oleh Nimoiz T.Y

Bagi I.A. Richard, puisi terhasil daripada dua aspek utama iaitu hakikat puisi (the nature of poetry) dan metodologi puisi (the method of poetry). Puisi yang baik bukan sekadar gubahan kata-kata, tetapi mampu memberi impak besar kepada khalayak pembaca. Yang membezakan puisi dan prosa ialah gagasan pemikiran secara tersirat akan sesuatu isu. Bagi masyarakat awam, sebuah pulau mungkin hanya sekadar pulau sahaja. Sebagai tempat mandi-manda atau destinasi pelancongan. Namun bagi penyair, pesona pulau itu akan diteroka setiap denyut nadinya. Pasir putih di pantai. Ombak yang mendebur. Karang yang kental. Angin yang membisikkan salam ria. Atau pepohon yang membisikkan khabar dari laut yang mengirim pesan kemanusiaan.

Puisi adalah cetusan kata-kata yang lahir daripada imaginasi penyair. Puisi yang berkesan adalah puisi yang diberi sentuhan dan nafas jiwa. Bagi Dunton, puisi merupakan pemikiran manusia secara konkrit atau artistik dalam bahasa emosional yang berirama. Puisi yang baik adalah puisi yang bukan sahaja memberi kesan jiwa kepada pembaca, malah mengandungi hikmah yang tersembunyi. Puisi-puisi yang terkandung dalam kumpulan puisi Putik Jiwa karya Mamu MK Hasny sarat dengan jiwa yang kental. Bagi Mamu, puisi adalah catatan perjalanan seorang manusia menuju landasan manusiawi. Kumpulan puisi ini menghimpunkan 108 buah puisi dengan pelbagai ragam dan rencam tema merangkumi diri, cinta, masyarakat, alam, semangat perjuangan serta keagamaan. Kebanyakan puisi-puisi Mamu ditulis di tiga lokasi pengkaryaan utama iaitu Lekir (Sitiawan), Seri Manjung dan Lumut selain beberapa buah tempat lagi seperti Kuala Kumpur, Balik Pulau dan Genting Highlands. Puisi-puisi ini ditulis dalam empat tahun mutakhir iaitu 2013, 2014, 2015 dan 2016. Yang menariknya, puisi-puisi ini disusun mengikut abjad dari A hingga Z.

Mamu MK Hasny menulis apa sahaja yang bermain di mindanya. Setiap apa yang terlintas di fikiran, apa yang dilihat, dan apa yang didengar akan menjadi denyut puisinya. Maka benarlah seperti kata Shelley bahawa puisi merupakan rakaman detik-detik indah dalam perjalanan hidup manusia. Setiap larikan kata-kata daripada Mamu adalah catatan perjalanannya saban hari. Puisi adalah Mamu dan Mamu adalah puisi. Lihatlah betapa akrabnya Mamu dengan puisi. Malah, ada yang langsung dicoretnya di status Facebook untuk perkongsian dengan khalayak pembaca.

Cinta adalah sesuatu yang bersifat universal. Cinta adalah hakmilik semua insan. Cinta boleh sahaja berlaku antara manusia dengan manusia, manusia dengan alam atau manusia dengan al-Khaliq. Cinta adalah perasaan yang normal di kalangan lelaki atau perempuan. Cinta yang sebenar (T.R.U.E.  L.O.V.E.) adalah cinta yang mencakupi Trust, Romance, Understanding, Excitement, Listening, Overcoming, Valuable dan Everything. Jadi tidak hairanlah ada orang yang sanggup berbuat apa sahaja demi cinta. Namun, cinta hanya berlandaskan nafsu adalah ditegah sama sekali. Terdapat beberapa kisah cinta agung dalam peradaban dunia seperti cinta Cleopatra dan Anthony, Anarki dan Salim, cinta Sultan Melaka demi Puteri Gunung Ledang, kisah kasih-sayang antara Laila dan Majnun, kisah cinta Raja Nebuchadnezzar II di Babylon untuk Amythis, kasih Odysseus untuk Penelope, atau kisah cinta Shah Jahan untuk Mumtaz. Kisah cinta mereka bukan sahaja menjadi sebutan sepanjang zaman, malah ada yang kekal sehingga sekarang dalam bentuk monumen. Lihatlah sahaja keindahan Taj Mahal atau Taman Tergantung Babylon. Di tangan Mamu MK Hasny, puisi-puisi cinta juga turut mencorakkan sebahagian karya yang dimuatkan dalam kumpulan perseorangan ini. Antara puisi-puisi yang bernada cinta dalam kumpulan ini adalah seperti “Aku Wanita Kekasihmu Wahai Kanda”, “Benarlah”, “Bisikan Jiwa”, “Bunga”, “Capriyana V1”, “Cerita Cinta”, “Cinta”, “Di Sebuah Perhentian Waktu”, “Harapan”, “Hujan”, “Juitaku”, “Kolam Hati”, Lelaki (I), “Mekarnya Lagu Cinta”, “Niat” dan “Pagi”. Sebagai lelaki, kata Mamu:

Aku lelaki

Dari buah hujan

Yang menyuburkan kasih

Dijiwa-jiwa mereka

(Lelaki [I])

Malah, hal-hal kecintaan begitu halus dalam beberapa buah puisi lain seperti “Juitaku”:

Wahai kekasih

Keluarlah dari citramu

Seperti mentari pagi

Meramahi kesetiaan

Di lekuk hatiku

(Juitaku)

Lihatlah bagaimana Mamu mengandaikan bahawa sang kekasih umpama mentari pagi. Benarlah, matahari pagi merupakan cinta murni manusia. Tanpa matahari, siang akan gelap gelita. Pokok-pokok akan mati. Sumber tenaga semulajadi tidak terpancar cahayanya.

Mamu MK Hasny juga sangat peka kepada isu-isu semasa, kebobrokan sosial dan tragis kemasyarakatan. Isu-isu ini menjadi kegelisahan yang perlu diselesaikan secara tuntas. Kebanyakannya melibatkan isu-isu besar yang bersifat sarwajagat. Isu-isu seperti banjir besar, tsunami, jerebu, tanah runtuh dan sebagainya merupakan sesuatu yang amat mencemaskan. Tanggal 5 Jun 2015 (Jumaat), Sabah dikejutkan dengan kejadian gempa bumi dengan kekuatan 6.0 pada skala Richter yang berpusat di 6.1 utara dan 116.6 timur. Kejadian gempa bumi pada kedalaman 54 kilometer ini dicatatkan berlaku pada jam 7.15 pagi kira-kira 16 kilometer di barat daya Ranau. Malah, gegaran ini turut dirasakan di beberapa tempat seperti Tambunan, Tuaran, Kota Kinabalu, Beaufort dan Kota Belud. Kejadian gempa bumi ini ada dikaitkan dengan sikap segelincir pelancong luar yang melakukan kegiatan tidak senonoh di Gunung Kinabalu sehingga mencetuskan kemarahan kepada “penjaga gunung”. Hal ini adalah dicatatkan oleh Mamu dalam puisi “Kinabalu”:

Nabalu gah indah dipandang mulia

Sarat dadamu sudah pecah

Tersembur kisah duka

Puncakmu  menyimpan rahsia

Kisah nenek moyang  

(Kinabalu)

Kejadian gempa bumi memanglah tidak asing lagi di dunia. Gempa bumi adalah salah satu tanda bahawa bumi semakin sakit dan tenat. Sebagai manusia, kita hendaklah sentiasa menjaga anugerah alam dengan tidak menjarahnya sesuka hati. Selebihnya, kita hanya mampu berdoa kepada Tuhan supaya dijauhi dengan bencana sebegini sebagaimana doa Mamu MK Hasny dalam puisinya “Doa Untukmu Ranau”.

Ketika meredah belantara senja

Mengiringi mentari itu pulang

Tika Ranau berdendang nestapa

Kinabalu digegar lara

Doa kukirimkan melalui angin

Agar kukuhlah jiwamu bergelora

Tebatkan kesabaran dihati

Esok pasti matahari damai

Menyinar puncak retak

(Doa Untukmu Ranau)

            Berbalik kepada isu-isu alam sekitar, kebanyakan kerosakan yang berlaku adalah disebabkan oleh tangan-tangan manusia, sebagaimana Tuhan pernah sebutkan di dalam al-Quran. Sikap manusia yang tamak haloba merupakan salah satu sebab utama berlakunya kemusnahan alam sekitar. Sebagai contoh, kejadian tanah runtuh merupakan kesan penerokaan dan pembangunan di lereng-lereng bukit atau cerun tanpa pengawalan. Sekiranya pengawalan pembangunan dilaksanakan, maka sudah tentu alam sekitar masih boleh dinikmati oleh anak cucu pada masa akan datang. Begitu juga dengan penerokaan ekosistem di tanah paya atau kawasan pokok bakau:

Warisan kita khazanah kita

Pemuliharaan berterusan ekosistem

Di situlah punca rezeki nelayan

Menyara keluarga dengan

Ketam nipah dan lokan di payanya

(Hutan Bakau)

            Hutan rimba, paya, gunung, laut, pulau merupakan sumber keindahan yang menjadi warisan untuk dinikmati. Sebagai manusia, kita hendaklah sentiasa menjaga alam sekitar termasuklah pulau, pantai dan lautan seadanya. Laut juga umpama kekasih yang tidak dapat dipisahkan dengan Mamu. Tambahan, beliau merupakan seorang anak nelayan yang gigih mencari rezeki. Hal ini ditegaskan oleh Mamu dalam beberapa buah puisi yang bertemakan laut.

