyarakatnya.
Sorotan Buku Antologi Puisi Ipoh Bandar Raya Gunung
Buku antologi puisi Ipoh Bandar Raya Gunung ini merupakan karya penyelenggaraan Zabidin Hj Ismail
mengandungi 77 buah sajak hasil nukilan 38 orang penulis Persatuan Karyawan Perak yang diterbitkan
pada tahun 2016.
Pelbagai tema sajak telah dipaparkan dalam antologi ini yang antaranya merangkumi tentang aspek
pendidikan, perniagaan, pelancongan, pusat pentadbiran dan pusat ilmuan. Lantas, artikel ini telah
cuba menfokuskan Bandar Ipoh serta kepentingannya kepada audien pembaca.
Kepentingan Bandar Raya Ipoh
Pusat Pentadbiran
Menurut Dennis A. Rondinelli (dalam terjemahan Syed Nasir Salleh al- Habsi,1993:112)
memperkatakan sesebuah pusat pentabiran sudah seharuslah memiliki:
“ Faktor-faktor pertumbuhan awal seperti lokasi yang baik dan kekayaan sumber-
sumber alam ,pemilihan sebagai pusat pentadbiran atau politik….penumpuan perniagaan luar atau
pelaburan penjajah,..perkhidmatan sosial, atau lokasi di sepanjang laluan pengangkutan penting…dan
menggalakkan penempatan …serta memperkukuhkan aktiviti-aktiviti yang khusus”.
Bandar raya Ipoh yang merupakan ibu negeri Perak Darul Ridzuan merupakan Bandar yang keempat
terbesar di Malaysia. Ipoh yang terletak di lembah bijih Lembah Kinta memang sudah pesat
membangun dengan pertambahan jumlah penduduknya yang semakin padat. Tidak salahlah
pemilihan Ipoh sebagai pusat pentadbiran negeri Perak kerana kemudahan-kemudahan dan
keistimewaan yang dimiliki oleh Ipoh setanding dengan Bandar-bandar terkenal di rantau ini. Segala
aktiviti,program, pelancongan dan perkhidmatan bertumpu di Ipoh.
CT Nurza dalam bait akhir sajaknya “ Ipoh Pohon Beracun” halaman 32, telah menyatakan bahawa:
Ipoh
Kini menjadi pusat pentadbiran
Ibu negeri kepada Perak
Bandar raya keempat terbesar di Malaysia
Hal ini turut diakui oleh Elmi Ikhwan Nasarudin lewat sajaknya “Ipoh Yang Kukenali” halaman 35 dalam
bait dua :
Ipoh yang telah kukenali
Kemodenan dan pembangunan pesat
Sederas air hujan yang turun
Segalanya ada
Pusat Komersial atau Perniagaan
Bandar raya Ipoh juga telah dikenali sebagai pusat perniagaan negeri Perak. Perniagaan di Ipoh sudah
bermula sejak sekian lamanya lagi. Dari sudut sejarah tanah air kita kedatangan penjajah ke Perak
memang tidak boleh dipisahkan dengan perebutan hasil mahsulnya terutama di Lembah Kinta yang
menjadikan Ipoh sebagai pusat perniagaan bijih timah yang terpenting. Buat kata Chai Loon Guan
dalam sajaknya “ Dato’ Panglima Kinta Yusuf – Arkitek Pembangunan Awal Ipoh” dalam rangkap satu
halaman 23 seperti berikut:
Banjaran Kledang
Lembah Kinta
Lubuk bijih
Berwajah mewah ,Ipoh
Ibu kota timah Malaya
Wawasan pelopor terulung
Telah digambarkan juga bahawa Ipoh sebagai pusat perniagaan dalam kebanyakan sajak yang ada
dalam antologi ini. Sepanjang jalan di Bandar Ipoh terdapat deretan kedai-kedai, gedung-gedung
perniagaan, restoran-restoran makanan,kedai-kedai buku, dan beraneka perniagaan lain lagi. Hal ini
bertepatan dengan pendapat Yahya Ibrahim (1995: 10) yang menjelaskan bahawa “sesebuah bandar
tetap dikaitkan dengan bilangan penduduk yang relatif tinggi kepadatannya serta aktiviti yang
terdapat di dalamnya.”
