oleh Nimoiz T.Y

Kata Saidina Ali, “masa itu umpama pedang. Jika kamu tidak ‘memenggalnya’, nescaya ia akan ‘memenggal’ lehermu.”

Benar, masa itu sangat tajam. Kita sebagai manusia perlu menggunakan masa dengan sebaik mungkin. Jangan sampai ia berlalu begitu sahaja. Tanpa ada apa-apa.

Kosong.

Kosong.

Kosong.

Yang teruknya, esok pun begitu juga.

Sahabat,

Sehari berapa jam kita habiskan masa dengan perkara yang sia-sia?

Sehari berapa jam kita bazirkan masa dengan perkara yang sia-sia?

Sehari berapa jam kita buang masa dengan perkara yang sia-sia?

Kita disibukkan oleh waktu lepas. Tanpa terlupa dengan waktu sekarang. Malah terleka untuk mempersiap diri untuk waktu esok. Kita disibukkan waktu untuk kepentingan diri. Tanpa terlupa orang lain pun memerlukan sedikit waktu dari kita.

Ingat lagi pesan Hassan Al-Banna?

“Kewajipan kita adalah lebih banyak daripada waktu yang kita ada, oleh itu bantulah saudaramu tentang cara-cara bagaimana hendak menggunakan masa dengan berfaedah dan jika saudara mempunyai tugas sendiri, maka ringkaskanlah pelaksanaannya.”

Memang betullah.

Ada orang tidak cukup masa. Ada orang cukup-cukup masa. Ada orang langsung tidak cukup masa.

Kenapa, hanya beberapa tempat sahaja kita begitu menghargai masa. Pertama, saat lampu isyarat bertukar hijau. Kita cepat-cepat memecut. Atau mungkin kita berkejar-kejar ke pejabat jam 7.49. Sedikit lagi hendak merah. Oleh sebab mengejar waktu itu, kita melanggar lampu merah. Atau yang paling selalu, tatkala menunggu azan Maghrib di bulan Ramadan. Itulah antara detik-detik betapa kita menghargai waktu walau satu saat pun.

Kita semua sama sahaja sahabat.

Setiap orang dianugerahkan 24 jam sehari. Dalam 24 jam itu, pandai-pandailah bahagi masa sendiri. Berapa jam untuk tidur. Berapa jam untuk bekerja. Berapa jam untuk bersama keluarga. Berapa jam untuk melihat drama TV jam 7.00 malam. Berapa jam untuk makan. Dan berapa jam untuk solat.

Beza orang yang berjaya dengan orang yang gagal ialah, tentang pengurusan masa. Tentang bagaimana penggunaan masa.

Orang bisnes minum kopi di hotel 17 bintang sambil bertemu klien, pada kita mungkin membazir masa. Pada dia, semua itu adalah duit. Setiap hirup kopi di hotel itu mungkin bernilai RM1,000.00. Kita mana tahu?

Jangan bazirkan hari ini. Kerana hari inilah yang akan menentukan siapa kita pada esok hari. Kata George Crane, “Masa depan tidak terletak pada pekerjaan, tetapi pada orang yang mengerjakan.”

Siapa kita hari ini tidak kisah. Yang penting, apa waktu yang kita isi hari ini untuk hari esok.