“…Tidaklah kekayaan itu dengan banyaknya harta, tetapi dengan kekayaan jiwa…”

– Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Penulis dan rezeki penulisan adalah sesuatu yang subjektif. Ada penulis yang memiliki nama besar, tetapi karyanya tidak laku. Ada penulis yang langsung tidak ada nama. Namun karyanya begitu laku di pasaran. Ada penulis yang begitu tekun mempromosi karyanya, tetapi pembeli langsung tidak berminat.

Pelbagai usaha sudah dilakukan. Namun tidak juga berhasil. Ada penulis yang hanya berdiam tidak berbuat apa-apa, namun karyanya sentiasa dicari.

Itulah yang dinamakan rezeki.

Saya terlupa di mana saya baca, penulis-penulis yang serius tidak lagi dapat mencari makan kerana akhbar dan majalah lebih memilih mereka yang ada nama (artis, ustaz segera, dan lain-lain) sebagai penulis undangan atau kolumnis.

Sebenarnya itu rezeki masing-masing.

Ada penulis yang seringkali menang hadiah, ada ahli akademik yang sering diundang membentangkan kertas kerja, ada karyawan yang karyanya terpilih sebagai teks untuk pelajar, ada pensyarah Universiti yang sering diundang sebagai hakim sayembara atau diupah sebagai penilai dan sebagainya. Itulah yang dikatakan rezeki.

Tidak perlulah kita memandang serong, cemburu, dengki, iri hati dan sebagainya. Kerana perasaan-perasaan ini adalah tanda penyakit hati.

Sebagai penulis yang beragama Islam, kita perlu menerimanya dengan terbuka. Perlu menganggap itu sebagai rezeki. Banyakkan amalan yang boleh membuka pintu rezeki. Berbuat baik, tidak tinggal solat, menjauhi maksiat, menolong orang yang susah, mengamalkan solat Dhuha, banyakkan bersedekah dan sebagainya.

Namun ada juga yang kita dengar, “Ah, ada penulis itu, mulutnya celupar, langsung tidak mengamalkan ciri-ciri Islam, merendah-rendahkan orang lain, hati busuk, dan sebagainya, tapi bukunya laku.”

Tunggu kawan.

Inilah yang dipanggil sebagai Istidraj. Istidraj bermaksud pemberian rezeki atau nikmat daripada Allah kepada seseorang tanpa keredhaan Allah. Pemberian nikmat dalam konteks ini akan menjauhkan seseorang itu daripada-Nya. Situasi ini sering berlaku kepada golongan hartawan yang semakin kaya walaupun tidak bersolat, berpuasa, tidak menunaikan zakat dan sebagainya. Allah sentiasa memberi rezeki kepada sesiapa yang diinginkannya.

Sebagai penulis, akhirnya kita perlu kembali kepada konsep kekayaan yang sebenar. Iaitu kekayaan jiwa sebagaimana riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Buat apa buku kita laris di pasaran, kita semakin kaya, peminat semakin ramai, namun jiwa kita semakin kosong.

Menulislah dari hati. Dan sentiasa percaya bahawa banyak lagi lorongan rezeki daripada-Nya. Mungkin rezeki dalam bentuk kesihatan, akal fikiran, ilmu yang bertambah, anak yang soleh, keluarga yang berkat dan sebagainya.

Sekadar ini dahulu perutusan tahun baru dari saya. Sekian, selamat terus menulis!

Share via
Copy link
Powered by Social Snap