Norza dalam sajaknya “Jalan ke Ipoh” halaman 64 baris-baris terakhir sajak secara jelas
memperkatakan Ipoh penuh dengan:
Deretan gerai dan kedai
Restoran dan gedung pakaian
Menggamit ke situ
Jimisa LY pula seolah-olah menyokong penyajak Norza, dalam sajaknya “Seleraku Seleramu Jua”
halaman 39 yang menguatkan Ipoh tempat perniagaan makanan.Cuba kita teliti keseluruhan baris
sajak itu ada menyentuh perkara ini:
Tidak ada tempoh berapa kali aku harus ke Ipoh
Sebuah Bandar raya pantasnya tumbuh
Dengan restoran beraneka juadah
Selaluku singgah melayan tekak
Restoran Simpang Tiga- Greentown Square
Restoran Nasi Vanggey- Greentown Business Centre
Restoran Mi Udang an Ketam Sempoi- Tanjung Rambutan
Restoran 21 Grilled – Kinta Riverfront
Restoran Mi Rebus Ramli- Jalan Kuala Kangsar
Restoran Daud Mat Jasak – Taman Jubli
Tapi tak sama laksa Kedah Padang Polo.
Setelah saya amati antologi ini , perniagaan telah dijadikan fokus kebanyakan penulis sajak untuk
berkarya. Maka lahirlah banyak sajak-sajak yang menceritakan hal tersebut, antaranya sajak ,Bazar
Ramadan Medan Gopeng( hlm 38), Bazar Ramadan Jelita Rupawan (hlm.17), Ipoh di Kala itu ii (hlm.11),
Masala Chai (hlm.27), The Haven (hlm.29), Ipoh Bandar raya Ria (34), Ipoh yang kukenali (hlm.35) dan
Kg.Jawa (hlm.58). Pelbagai jenis makanan disebut-sebut dalam sajak-sajak ini seperti mi rebus,kuih-
muih, jual pisang,teh masala, nasi ganja, nasi kandar dan banyak lagi. Perniagaan barang-barang lama
atau antik juga dijalankan di Memory Lane Ipoh seperti dalam sajak “Dari Ipoh Penuh Cinta”karya Onn
Abdullah,halaman 68 :
berderet di tepi jalan, pagi minggu
penuh sesak di lorong warisan
di sini muzium purba yang unik
mempamer aneka barang antik
masih indah dan menarik
“Memory Lane”atau Lorong Warisan ini terletak di Jalan Horley di tengah-tengah bandar raya Ipoh
yang telah beroperasi sejak tahun 1970an.
Yusuf Najmi Othman, dalam sajaknya “ Ipoh Bandar Raya Gunung”, halaman 115 telah menulis
tentang pusat-pusat perniagaan penghuni Ipoh mengikut kaum , walaupun sedikit sinis dalam sajaknya
itu. Tetapi Yusuf tetap mengakui bahawa Ipoh adalah pusat perniagaan sejak dulu lagi. Ungkapannya
dalam rangkap tiga seperti berikut:
Mengimbau tahun tujuh puluhan
di Kampung Paloh malam minggu
berkumpul Melayu di Pasar Minggu
lalu masa meratah warisan
di Pekan Lama ini dibangunkan
Little India yang tidak pernah dibanggakan
Cina di sekitar Concubine Lane
dan Melayu entah ke mana!
Paling menarik di bandar raya Ipoh ialah pada waktu bulan Ramahan .Wujudnya bazar-bazar Ramadan
secara ‘adhoc’ di merata lokasi sekitar Ipoh menjadikan Ipoh sangat popular sebagai tempat berniaga
yang diciptakan. Asha atau Ahmad Salleh dalam sajaknya “Bazar Ramadan Jelita Rupawan” halaman
17 menceritakan:
semusim Ramadan bazar sesak
memenuhi selera juadah berbuka
bermacam kuih pelbagai penganan
rakyat berbondong tak kira anutan
bazar ramadan Medan Gopeng Ipoh
Gedung-gedung perniagaan juga menjadikan Ipoh penuh sesak terutama pada waktu-waktu cuti
bekerja. Kedai-kedai buku dikunjungi untuk membeli keperluan persekolahan anak-anak. Ipoh telah
menjadi tumpuan penduduk seluruh Perak khususnya dan seluruh negara amnya. Asmahwati Shukor
menjelaskan dalam sajaknya “Ipoh” halaman 21 :
Sambil membelah Pekan Lama
di Jalan Sultan Yusuf aku singgah
mencari buku di S.S.Mubaruk
dan menapak kaki ke Yik Foong dan Super Kinta
mencari erti persahabatan.
