oleh Nimoiz T.Y

Kalau kita telurusi kejayaan komposer lagu terdahulu seperti Saari Amri, Pak Ngah, Ahmad Nawab, Adnan Abu Hassan, LY, Fauzi Marzuki, Aidit Alfian, Audi Mok, dan beberapa nama lagi, antara sebab mereka konsisten menghasilkan lagu yang menyengat ialah kerana fokus kepada satu bidang.

Menggubah lagu.

Tugas menulis lirik akan diambil oleh nama-nama seperti Mama Juwie, Habsah Hassan, Bob Lokman, Amran Omar, Loloq, Lukman S, Baiduri, Hairul Anuar Harun, JS Kevin dan ramai lagi.

Tidak dinafikan, ada juga komposer yang berbakat kedua-kedua bidang. Misalnya JS Kevin yang boleh menulis lirik dan mencipta lagu. M. Nasir pun berkebolehan menggubah lagu, menulis lirik dan menyanyi sekali gus.

Tapi tidak ramailah orang macam M. Nasir.

Dengan kata lain, komposer orang lain, penulis lirik orang lain dan penyanyi orang lain.

Mereka tidak borong semua. Ada tugas-tugas tertentu diserahkan kepada pakar.

Namun, penyanyi zaman kini nak buat sendiri semua. Nak buat lirik dia, nak gubah lagu dia, nak menyanyi dia.

Sebab itu kadang kita dengar lagu irama seakan macam sama. Suara sudah tentu sama. Yang beza cuma lirik. Tidak ada variasi.

Bukan sekadar itu, mereka kalau ada peluang berlakon, mengacara atau apa sahaja, semua hendak sapu.

Ya, ada sesetengah kerja, kita perlu serahkan kepada mereka yang pakar.

Begitu juga dengan penulis.

Penulis zaman sekarang pun macam itu juga. Semua dia hendak buat sendiri. Menulis sendiri, suntingan sendiri, kulit sendiri, model kulit muka sendiri, susun atur sendiri, jual sendiri, pos sendiri dan semuanya sendiri. Pendek kata, semua hendak buat sendiri.

Sebab itu kadang-kadang kualiti pun tarafnya syok sendiri. Tapi ada juga yang berjaya. Tidak dinafikan, ada yang buat sendiri sebab mahu jimat. Nak bayar editor berapa. Nak upah pereka berapa. Tapi, janganlah sampai mengkesampingkan nilai-nilai tertentu sebab mahu jimat sangat.

Nak jimat tak mahu upah editor, akhirnya buku penuh dengan kesalahan tatabahasa dan ejaan. Kalau hendak jimat sangat, edit sendiri berulang-ulang kali. Kemudian upahlah kawan untuk buat bacaan pruf sahaja. Bayaran pruf tidaklah semahal bayaran suntingan. Ini, pruf pun buat sendiri. Sebab itu masih banyak salah.

Saya tidak mahu sentuh bab rekabentuk. Nanti orang cakap iklan supaya upah saya buat rekabentuk.

Bukan begitu.

Cuma hendak cakap, ada sesetengah benda, kita perlu serahkan kepada mereka yang arif.

Namun, ada juga yang lepas tangan. Bila kita cakap begini, mereka pun akan cakap kalau begitu tugas pemasaran atau jualan atau promosi sepatutnya dipikul oleh penerbitlah. Bukan penulis.

Ya, pada dasarnya itu tanggungjawab penerbit. Pihak penerbit ada unit promosi dan pemasaran. Namun cuba bayangkan. Penerbit ada ramai penulis yang hendak jaga. Buku pula berpuluh-puluh malah beratus. Sudah tentu ada yang tidak sempat promosi. Malah, ada penerbit yang akan membuat promosi penulis tertentu sahaja.

Sudah pasti, buku yang kurang promosi akan rendah jualannya.

Di sini, penulis perlu mainkan peranan. Bukan sekadar menulis sahaja. Malah, penulis juga perlu memberi idea tentang konsep kulit dan susun atur. Kalau perlu bantah, bantahlah. Misalnya kalau penerbit nak buat kulit buku gambar wanita seksi.

Seterusnya tentang genre. Ada penulis yang semua nak tulis. Novel, cerpen, puisi, pantun, drama. Ya, bagus kalau ada bakat kesemua genre.

Tidak salah mencuba semua genre. Akhirnya, kita perlu fokus kepada genre yang paling kita kuat. Misalnya, setelah sekian lama menulis, akhirnya kekuatan kita adalah dalam bidang novel. Fokuslah menulis novel. Kalau semua genre hendak sapu, akhirnya yang ini tak siap. Yang itu tak siap.

Kita boleh menulis. Tapi tak semua benda perlu kita tulis.