Jangan Tersalah Memilih Tajuk

oleh Nimoiz T.Y
Bayangkan di sebuah stesen bas. Kita melihat seorang gadis berpurdah sedang memegang buku dengan tajuk ini:
“Taubat Seorang Pelacur.”
Atau di sebuah kedai makan. Seorang lelaki dewasa memegang buku dengan tajuk ini:
“Bagaimana Menjaga Isteri yang Liar.”
Atau di sebuah padang permainan, seorang remaja sedang membaca buku dengan tajuk ini:
“Bagaimana Saya Berhenti Hisap Dadah!”
Apa pandangan kita? Apa pandangan orang-ramai?
Benar. Tajuk atau judul merupakan elemen paling penting pada sesebuah buku.
Seseorang pembaca mengambil beberapa detik untuk mengambil sesebuah buku di rak, membelek, dan membuat keputusan untuk membeli atau tidak.
Memang betul. Bergantung kepada judul.
Judul-judul contoh yang saya nyatakan di atas bukan tidak bagus. Isinya mungkin bagus. Tapi mungkin akan menyebabkan pembaca berasa “malu” atau segan untuk membelinya.
Justeru, penulis perlu bijak memilih tajuk yang sesuai. Yang trending. Yang boleh menjual. Yang membuat calon pembeli berkata, “wow”.
Paling penting, sebagai penulis, judul yang tidak akan membuatkan kawan-kawan penulis mengejek.
Tahun 2007 saya membuat keputusan paling salah dalam hidup apabila menerbitkan buku “Menjadi Penulis Jutawan”.
Asalnya buku itu tajuk lain. Tetapi, beberapa penerbit menolaknya. Jadi saya membuat keputusan untuk menghantarnya kepada True Wealth Publishing. Judul-judul buku True Wealth semuanya ada perkataan Jutawan. Misalnya buku oleh Irfan Khairi, Rahsia Jutawan-jutawan Internet Terbongkar. Malah, buku-buku Azizi Ali sendiri semua mesti ada judul jutawan. Misalnya, Jutawan dari Planet Jupiter, Tuan Rumah Jutawan, Pesara Jutawan dan lain-lain. Jadi saya mesti ikut rentak.
Kesanya, sampai sekarang saya masih lagi menjadi bahan ejekan.
Tidak apa. Sabar sahajalah.
Kedua, saya pernah menerbitkan buku sajak jenaka. Saya namakannya sebagai “Tukang Auta.”
Buku ini tidak banyak saya cetak. Dan saya menjualnya sendiri. Jadi saya tahu siapa yang beli siapa yang tidak. Sebab saya ada simpan keratan pos laju.
Kesannya, sampai sekarang orang mengejek saya dengan gelaran, “Pak Nik Tukang Auta”. Padahal Tukang Auta merupakan sebuah sajak jenaka dengan kritikan yang sangat tajam.
Orang yang tidak beli pun tetap mengejek.
Tidak mengapalah. Sabar sahaja.
Baik. Berbalik dengan judul buku topik mauduk perbincangan kita di awal. Tajuk memainkan peranan yang penting. Semasa mengirimkan manuskrip, pastikan kita menyertakan sekurang-kurangnya tiga judul tambahan sebagai “back up.”
Editor berpengelaman mungkin akan cuba memilih tajuk buku yang sesuai. Sesuai dengan kehendak pasaran.
Alangkah ruginya, sebuah buku dengan konten yang baik, tetapi gagal menarik minat pembeli kerana tajuknya kurang “ummpphh”.