Pusat Ilmu atau Pendidikan
Menurut Mohd Majid Konting (2003:3), pendidikan merupakan sektor penting bagi pembangunan
sesebuah Negara. Malah,perkembangan sektor ekonomi, sosial dan politik dikatakan bergantung
kepada perkembangan sektor pendidikan. Pendidikan digunakan bagi mengembang fahaman
demokrasi, mengukuhkan perpaduan serta menyediakan sumber manusia dan tenaga kerja.
Pendidikan digunakan sebagai alat penyusunan semula masyarakat dan pembasmian kemiskinan.
Kepentingan pendidikan bagi sesebuah negara terserlah misalnya dari aspek peruntukan
pembangunan.
Proses perkembangan bangsa dan proses kemajuan negara berkaitan langsung dengan sistem
pendidikan. Pendidikan bermutu melahirkan generasi yang sedar dan insaf dengan erti hidup dan
tanggungjawab. Mereka berusaha memperkembangkan potensi masing-masing bagi mencapai
kesejahteraan diri, keluarga, masyarakat dan negara (Yahya Don, 2007: 11).
Pandangan tentang pentingnya pendidikan kepada anak-anak bangsa di negara ini,pihak kerajaan
sentiasa prihatin tentang keperluan ini. Tidak ketinggalan juga, kemudahan mendapatkan pendidikan
secara formal telah diberi penekanan dengan terbinanya banyak sekolah-sekolah dan institusi
pengajian tinggi bandar raya Ipoh. A.J. Firdaus dalam sajaknya “Di sini Bermula Perjuangan Ilmu( buat
Anglo Chinese School Ipoh & Sekolah Raja Chulan Ipoh) halaman 7 :
Anak-anakku,
Di sekolah ini ada cerita
Tentang kesungguhan
Menjadi terbilang
Hal ini diakui oleh Mohd Rosli Saludin dalam sajaknya “ Ziarah Ipoh” halaman 53 seperti berikut :
Ipoh Bandar raya ilmu
banyak sekolah ternama
berkembang maju
pelajarnya harumkan Negara
Fungsi utama sekolah ialah untuk memberi pendidikan dan latihan. Pendidikan dianggap sebagai
proses membentuk seorang manusia yang sanggup berfikir kritikal dan daya kreatif….Oleh itu,peranan
sekolah juga untuk memberi peluang kepada manusia, khasnya generasi mua untuk menguasai
pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran yang difikirkan sesuai untuk melanjutkan perkembangan
masyarakat. Sekolah juga sebagai satu institusi masyarakat yang mementingkan perkembangan dan
perubahan tingkah laku murid-murid mengikuti arah aliran dan kehendak masyarakat (Mok Soon Sang
,2002:85).
Rizi S.S(Bukhari Lubis) dalam sajak “Ipoh” halaman 76 membariskan nama-nama sekolah dan
beberapa institusi pendidikan yang terdapat di Bandar raya Ipoh. Nama-nama tersebut seperti
berikut:
Ladang mencambah benih pendidikan
Izzuddin, Anderson School, ACS dan Taayah,
STAR, St.Michael’s Institution
Lebih meninggi ke Politeknik Ungku Omar, IPG Kinta,
QUIP dan UniKL RCMP.
Sekolah Tunku Abdul Rahman Ipoh merupakan salah satunya sekolah berasrama penuh(SBP)
Kementerian Pendidikan Malaysia yang terkenal di Malaysia. Ramai cendikiawan-cendikiawan dan
pemimpin lahir dari sekolah ini seperti YB Dato’ Idris Jusoh, dan YB Mohd Nor Yaakop.