Hai lautan biru

Hari ini daku pahatkan dihati

Dikaulah saudaraku

Bertaut kasih kita

Sepanjang sungai kehidupan rindu

(Laut)

Laut kasihku biru warnamu

Ada damai dimataku

Ombak-ombakmu berkejaran

Ke pantai mengejar kakiku

Merakam kenangan

(Laut [III])

            Isu dua pesawat MAS yang hilang dan ditembak jatuh juga turut menjadi catatan Mamu MK Hasny. Tragedi ini menjadi kisah tragis yang akan sentiasa dikenang sepanjang zaman. Tambahan, pelbagai usaha sudah dijalankan untuk mencari serpihan pesawat di lautan Hindi dan sebagainya. Namun, ada juga yang menganggap bahawa ini hanya komplot atau konspirasi kuasa besar dunia.

Kehilangan  MH370

Hanya terbayang di mata hati

Kini MAS ke pajak gantung

Menanggung sebak di dada

Yang terpanggang

(MH370 Hilang Ghaib Mas di Pajak Gantung)

            Penyair biasanya dikurniakan dengan jiwa yang halus. Hati siapa yang tidak sebak menatap pelarian Rohingya yang ditindas. Darah mereka mengalir seolah-olah tidak bernilai lagi. Seolah-olah tidak ada tindakan, isu Rohingya masih lagi menjadi isu kemanusiaan yang perlu diselesaikan secara tuntas. Sebagai manusia dan umat Islam, apa sumbangan kita kepada umat seagama? Maka benarlah, air mata sahaja tidak mampu menyumbang apa-apa untuk membantu mereka.

Darahmu berceceran

Sepanjang sejarah peradaban

Yang dikatakan bertamadun itu

Milik manusia

(Rohingnya II)

Kepiluan kita

Tak mampu menahan

Tangisannya

(Rohingnya III)

Negeri Perak dikatakan wujud sejak zaman pra-sejarah lagi. Penemuan Perak Man di Gua Gunung Runtuh, Lenggong pada tahun 1991 serta kewujudan Kota Tampan merupakan bukti jelas bahawa negeri Perak telah wujud sejak Zaman Batu Lama lagi. Negeri Perak juga sering dikaitkan dengan sumber kekayaan bijih timah. Malah, kisah pembunuhan J.W.W. Birch merupakan antara kemuncak penentangan penduduk kepada sistem Residen di Perak. Sebagai anak kelahiran Perak, Mamu MK Hasny tidak lupa menuliskan puisi-puisi yang berlatarkan negeri tercintanya ini. Antara puisi yang mekar ialah berkaitan dengan Pangkor dan Kuala Sepetang. Kuala Sepetang yang syahdu begitu menghambat rindu penyair bukan sahaja untuk merasai keenakan mee udang yang terkenal, malah menunggu sebuah puisi nostalgia. Kuala Sepetang atau nama asalnya Port Weld merupakan salah satu tempat yang popular di daerah Taiping. Lokasinya yang strategik di pinggir Selat Melaka menjadikan kawasan ini sebagai salah satu tumpuan pelancong yang tidak asing lagi.

Kuala Sepetang itu

mengalirkan harta ketangan kolonialisme

yang sering mencari dominasi kebijaksanaan

Merompak bijih-bijih Long Jaafar

Membuncitkan perut Frederick Weld

candu mula dihanyutkan sebagai tuba

bila Ghee  Hing dan Hai San

Berebut kuasa jajahan

(Di Kuala Sepetang)

Hal yang sama turut diungkapkan dalam beberapa buah lagi puisi seperti “Pangkor di Hatimu Ombak” dan “Pangkor Melambai Rindunya”. Pulau Pangkor merupakan antara destinasi pulau pelancongan yang popular di Malaysia selain Pulau Tioman, Pulau Perhentian, Pulau Redang, Pulau Sibu, Pulau Sipadan dan sebagainya. Keindahan dan kelembutan pasir di Pantai Bogak atau Teluk Nipah sudah pasti akan menggamit pelancong untuk datang lagi pada masa akan datang. Bagi seorang penyair yang halus jiwanya, sudah pasti keindahan Pulau Pangkor akan menyuntik ilham pengkaryaan yang banyak. Tambahan, kedamaian dan hembusan bayu laut yang menjamah pandangan mata. Semua ini bisa sahaja menggamit kerinduan sebagaimana kata Mamu:

Masihkah dikau ingat

Ketika menjejaki pantai ini

Menderu bayu rindu membelit wajah

Anak-anak ombak mengejar tumit

Tika dikau melontar sajak

Ke lautnya yang diam

(Pangkor Di Hatimu Ombak)

