oleh Nimoiz T.Y

Sepatutnya begini.

“Penulis lama dihormati. Penulis muda disayangi.”

Tunggu, jangan guna istilah penulis tua. Gunalah istilah yang lebih hormat. Penulis lama. Atau penulis mapan. Atau penulis senior.

Kita perlu ingat. Tidak ada lama tidak ada baru. Terima kasih penulis terdahulu yang telah menyediakan jalan. Yang telah melorongkan jalan kepada penulis remaja dan muda kini.

Sekali lagi, adakah “Penulis lama dihormati. Penulis muda disayangi” berlaku dalam konteks semasa.

Betul. Perkara itu tidak terjadi. Penulis lama dengan hal masing-masing. Penulis baru atau muda dengan hal masing-masing. Masing-masing sedang mempersiap diri masing-masing. Sekarang adalah zaman yang penuh dengan cabaran. Sekarang zaman yang penuh dengan persaingan.

Bukan sekadar dalam penulisan kreatif, malah dalam penulisan deskriptif. Ada lompang hubungan yang tidak aman di sini. Seakan-akan ada jurang yang maha dalam.

Kenapa ini berlaku?

Saya pecahkan kepada kelompok zaman sebagai analogi mudah.

Penulis era tahun 2010, penulis era 2000, penulis era 1990 dan penulis era 1980.

Begini.

Penulis era 1990 an, apabila menulis esei, atau menyentuh karya, atau membuat ulasan, hanya menyentuh karya penulis sebelumnya. Atau dengan kata lain, penulis era 1980. Mereka hanya menyebut karya-karya zaman mereka dan zaman sebelumnya.

1990 ===>>> Hanya menyentuh 1980

Penulis era 2000 pula, apabila membuat ulasan, atau menyebut nama penulis, sering menyebut penulis era semasa, era sebelum dan era selepasnya.

Menyentuh 2010 <<<===2000 ===>>> Menyentuh 1990

Manakala penulis era 2010, hanya menyebut penulis zamannya, dan penulis selepas itu.

2010 ===>>> Menyentuh selepasnya

Nampak tak perbezaan di sini?

Secara mudahnya begini. Untuk kekal diingati, kita perlu ingat orang atas dan orang bawah.

Penulis yang hanya memandang orang yang sama era, atau hanya era selepas, atau hanya era sebelumnya, pasti akan dilupakan.

Bagaimana orang hendak ingat kepada kita kalau kita tidak ingat kepada orang? Bagaimana orang hendak hormat kepada kita kalau orang tidak hormat kepada orang?

Jangan bina kelompok penulisan sendiri. Aku – aku, dan kamu – kamu.

Sekarang kita berada hampir dengan 2020. Lebih tepat masih berada pada tahun 2017. Kalau kita baru menulis sekitar tahun 2015, hormatilah penulis yang sebelum itu. Dan sayangi penulis yang baru belajar bertatih. Bina hubungan. Bina jaringan.

Usah runtuhkan titi atau jambatan perhubungan.

Kita perlu ingat, tanpa orang dahulu, siapalah kita.

Sekali lagi,

“Penulis lama dihormati. Penulis muda disayangi.”