,
Di samping sekolah-sekolah harian, terdapat juga sekolah-sekolah agama yang menjadi tumpuan
untuk belajar agama di Ipoh. Dulu dua buah sekolah yang sangat diidamkan oleh pelajar luar bandar
ialah SMA Izuddin Shah dan SMAP Taayah Ipoh. Perkara ini bertepatan dengan matlamat pendidikan
Islam ialah membawa manusia kepada mentauhidkan Allah dan menegakkan kebenaran Ilahi. Di
samping itu pendidikan adalah satu proses pembentukan perilaku manusia yang merangkumi sikap,
pandangan,perasaan,pemikiran dan penilaiannya.Oleh yang demikian, matlamat pendidikan Islam
bukan sahaja ditujukan untuk kepentingan kerajaan dan kebaikan negara, malahan pendidikan yang
menuju ke arah kesucian (Mohamad Hj Shafie,1980:3-4).
Ridzuan Kamis dalam sajaknya “Ipoh” halaman 76 ada menyebutkan dua buah sekolah agama yang
terbaik di Ipoh ini yang telah melahirkan ramai tokoh-tokoh agama dan pemimpin Negara seperti
berikut:
Ladang bercambah benih pendidikan
Izuddin, Anderson School, ACS, Taayah
Begitulah peranan bandar raya Ipoh sebagai pusat pendidikan yang terkenal di seluruh negara.
Pendidikan di Ipoh bukan sahaja di peringkat sekolah rendah dan menengah malah hingga ke
peringkat IPTA dan IPTS.
Pusat Pelancongan
Mohamad Zaki Ahmad dan Johan Afendi Ibrahim (2009:101) berpendapat bahawa “ pelancongan
mempunyai kuasa meningkatkan kualiti alam sekitar, memelihara sejarah dan budaya, menyediakan
dana untuk pemeliharaan dan melindungi tarikan semulajadi”.
Pelancongan merupakan salah satu kegiatan ekonomi dan sosial yang semakin penting. Jumlah
pelancong dalam negeri dan antarabangsa semakin meningkat malah beberapa buah Negara di dunia
ini kini memajukan sector pelancongan sebagai sector utama yang menjana pendapatan Negara
(Yazid Salleh,2010:129).
Pelbagai kemudahan disediakan bagi menarik pelancong untuk mengunjungi bandar raya Ipoh yang
memang terkenal sebagai tempat pelancongan. Banyak tempat-tempat sejarah dan lokasi yang
menarik terdapat di Ipoh seperti Stesen Kereta Api Ipoh atau Taj Mahal Ipoh, Menara Jam Peringatan
Birch, Pekan Lama Ipoh,Muzium Perak, Muzium Geologi,Mercutanda Bangunan, Bandar raya
Bounguevila,Perak Tong ,Gua Tempurung, Gerbang Malam dan lain-lain lagi. Semua tempat-tempat
bersejarah ini banyak dipaparkan dalam antologi ini.
Banyak sajak-sajak dalam antologi ini telah memperkatakan tentang tempat-tempat sejarah dan
pelancongan yang terdapat di Ipoh. Antaranya Siti Zainon Ahmad dalam sajaknya “Stesen Kereta Api”,
halaman 93 :
seni bina Turki pilihan hati
bagaikan Taj Mahal Ipoh
gelaran diberi
sesuai menjadi tupuan lensa kamera
Dijelaskannya lagi tentang adanya Menara jam Peringatan Birch di tengah-tengah Bandar raya Ipoh
yang berhampiran Masjid Negeri dalam sajak di halaman 94 dan SMahadzir dalam sajaknya “Jam
Peringatan Birch Melepa Sejarah”, halaman 97:
Jam Peringatan Birch melepa sejarah
Residen British pertama mati dibunuh
2 November 1875 tarikh berdarah lenyap seorang penjajah
Khilaf Raja Muda Abullah lantaran perjanjian menyanggah
Zabidin Hj Ismail dalam sajak “Ipoh” halaman 118 juga turut menyatakan tempat pelancongan di
Ipoh.seperti berikut:
Sate endut,rojak sotong, gua tambun
Sam poh tong adalah milikmu
Sejajar pesatnya industri pelancongan di Ipoh, maka banyaklah tempat-tempat penginapan muncul di
sekitar Ipoh satu ketika dulu. Tidak ketinggalan juga wujudnya hotel-hotel ketika itu dan terus
berkembang sehingga kini. Rizi S.S dalam sajaknya “Ipoh” halaman 75 menyebut:
Tak jauh perhentian bas
Sambil lalu di kaki lima terlihat Paris Hotel
Menurut Kamarudin Md Nor (1991:4) “Ada yang mengatakan seni bina itu semua bangunan; ada juga
yang mengatakan seni bina itu sebagai satu ciri ajaib yang berupaya meningkatkan nilai bangunan
daripada biasa kepada yang teristimewa: atau sebagainya”. Kata Kamarudin lagi(1991:8) “Seni bina
berlaku apabila anda seorang yang mempunyai daya cipta dan berpengetahuan menghayati bangunan
yang direkabentuk dengan penuh inovasi dan kebijaksanaan”.
