oleh Nimoiz T.Y

Sejak akhir-akhir ini beberapa tulisan saya di Facebook dicuri. Dia cuma “copy” dan “paste” di wall dia, dan mengaku seolah-olah tulisan sendiri.

Senang hidup. Copy paste tulisan orang dua tiga, selepas itu sambung dengan iklan produk. Nampak macam sering mengemaskini Facebook. Tapi bantai hak orang lain.

Betul. Orang tidak beli tulisan saya yang di copy paste itu. Tapi beli produk yang dia jual. Supaya tidak nampak sangat menjual. Kalau terus-terusan iklan, nanti pelanggan lari.

Saya tulis susah payah. Dia ambil senang-senang. Tanpa langsung diberikan kredit. Apa yang berlaku ini dipanggil sebagai “ciplak”. Benda ini salah dan melanggar etika.

Masalah akan berlaku apabila contohnya saya mahu membukukan tulisan saya nanti. Nanti orang kata saya pula yang ciplak. Haih, susah.

Hendak berkongsi tidak salah. Tapi sebaik-baiknya tekanlah butang “share”. Hendak “copy paste” pun boleh. Contohnya nak masukkan dalam Whatapps keluarga. Tapi tulislah nama saya di bawah sebagai kredit. Tidaklah nanti saya pula dipersalahkan. Sebab ciplak. Ciplak tulisan sendiri? Kah kah kah. Aku juga yang kena.

Yang kedua ialah istilah cuplik. Cuplik pula mengambil sebahagian ayat, frasa, atau perenggan dan dimasukkan dalam tulisan sendiri. Tanpa langsung tidak diberikan kredit.

Cuplik tidak salah. Asalkan diberikan kredit. Contoh dalam penulisan ilmiah, ada istilah “quote”. Contoh, menurut Sittikh (2017), ciplak bermaksud bla bla bla. Ha, begitu. Jangan main bantai. Ambil sana ambil sini. Mengaku buat sendiri.

Ingat, cuplik tetap salah walau 1 ayat.

Yang ketiga, pengedaran tanpa kebenaran. Baru-baru ini Malaysia dikejutkan dengan pengedaran novel dalan aplikasi BeeTalk. Ada penulis yang menyatakan novelnya diciplak. Sebenarnya bukan ciplak. Tapi pengedaran secara tidak sah. Ini kerana, novel itu masih novel dia. Ada nama. Cuma pengedaran tanpa izin. Secara tidak sah.

Amboi. Orang lain susah payah tulis. Orang lain kalau hendak baca beli buku. Dia senang-senang siarkan di BeeTalk.

Hoi! Jahat.

Pengedaran secara tidak sah tanpa kebenaran juga berlaku di laman web atau portal. Laman web atau portal ambil tulisan kita 100%. Nama masih kekal. Cuma tidak minta izin kita. Pun salah. Amboi, sumber utama laman itu ialah penjualan iklan. Untuk kekal dikenali dan dikunjungi, perlu sentiasa menyiarkan tulisan yang bagus dan segar. Senanglah ambil tulisan orang suka-hati. Duit iklan masih masuk poket.

Senang hidup. Orang lain perah otak. Kita senang-senang dapat.

Jaga etika dan hak moral penulis. Belajar menghormati hak orang lain. Semoga terus maju. Salam hormat.