Hidayyah AT Mizi merupakan antara penulis pelapis Malaysia yang sedang meningkat naik. Puisinya lain daripada gaya tipikal penulis wanita kontemporari. Beliau dilahirkan di Taiping dan dibesarkan di Kuala Kangsar, Perak dan kini tinggal di Rembau, Negeri Sembilan. Hidayyah merupakan graduan dalam jurusan Sains Politik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Terbaharu, beliau bakal tampil dengan kumpulan puisi sulung berjudul Kata-kata yang Muncul di Cermin, terbitan Katapilar. Baru-baru ini, Nimoiz T.Y (NTY) berkesempatan menemubual Hidayyah AT Mizi (HAM) untuk berkongsi pandangan tentang dunia penulisannya.
NTY: Boleh ceritakan sedikit tentang latar belakang diri sebagai salam perkenalan dan bagaimana boleh terlibat dengan dunia penulisan.
HAM: Assalamualaikum. Nama saya Nurul Hidayah binti Ahmad Temizi. Nama pena Hidayyah AT Mizi. Berasal dari Kuala Kangsar, Perak. Saya mula minat menulis sejak bersekolah tapi mengalami writer’s block ketika menjawab soalan Bahasa Melayu SPM kertas 2. Selepas itu baru saya betul-betul mula mencari bagaimana untuk terlibat dengan dunia penulisan sehinggalah sajak pertama saya bertajuk Lalang, tembus di Berita Minggu pada tahun 2010. Pada waktu yang sama, saya merupakan salah seorang moderator di Kapasitor.Net.
Saya kembali aktif menyertai aktiviti bulanan Pisau Puisi, serta menghantar sajak eceran ke Tukang Puisi dan media cetak, selepas menghadiri Kelas Sains Menulis Puisi oleh Dr Fahd Razy, kelolaan Katapilar. Kemudian saya menghantar manuskrip untuk Sayembara Katapilar 2, dan akhirnya terpilih untuk diterbitkan.
NTY: Malaysia kaya dengan novelis wanita. Namun, tidak ramai penulis wanita yang memilih untuk menulis puisi. Boleh tak saudari berikan sedikit komen.
HAM: Saya kurang bersetuju. Saya melihat sebenarnya ramai wanita memang suka dan minat menulis puisi tetapi kebanyakkannya masih belum berjumpa laluan kepenyairan mereka. Ini kerana Malaysia sememangnya lebih sinonim dengan penulisan cerpen dan novel berbanding puisi tapi jika kita lihat, dewasa ini puisi sudah semakin mendapat tempat di kalangan generasi muda, dan diharap perkembangan ini merintis lebih ramai penulis puisi wanita di Malaysia.
NTY: Puisi Hidayyah sangat unik. Bagaimana saudari membuat saringan kata-kata. Atau cuma sekadar melepaskannya ibarat air mengalir.
HAM: Pada kebanyakkan waktu, saya menulis secara spontan kerana sejak awal saya mula menulis puisi, saya yang pada asalnya mengalami writer’s block, berlatih menulis dengan puisi. Setiap hari, saya akan melihat gambar dan membaca, kemudian menukarkannya menjadi puisi sebagai latihan memecahkan kebuntuan menulis.
Jadi disebabkan itu, saya sudah terbiasa menulis secara spontan dan melepaskan saringan kata-kata tadi ibarat air. Ada hari, menjadi. Ada hari tidak juga.
NTY: Penulis idola saudari. Boleh kongsi?
HAM: Saya meminati A. Samad Said dan Usman Awang. Penulis kontemporari pula saya suka dengan gaya penulisan prosa oleh Jed Stellarose.
NTY: Kumpulan puisi sulung Hidayah Kata-kata yang Muncul di Cermin bakal diterbitkan oleh Katapilar. Apa yang saudari boleh janjikan dari buku ini?
HAM: Pembaca boleh bersedia untuk melihat permainan imej yang lebih segar dan lincah dari kumpulan puisi ini.
Apabila saya menulis sajak, kebanyakkan waktunya fikiran saya sudah ada satu animasi yang turut bergerak. Mungkin dengan cara ini juga, pembaca boleh sama-sama menikmati dan membayangkan puisi-puisi di dalam Kata-kata Yang Muncul di Cermin dalam bentuk animasi sepanjang pembacaan berlangsung.
Namun begitu, saya sangat-sangat berharap agar pembacaan naskah ini tidak terhenti di muka akhir. Ulasan, kritikan dan cadangan sesudah membaca buku ini sangat saya hargai bagi membantu saya untuk terus menulis dengan lebih baik di kemudian hari.
Besar hati saya menunggu ulasan dan kritikan pembaca nanti.
***
CATATAN HUJUNG: Untuk membeli buku Kata-kata yang Muncul di Cermin, boleh terus ke laman web Katapilar di katapilar.com atau https://linktr.ee/Katapilarbooks