Hal di atas ada relevannya pernyataan Kamarudin Md Nor itu bahawa seni bina masjid juga telah
dijadikan daya tarikan pelancong untuk melawat Ipoh sejak dari dulu hingga kini. Dalam usaha
mempromosikan masjid sebagai aset pelancongan adalah salah satu langkah kerajaan yang bijak. Seni
bina dan rupa bentuk masjid yang unik memang dikagumi pelancong. Masjid-masjid yang sentiasa
dikunjungi pelancong seperti Masjid India Muslim Ipoh, Masjid Dato’ Panglima Kinta,Masjid Negeri
dan Masjid Muhammadiah(Masjid Cina) di Tasek , Ipoh.
Sajak-sajak yang telah menfokuskan kehebatan masjid di Ipoh ini dapat dibuktikan oleh SMahadzir
dalam sajaknya “Harum Masjid Dato’ Panglima Kinta” halaman 98 seperti berikut:
Megah tersenyum sejak 1898 Masihi gagah
menongkah zaman
Sebalik diammu Masjid Dato’ Panglima Kinta
Dua menara anjung dan kubah batu kukuh di timur
Kudengar riuh gemuruh jutaan zikrullah
Begitu jugalah dengan kemasyhuran sebuah lagi masjid di Ipoh yang merupakan masjid pertama dan
tertua yang telah dibina dalam tahun 1908 di Jalan Ceylon kini oleh Sheikh Adam,seorang India Muslim
untuk mengembangkan syiar Islam di Ipoh.Hal ini telah dijelaskan oleh Wacana Minda dalam sajaknya
“Masjid India Muslim Ipoh”, halaman 106-107. Masjid ini telah jadi tarikan pelancong ke Ipoh:
Masjid pertama
masjid tertua
azan bergema
Akhir-akhir ini, masjid Muhamadiah atau masjid Cina telah dijadikan tarikan pelancong ke Ipoh. Masjid
ini berkonsepkan seni bina tradisional budaya Cina berprinsipkan simetri,tiang besar rona merah yang
berasal Madrasah Muhammadiah,di Taman Tasek Jaya,Ipoh. Jimisa LY dalam sajaknya “ Masjid
Muhammadiah Melakar Sejarah “halaman 40 menyebut:
Tanggal 8 Oktober 2009
mendapat perkenan Raja Muda Perak
Raja Nazrin Shah dirasmikan sudah
kini menjadi sebuah ikonografi
tarikan pelancong ke Perak.
Pusat Sukan
Menurut Mohd Salleh Aman (2006:214) Sukan berasal aripada bahasa Latin, desporto bermaksud to
carry away(melari-indahkan).
Loy (1968) memberi definisi Sukan seperti berikut:
“ Sport necessarily involves physical exertion, having an imperative formal
hierarchical arrangement of roles and positions and a formal history and
recognised records and traditions, as well as involving preparation for
participation in the activity”.
Wan Sabri Wan Hussin(dalam Mohd Salleh Aman, 2006:23) mengatakan bahawa:
“Sebenarnya sukan mampu menjana kewangan untuk aktiviti-aktiviti yang
dijalankan,malah mampu menghasilkan lebihan dalam meningkatkan
aset milik badan-badan sukan dan secara langsung boleh menaikkan
pendapatan negara dan meningkatkan pelaburan. Ini bermakna sukan
boleh menjadi satu industri yang akan menggerakkan ekonomi negara.”
Kerajaan tidak akan meninggalkan bidang sukan di Ipoh ini kerana dengan cara bersukan juga selain
menyihatkan tubuh badan, sukan juga dapat mengeratkan perpaduan kaum serta lebih daripada itu.
Oleh itu wujudlah Kompleks Sukan di Ipoh yang menjadikan Ipoh juga pusat sukan seperti wujudnya
Stadium Perak, Stadium Hoki, Stadium Indera Mulia, Veladrom Lumba Basikal, dan kemudahan lain.
