Mengambil semangat gunung

oleh Nimoiz T.Y

Setiap hari, perjalanan pergi dan balik kerja saya akan melalui pemandangan gunung-ganang seperti ini. Waktu pagi sangat cantik. Gunung-ganang yang diselaputi kabus pagi.

Rasa tenang dan syahdu. Rasa senang dan rindu.

Ketika rasa lemah, saya selalu mengambil semangat gunung ini. Gunung ini keras dan kuat. Malah, kekuatannya kekal dari dulu hingga sekarang. Barangkali, sesekali kita perlu mengambil semangat alam sekitar di sekeliling. Ambil dan resapkan ke dalam jiwa. Supaya kita menjadi manusia yang tidak pernah gentar dan mudah tewas.

Kita manusia biasa. Ada ketika, ketika menjadi manusia yang paling kuat. Ada ketika, kita menjadi manusia yang paling lemah.

Itu normal.

Tapi apa yang membezakan kita dengan orang yang berjaya? Jawapannya mudah. Orang yang berjaya, tidak sesekali membiarkan kelemahan menguasasi diri. Sebaliknya, akan sentiasa berusaha untuk keluar dari segala sikap dan sifat yang melemahkan.

Kita semua sama sahaja kawan. Kita semua mampu menjadi manusia yang paling kuat persis gunung. Cuma antara dua perkataan. Mahu, atau tidak.

Kata orang Putih, “You never know how strong you are. Until being strong is the only choice you have.”

Kita semua dalam kembara perjalanan yang panjang. Malah, hujung perjalanan bukan lagi sesayup mata memandang. Tapi, kita tidak akan pernah nampak di hujung kembara kita itu. Perjalanan ini bukan seperti larian 100 meter. Yang mana, kita sudah tahu hujung atau matlamat akhir 100 meter kita.

Bukan begitu.

Dalam hidup, matlamat akhir bukan tidak penting. Penting juga. Namun apa yang lebih penting, apa yang kita buat sepanjang perjalanan itu. Saya lupa skrip rancangan dokumentari apa. Tapi ayatnya lebih kurang berbunyi begini.

Dalam kembara, ke mana kita pergi tidak penting. Yang penting, apa yang kita buat sepanjang pengembaraan itu. Apa pengalaman yang kita rasa dan lalui.

Itu lebih penting.

Semua orang boleh kata, aku sudah sampai Korea, Sepanyol, Jepun, Indonesia, England, Australia dan lain-lain. Tapi, yang lebih penting sudah pasti apa yang kita buat dan peroleh sepanjang kembara itu.

Ya, sama ada kita berjaya menyaring sari pati hikmah sepanjang perjalanan. Untuk kita menjadi manusia yang lebih kuat. Atau sekadar pergi, bergambar, dan balik. Tanpa ada apa-apa yang boleh kita petik dan ambil sebagai bekalan ramuan perjalanan lain yang bakal kita tempuhi.

Hidup ini memang sukar sahabat. Sekali lagi, kata orang Putih, “when life changes to be harder, change yourself to be stronger.”

Ah, pedulikan orang yang dengki dan cemburu. Kita tidak mampu untuk puaskan hati semua orang. Kalau kita tidak mencari masalah dengan orang, orang yang mencari masalah dengan kita.

Apa boleh buat?

Jangan pernah berasa lemah. Bangkit, dan kekal teguh berdiri sekuat gunung.

Dan kita mampu hidup lebih 1000 tahun.

Share via
Copy link
Powered by Social Snap