oleh Hairi Yahya

Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga,
hancur badan di kandung tanah,
budi yang baik di kenang juga.

Begitulah pantun warisan zaman berzaman yang dituturkan orang-orang tua untuk mengingatkan kita tentang erti sebuah budi. Walau sekecil mana pun budi, yang baik akan dikenang orang buat selama-lamanya. Namun begitu, benarkah wujud Pulau Pandan dan Gunung Daik yang dikatakan bercabang tiga itu?

Syukur, Alhamdulillah, demi untuk membuktikan kewujudan kedua-dua makhluk Allah itu, ia  telah membawa saya ke bumi Daik, Lingga pada cuti semester yang lalu. Tanggal 18 Mac 2018, saya dan seorang rakan  mengambil keputusan untuk belayar ke selatan tanah air sambil melihat sosio budaya di tanah seberang. Perjalanan bermula dari pelabuhan Stulang Laut, Johor dengan menaiki feri menuju ke Pelabuhan Tanjongpinang Inderapura di Pulau Bintan, Kepulauan Riau.

Perjalanan feri yang bertolak kira-kira jam 9.30 pagi mengharungi laut China Selatan melintasi beberapa buah pulau dengan diiringi suasana cuaca yang cerah. Laut seperti meredhai perjalanan kami tanpa gelombang dan ombak yang menakutkan. Setelah mengharungi perjalanan selama hampir tiga jam, kami pun sampai ke Tanjongpinang. Dari jauh sudah kelihatan masjid Pulau Penyengat yang berkubah kuning keemasan. Perjalananan kami terhenti di Tanjongpinang kerana saya ingin memberi peluang kepada rakan tadi untuk mengenali sedikit sebanyak kisah di Pulau Bintan ini.

Selaku peminat sejarah, Pulau Bintan ini adalah tempat kesinambungan kesultanan Melayu Melaka setelah berakhirnya pertikaian antara Raja Kecil Siak dengan Kesultanan Johor-Pahang-Riau Lingga. Setelah Portugis menguasai Melaka, kesultanan Melaka telah berpindah ke beberapa tempat hinggalah ke Pulau Bintan. Setelah Raja Kecil ditewaskan dengan bantuan Bugis Lima Bersaudara, kesultanan ini telah membina penempatan di Hulu Riau atau disebut juga Sungai Carang. Banyak kesan-kesan sejarah boleh dilihat disana dan juga di Pulau Penyengat yang pernah menjadi pusat pentadbiran Kesultanan Melayu Johor-Pahang-Riau-Lingga. Malahan menurut catatan sejarah, Pulau Penyengat telah menjadi maskahwin perkahwinan Sultan Mahmud Riayat Syah III dengan Engku Puteri Hamidah.

Keesokkannya, kami meneruskan perjalanan ke Daik, Lingga. Feri kali ini berangkat sekitar jam 11.00 pagi dengan tambang sekitar Rp 60,000 atau RM 30.00. Perjalanan kali ini juga akan mengambil masa selama  lima jam. Perjalanan yang panjang ini kerana  pengangkutan laut ini berhenti di lima buah perhentian. Kesemua perhentian ini adalah antara ratusan pulau-pulau yang terdapat dalam provinsi Kepulauan Riau Lingga sendiri. Feri adalah satu-satunya pengangkutan awam  yang menyambungkan perhubungan antara pulau-pulau tersebut dengan Tanjongpinang dan Daik, Lingga. Sebahagian besar urusan pejabat berada di kedua-dua buah petempatan tersebut. Tanjongpinang adalah ibukota Wilayah Kepulauan Riau (KepRi). Lingga menjadi tumpuan urusan pejabat kerana di sana terletak pejabat-pejabat kerajaan atau disebut Dinas. Kebetulan, sewaktu kunjungan kami ke sana, turut berlangsung pertemuan Bupati (Pembesar Daerah) dengan semua penghulu dan ketua-ketua kampung sekitar Kabupaten Lingga.

Kira-kira jam 5.00 petang, feri kami mendarat di Pelabuhan Buton yang juga menjadi perhentian terakhir perjalanannya untuk hari ini. Sebelumnya, kira-kira setengah jam lagi feri akan menghampiri perhentian terakhirnya itu, petugas feri sempat memberitahu kami kemuncak Gunung Daik serta kedudukan Pulau Pandan seperti yang dipantunkan orang. Sayangnya, gunung tersebut seperti malu kerana puncak-puncaknya sedang diliputi awan walupun hari sudah beransur senja!!!. Terasa sedikit ralat kerana tidak dapat melihat puncaknya sama ada dua atau tiga, namun masih terlalu awal untuk merasa kecewa. Esok lusa masih ada.

Alhamdulillah, kunjungan kami disambut oleh seorang anak muda yang saya kenali melalui tulisan-tulisan diblognya; Muizzudinlingga.blogspot. Sewaktu mengusung beg mendaki tangga pelabuhan, dia menegur sambil memberi salam. Jujurnya, kami tidak pernah bersua muka selain melalui  perutusan email antara saya dengannya. Gaya bahasa penulisannya sepanjang perutusan email itu sungguh menarik dan saya dapat menggambarkan budi bahasa pemiliknya. Syukurlah, perjalanan kami akhirnya selamat sampai ke bumi Allah ini yang turut dikenali Tanah Bunda Melayu.

