oleh Nimoiz T.Y
Bagaimana memulakan penulisan sesebuah cerpen?
Ada banyak teknik. Contohnya, kita boleh mulakan dengan teknik imbas kembali. Atau mungkin sebuah naratif. Atau mungkin juga dengan unsur mengejut. Malah, ramai juga memilih dengan ungkapan dialog yang luar biasa.
Berapa lama seseorang pembaca mengambil masa untuk menghabiskan pembacaan sesebuah cerpen?
Kita tahu, secara kasarnya cerpen adalah pendek. Jadi, mungkin sekitar secawan kopi panas sahaja. Baca, hirup kopi. Baca, hirup kopi. Atau mungkin sekadar dua batang rokok. Baca, hembus. Baca, hembus. Atau secara mudahnya, mungkin sekitar 10 minit sahaja.
Tidak lama.
Jadi, permulaan sesebuah cerpen adalah sangat penting selain pemilihan tajuk yang gah. Tarikan pertama sebuah cerpen ialah tajuk. Dan yang kedua ialah perenggan pertama. Atau mungkin 50 patah perkataan yang pertama.
Jika perenggan pertama atau 50 patah awal ini membosankan, sudah pasti pembaca akan cepat menyelak akhbar dan beralih ke ruangan lain pula.
Kita perlu sedar, kita tidak boleh memaksa pembaca membaca cerpen sehingga habis. Namun, kita berupaya “memaksa” pembaca untuk tetap membaca.
Dengan syarat, introduksi cerpen yang menggiurkan.