Ipoh memang terkenal menganjurkan kejohanan hoki diperingkat antarabangsa iaitu Kejohanan Piala
Sultan Azlan Shah yang disertai oleh negara-negara seluruh dunia.
Perkara ini telah dibuktikan oleh Moh Rosli Saludin dalam sajaknya “Ziarah Ipoh” halaman 53 Rangkap
tiga berbunyi:
Ipoh terkenal aktif
Menganjur hoki antarabangsa an negeri
Kerana rajanya minat sukan itu
Rizi S.S turut menjelaskan bahawa Ipoh memang pusat sukan yang terkenal di negeri Perak dalam
sajaknya “Ipoh” halaman 76 seperti berikut:
Kampung Simee itulah Pusat Sukan
Ditambah Stadium Perak,Stadium Inera Mulia
Stadium Azlan Shah jua Kompleks Sukan Renang.
Pusat Rekreasi dan Riadah
Istilah rekreasi berasal daripada kata Latin recreatio yang bermaksud restoration/ recovery. Menurut
Kelly (1982) :
Recreation is restorative, providing refreshment or re-creation, not only
for work but also for other social(familial,political,etc.) activities. Recreation
contains the concepts of restoration of wholesness of mind,spirit and body.”
Mohd Salleh Aman(2004) ringkasnya, rekreasi merupakan aktiviti masa lapang yang membina,
merehatkan fikiran dan mencergaskan tubuh badan. Beliau(2006:209) terus memperkatakan “kini
trend rekreasi terlalu pelbagai. Cara hidup masyarakat era ini begitu rencam-dilanda globalisasi-
menyebabkan aktiviti rekreasi menjadi bermacam-macam”.
Dalam antologi Puisi “Ipoh Bandar Raya Gunung” Selenggaraan Zabidin Hj Ismail(2016) terdapat sajak-
sajak di dalamnya memperkatakan tentang pusat-pusat rekreasi yang banyak di sekitar Ipoh seperti
Gunung Lang, Tasik Cermin, Taman Rekreasi Sultan Abul Aziz(Padang Polo), Rekreasi d’ Saiyong Meru,
Rekreasi Sungai Chepor Chemor, Rekreasi Lubuk Timah Simpang Pulai dan lain-lain lagi. Antaranya
, Shasha Sakierah cerita tentang “Tasik Cermin” halaman 90, manakala Rufaifa Abdullah,dalam
sajaknya “Lang Ipoh Nadi Laman Sanubari” halaman 80 serta tidak ketinggalan Siti Zaiton Ahmad
dalam sajaknya “Taman Rekreasi Gunung Lang” halaman 93 menjelaskan:
sesiapa yang singgah
tasik bekas lombong tidak terusik
dipelihara menjadi destinasi pelancongan
terletak di jalan Kuala Kangsar
Nampaknya Rosimah Buyong juga tidak mahu menafikan juga bahawa banyak tempat-tempat rekreasi
yang wujud di bandar raya Ipoh ini. Dalam sajaknya “Ipoh Bandar Raya Gunung” halaman 79, beliau
membariskan nama tempat rekreasi di Ipoh :
Tasik Cermin, Gunung Rapat,Taman Rekreasi
Gunung Lang
Taman Tema Air Tambun, Taman Dr. Senivasagam
Menikmati keindahan malam di Tepian Sungai Kinta
Taman Jepun,menikmati juadah perkarangan
Stesen Kereta Api.
Pusat Jalinan Hubungan Luar
Bandar raya Ipoh juga telah mengorak langkah untuk menjalinkan hubungan persahabatan dengan
luar Negara. Pertukaran pelajar, projek anak angkat pendidikan telah lama dijalinkan. SMK Gunung
Rapat telah menjalinkan hubungan dengan sekolah di Fukuoka,Jepun. Pelajar-pelajar Jepun telah
ditempatkan di sekolah ini untuk sama-sama belajar di sini. Pengiktirafan sebegini menjadikan Ipoh
terkehadapan dalam hubungan pendidikan. Rizi S.S sangat peka alam hal ini melalui sajaknya “Ipoh”
halaman 76-77 seperti berikut:
Menjuarai negeri lain
majumu berkembar dengan bandar luar
Fukuoka, Jepun jua Guangzhou,China.