Ternyata pemukiman kami selama dua malam di tanah Daik ini seperti belum sempurna. Suasana kampung yang menghijau serta penuh dengan ketenangan menjadi penyambut kedatangan kami ke sana. Pepohon kelapa, sagu, dusun buah-buahan serta suasana rumah-rumah yang berselari dengan jalan raya menjadikan pemandangan yang sangat mengujakan. Kelibat kereta jarang kelihatan dan motorsikal lebih dominan di jalan raya. Ini menjadikan suasana lebih tenang tanpa hiruk pikuk atau tergesa-gesa. Langsung tidak kelihatan aksi-aksi merempit atau bunyi ekzos motorsikal yang membingitkan. Ternyata, para penduduk pulau ini sangat menjaga kesopanan dan kesantunan masyarakat.

Aktiviti lawatan ke sebahagian Pulau Daik bermula dengan sarapan pagi disebuah kedai makan. Kedai kopi Kak lang; menyediakan dua tiga menu yang sedap dengan layanan yang sungguh baik. Nasi lemak boleh dimakan bersama dengan sambal bilis atau pun ikan tamban berlada. Boleh juga mencuba makan “gubal” bersama kuah asam pedas ikan tamban. Gubal adalah menu tradisi Daik yang menggunakan sagu yang dicampur dengan kelapa parut dan digoreng. Ia dihidang bersama asam pedas ikan tamban atau anak ikan yu. Selain “gubal”, lempeng sagu dan  asam pedas adalah antara masakan tradisi masyarakat Melayu Daik Lingga.

Sepanjang berada di pulau bersejarah ini, kami sempat mengunjungi makam Sultan Mahmud Riayat Syah III, Masjid Jamik Sultan Lingga, Lembaga Adat Melayu, Replika Istana Dhamnah, tapak beberapa bekas istana, runtuhan kota, pekan Daik yang sudah terbakar serta Benteng Bukit Cening .

Persinggahan kami yang agak lama di Kompleks Muzium Linggam Cahaya menemukan kami dengan Kuratornya sendiri yang mudah dipanggil Pak Lazuardy. Pegawai Negeri berpangkat tiga bintang dibahunya sangat mendalam pengetahuannnya dengan pensejarahan Kesultanan Melayu Riau Lingga ini. Teruja sekali kami mendengar penerangan demi penerangan sepanjang berada di dalam kompleks muzium tersebut. Selain kurator, beliau juga adalah antara beberapa orang pengasas yang mencadangkan kewujudan institusi tesebut. Beliau turut bekerja keras mengumpul segala khazanah dan artifak untuk menjadi bahan pameran di muzium tersebut. Justeru itu, beliau sangat mengerti duduk bangun sesuatu objek yang dipamerkan di sana.

Malahan beliau sendiri turut telibat dalam pasukan pengkaji yang akhirnya menghasilkan sebuah buku yang menobat Sultan Mahmud Riayat Syah III sebagai Pahlawan Besar Gerilya Laut. Buku  tersebut diterbitkan pada tahun 2017 oleh Dinas Kebudayaan Kabupaten Lingga.

Keseronokan berziarah di Daik, Lingga ini bukan setakat tempat-tempat bersejarah yang dijaga rapi oleh Badan Pelastarian Cagar Budaya, malahan dailek bahasa Melayunya yang seiras bahasa Melayu di Semenanjung Malaysia. Ini menjadikan perbualan  lebih harmoni. Langsung tidak kedengaran lenggok bahasa yang bernuansakan Jakarta sebaliknya lebih dekat ke Kuala Lumpur! Walaupun mereka masih menggunakan panggilan hormat “Pak” (tuan) dalam pertuturan harian, lenggok bahasanya tetap bahasa Melayu Semenanjung Malaysia.

Majoriti penduduk Kepulauan Lingga ini adalah terdiri daripada masyarakat Melayu dan menjadikan sektor pertanian, perikanan dan penternakan sebagai sumber pendapatan. Tanaman kelapa, pokok sagu, dusun buah-buahan dan cengkih adalah antara tanaman komersial di sana. Hasil sagu menjadi produk pengeluaran yang juga turut dihantar keluar daripada Pulau Lingga. Tanaman sagu ini adalah legasi daripada zaman pemerintahan Sultan-sultan Riau-Lingga terdahulu.

Tanaman sagu ini sesuai di kawasan ini kerana terdapat sebahagian kawasan rawa. Mengikut catatan sejarah, benih tanaman ini dibawa daripada Menado, Sulawesi.

Hingga kini, aktiviti memproses sagu hingga menjadi berbagai produk hiliran diusahakan oleh ramai penduduk di Lingga. Justeru itulah, masih terdapat penduduk di pulau ini lebih menjadikan hasil sagu sebagai makanan ruji berbanding nasi.

Dimaklumkan juga bahawa semenjak pulau Lingga ini dinaik taraf daripada berstatus mukim (kecamatan) ke status daerah ( kabupaten), berbagai projek pembangunan telah dibawa masuk seiring dengan pertukaran status tersebut.

Akhirnya, kunjungan ke Tanah Bunda Melayu ini bukan sahaja membawa kita mengimbau kembali sejarah kesultanan Melayu selepas kejatuhan Melaka ke tangan Portugis, bahkan ia memberi pengetahuan baharu terhadap sosio budaya masyarakat Melayu di sebuah pulau yang terpencil di Kepulauan Riau. Bagi pencinta sejarah, pulau ini adalah medan terbuka kita untuk mengenali sebuah perjuangan seorang raja yang akhirnya digelar Pahlawan Besar Gerilya Laut : Sultan Mahmud Riayat Syah atau Sultan Mahmud Syah III.