Pangkor laramu

tiada lagi setelah semalam

Kita berpesta sajak

(Pangkor Melambai Rindunya)

            Walaupun menulis tentang isu-isu besar seperti alam sekitar, sosial, ekonomi, keagamaan dan sebagainya, Mamu MK Hasny tidak lupa juga mencoretkan puisi-puisi yang lebih akrab dengan dirinya. Misalnya tentang kekeluargaan, kasih-sayang suami isteri, hubungan antara ibu bapa dengan anak dan sebagainya. Ikatan kasih-sayang kekeluargaan akan menjadi sendi bahawa hanya keluarga yang harmoni sahajalah yang dapat membentuk umat yang sejahtera. Pada hari ini kita sering melihat keretakan hubungan kekeluargaan dikalangan masyarakat. Inilah merupakan salah satu punca keruntuhan moral di kalangan anak-muda. Semuanya berpaksi daripada kehancuran sesebuah institusi kekeluargaan itu sendiri.

            Seseorang anak itu tidak akan wujud di atas muka bumi ini tanpa ibu dan ayah. Tanpa ibu dan ayah, hidup anak-anak akan menjadi kosong. Sebab itulah kita perlu sentiasa menghormati dan berbakti kepada ibu dan ayah selagi hayat dikandung badan. Banyak kes-kes pengabaian kepada ibu bapa sering berlaku. Ini semua kerana kesibukan kerjaya yang membataskan pertemuan antara ibu dan ayah. Bagi anak-anak yang terpaksa mencari rezeki di kota, sesekali pulanglah ke desa untuk menjenguk orang tua masing-masing. Ini kerana, mereka umpama bulan dan bintang yang sentiasa bercahaya menerangi malam anak-anak. Hal ini ada diungkapkan oleh Mamu dalam puisinya yang berjudul “Itulah Ayah”, “Pelaut Itu Ayah” dan “Rindu, Ayah dan Laut”.

kau bagai bintang dan bulan

memayungi malam gelap kami

sirnamu menyinari alam

(Itulah Ayah)

Ayahku menggempur dada lautan

Menjala harapan kami di batas ombak

Ayahku si pelaut tak pernah gentar

Pada gertak ombak dan taufan

(Pelaut Itu Ayah)

Hatimu dan hatiku

Damainya di lautan saujana

Menyemai benih-benih rindu

Di dasarnya yang abadi

(Rindu, Ayah dan Laut)

            Malah, jasa-jasa dan pengorbanan seorang ibu juga turut dicatatkan oleh Mamu dalam puisinya “Pekasam Ibu”:

Masam ikan pekasam ibu

Adalah dari tetes peluhnya

haruman masakan pekasam ibu

adalah dari jerihnya menyala

demi mendodoikan kami pabila malam

agar lena dalam mimpi indah

(Pekasam Ibu)

            Masih banyak lagi puisi-puisi dalam kumpulan puisi Putik Jiwa karya Mamu MK Hasny yang menarik untuk diperkatakan. Antaranya ialah yang bertemakan keagamaan seperti “Barakah”, “Hati Jumaat” dan “Menantimu Ramadan”. Atau mungkin juga yang bertemakan seputar pencarian diri seperti “Bisikan Jiwa”, “Bukan Niatku Begitu Sebenarnya”, “Di Rumah Mimpi” dan sebagainya. Selain itu, puisi-puisi seperti “Sajak Seorang Epigoni”, “Bulan”, “Bunga”, “Cerita Hujan”, “Harapan”, “Lara”, “Menjiwai Merdeka Ini” dan lain-lain juga perlu diberi apresiasi secara tuntas. Selebihnya, saya meletakkan tugas apresiasi kepada khalayak pembaca untuk menghadamnya sendiri. Semoga Mamu MK Hasny gembira dengan kehadiran buku sulungnya ini. Semoga buku ini juga akan membuka lembaran jalan pengkaryaan yang lebih luas untuk Mamu MK Hasny pada masa akan datang. Ada puisi-puisi yang dimuatkan dalam buku ini agak sederhana pengucapannya. Namun ini memadai dengan tujuan asal Mamu berkecimpung dalam arena penulisan yang mahu menjadi dirinya yang sebenar. Bukan mahu menjadi seperti Rendra, Chairil Anwar, A. Samad Said atau Shahnon Ahmad:

Bukan aku mahu jadi seperti

Aku di petak kata-kata ini

Bukan hadir untuk mengumpul piala

Mengarak diri bagai sang juara

Aku hanya mahu melukiskan

Wajah-wajah diri nan mula berputik

Puisi bukan taburan sampah

Ianya raupan dari cebisan kata-kata

Semoga Mamu MK Hasny menjumpai apa yang dicarinya selama ini.