Pusat Kesenian , Persatuan Penulis dan Penggambaran Filem
Ipoh juga dikatakan mempunyai banyak tempat-tempat menarik untuk penggambaran filem.
Banyaknya penggambaran-penggambaran filem dan drama telah dibuat di sini seperti di hadapan
bangunan Kereta api Ipoh, di gua tempurung dan sebagainya Ipoh juga merupakan tempat
pertemuan-pertemuan penulis dari seluruh tanah air khususnya penulis Perak. Rizi S.S menyaksikan
hal ini seperti dalam sajaknya “Ipoh” halaman 76-77:
Kaulah lokasi memukau menarik penggambaran filem
Di sini lahirnya Yayasan Kesenian Perak
Ipoh! Kau amat membekas di jiwa
Sering aku ke sini
Dalam bertugas untuk Alumni SISTA jua Karyawan Pk.
Kesimpulannya
Bandar raya Ipoh bukan sahaja sebagai ibu negeri Perak, malah Ipoh merupakan pusat
pentadbiran,pendidikan dan ilmu, perniagaan, kesukanan,rekreasi, pelancongan, diplomatik, budaya
dan kesenian. Kemajuan serta pembangunan yang dikecapi oleh Ipoh sangat pesat sekali. Usaha terus
dijalankan untuk menjadikan Ipoh terus digamit oleh pelancong tempatan dan dari luar negara.
Banyak tempat-tempat warisan budaya telah dibaikpulih dan diperindahkan dengan sebaik mungkin
oleh kerajaan. Harapannya ,Ipoh akan terus dihormati oleh negara-negara dalam dan luar negara.
Bibliografi
Abdul Samad Hadi dan Rakan-rakan. (2006). Mencari Kebestarian Bandar Kecil. Bangi: Universiti
Kebangsaan Malaysia.
Friedman,J. dan Wulff,R. (1976). The Urbanisation Transition Compararative Study of Newly
Industrializing Societes. London: Edward Arnold.
Kamal Saleh . (1979). Urban Development in Malaysia. Dalam Kertas Kerja UNCRD.
Kamarudin Md Nor.(1991). Anda dan Seni bina-Bagaimana Menghayati dan Menikmati Bangunan.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kelly,J.R.(1982) Leisure. New York: Prentice-Hall,Inc.
Loy, J.W. (1968). The Nature of Sport:A definitional Effort.(Monograph x) Quest,1-5.
Mohamad Zaki dan Johan Afendi Ibrahim.(2009). Isu-Isu Alam Sekitar Manusia di Malaysia. Tanjung
Malim: Penerbit UPSI.
Mohd Hj Shafie.(1980). Pendidikan dan Pentadbiran Sekolah Rendah dlm Kumpulan Kertas Kerja
KONPEN 111. Kuala Lumpur: Sarjana Enterprise.
Mok Soon Sang. (2002). Pendidikan di Malaysia Edisi 8. Subang Jaya:Kumpulan Budiman Sdn.Bhd.
Mohd Salleh Aman (2004). Sukan dalam Masyarakat Malaysia. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti
Malaya.
Mohd Salleh Aman (2006). Pengurusan Sukan,Aplikasinya di Malaysia. Kuala lumpur: Penerbit UM
Syed Nasir Saleh al-Habsi. (1993). Bandar Sekunder di Negara Membangun-Ke arah Dasar
Pembangunan Tersebar. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Talib Samat dan Zabidin Hj Ismail. (2016). Sejarah Pembukaan Bandar Raya Ipoh. Tanjung
Malim: Penerbit Mentari.
Yahya Don.(2007). Kepimpinan Pendidikan di Malaysia. Pahang: PTS Sdn.Bhd.
Yahya Ibrahim.(1995). Pembandaran dan Kejiranan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Yazid Salleh.(2010). Isu-Isu Alam Sekitar Manusia di Malaysia. Tanjung Malim: UPSI.
Zabidin Hj Ismail .(2016). Antologi Puisi Ipoh Bandar Raya Gunung. Perak: Persatuan Karyawan Perak.
Zaidatol Akmaliah Lope Pihie dan Foo Say Fool. (2003). Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan.
Serdang: Penerbit Universiti Pertanian(Putra) Malaysia.